Di
dalam perjalanan tarekah, Qalbi atau hati[1] bagaikan cermin. Jika cermin itu
kotor, maka tiada pantulan imej berlaku di permukaan cermin. Hanyalah kelam
sahaja. Namun jika ia bersih, cermin mampu memantulkan segala imej di
hadapannya. Anologinya jelas, rahsia-rahsia hakikat dan makrifah hanya
menembusi hati yang bersih. Ia sebuah hati yang yang bersedia menerima pantulan
nur makrifah. Apakah yang di maksudkan dengan qalb? Adalah penting kita
memahami pengertian qalb sebelum kita belayar lebih jauh dalam perbicaraan ini.
Syaikh
Mustapha Jiasi, Khalifah Tarekah Ahmadiah salur galur Syeikh Daud Bukit Abal
membahagikan qalb kepada dua makna, iaitu:
Pertama:
Kalbu ialah kalbu zahir atau yang dikatakan hati kasar iaitu seketul daging
besar segempal tangan terletak dalam dada sebelah kiri manusia. Hati jenis ini
berongga dan berfungsi tempat mengisi dan mengepam darah untuk menjalar ke
seluruh urat saraf manusia. Hati ini memang dapat di lihat, di jamah dan di
kerat belah oleh pisau. Ia akan hancur dan busuk berulat bila mati. Hati jenis
ini sama terdapat pada jenis haiwan-haiwan yang tidak berakal yang mana tiada
nilaian sedikit pun di sisi Allah.
Kedua:
Kalbu ialah hati batin atau seni yang tidak dapat di lihat dengan mata kasar,
tak dapat di jamah dengan tangan dan tak dapat di kerat potong oleh pisau,
tetapi ia dapat di rasai oleh pegakuan batin sendiri tentang wujudnya. Ia satu
kejadian yang latifah rabbaniyyah atau dapat kita bahasakan dengan hati seni,
kejadian Tuhan yang rohani.[2]
Maka,
hati batin merupakan intipati perbicaraan ini. Penderitaan, kegembiraan,
ketenangan, cinta, rintihan dan apa jua hal perasaan yang kita rasai berpusat
di hati batin kita. Ia hanya pengakuan tanpa bisa di kesan oleh lima
pancaindera kita. Hati zahir boleh di pegang dan boleh di ubati jika sakit.
Sesetengah manusia menyangka hati zahir yang merasai segalanya, namun mereka
tersilap, apabila di belah hati zahir, jawapan yang di berikan hanya hitam dan
darah sahaja. Oleh itu, di manakah rindu, di manakah cinta, di manakah sengsara
yang bermain di jiwa? Seandainya rindu berada di hati zahir bermakna ia boleh
di buang. Jika benar, nescaya aku orang pertama melakukan pembedahan, membuang
rindu insani untuk membuka ruang cinta ilahi, nescaya aku akan buang cinta
dunia untuk memperolehi cinta Baginda SAW.
Sahabatku..
Kita
sudah mengenal apakah hati yang di maksudkan. Apabila sudah mengenal, maka ia
perlu di jaga. Kepentingan Menjaga qalb bukannya rekaan kaum sufi malah ia
selari dengan tuntutan syarak.
Dalil
Quran: “Katakanlah bahawa sesungguhnya Tuhanku mengharamkan perkara-perkara
yang keji, apa yang zahir daripadanya dan apa yang batin”.[3]
“Janganlah
kalian menghampiri perkara-perkara yang keji apa yang zahir daripadanya dan apa
yang batin”.[4]
Dalil
Sunnah: "Sesungguhnya di dalam jasad, terdapat seketul daging, apabila
daging itu baik, maka baiklah jasad seluruhnya dan apabila ia rosak maka
rosaklah jasad seluruhnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati."[5]
Bagaimanakah
maksud jika baik hati baik segalanya dan jika rosak hati, maka rosak segalanya?
Logik
akal mengatakan, kebaikan atau kejahatan terletak pada akal. Akal menerima dan
memproses maklumat lalu merangsang pergerakan anggota tubuh manusia. Proses ini
berlaku dengan cukup tersusun dengan izin Allah SWT. Masih kita tertanya-tanya,
di manakah kelibat qalb ?apakah peranannya?
Ketahuilah
sahabat...
Kehebatan
si raja bukan kerana raja. Kehebatan raja terletak di atas bahu penasihat. jika
benar penasihat, maka benar si raja, apabila benar si raja maka benar rakyat jelata.
Secara
kiasan, untuk mudah di fahami akal ialah raja dan hati merupakan penasihat.
Anggota tubuh hanyalah askar raja. Hati (penasihat) sentiasa membisikkan
kejahatan, maka akal(raja) terpengaruh dengan buah fikiran penasihat. Arahan
raja di keluarkan, anggota tubuh(askar raja) terus melaksana. Siapakah mangsa?
Tentu sekali rakyat jelata.
Ada
juga kisah raja baik tetapi penasihat jahat. Begitu jua kisah raja jahat tetapi
penasihat baik.
Raja(akal)
baik tetapi penasihat(hati) jahat ialah kiasan sifat munafik. Munafiq ialah
batinnya kufur kepada Allah, zahirnya beriman kepada Allah. jika dilihat dari
zahir, tatkala di laungkan qamat, mereka di saf hadapan, tatkala jihad di
suarakan, mereka bagaikan pejuang, tatkala di hadapan mereka sebaik-baik ikhwan.
Mereka rela hidup dalam kepuraan untuk menghancurkan Islam dari dalam.
Firman
Allah SWT: "Dan apabila engkau melihat mereka(orang munafiq), engkau
tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka
berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis
dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti
batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya
kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam
keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang
mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang
sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah
membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana
mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?" [6]
Sahabat...
Bila
sebut munafiq, jangan kita hanya ingat Abdullah bin Ubai sahaja. Dia memang
munafiq yang mashyur di zaman Baginda SAW. Kita lupa yang kita juga ada sifat
demikian. Sesungguhnya Munafiq terbahagi kepada dua:
Munafiq
kubra: Munafiq kubra sebagaimana takrif sebelum ini iaitu, zahir beriman kepada
Allah, batin kufur kepada Allah.
Munafiq
sughra: Zahir beribadah kerana Allah, batin riya’ kepada Allah.
Kedua-dua
jenis munafiq samada suhgra atau kubra tiada cacat cela dari aspek zahir. Zahir
mereka beribadah dan beriman kepada Allah SWT. Akan tetapi mereka langsung
tiada dalam pandangan Allah SWT lantaran hati mereka ingkar, hati mereka tidak
ikhlas kepada Allah SWT.
Dewasa
ini, kebayakan umat Islam di jangkit virus nifaq sughra. Zahir mereka bagaikan
abid, namun hati mereka riya’, ujub dan takkbur akan Allah SWT. Bagaimana
mungkin kita menyembah Allah pada masa yang sama kita memakai sifatNya.
Sahabat..
Sesungguhnya
hati menjadi ukuran ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Nabi
SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh kalian, dan
tidak pula kepada rupa paras kalian akan tetapi Allah melihat kepada hati-hati
kamu."[7]
Usah
kalian hairan, seseorang menghafal Al Quran dan mengingati ribuan hadis kerana
si kafir jua bisa melakukannya. Usah kalian merasa pelik, seseorang hebat
bercerita tentang sirah Nabi kerana Yahudi lagi mengenali Nabi SAW lebih dari
anak-anaknya. Kalian jua usah taksub jika melihat orang berdiskusi tentang ilmu
syariat Islam sehari lamanya kerana orientalis mengkaji Islam berpuluh tahun.
Jadi, adakah bermakna ilmu syariat bukan sumber kekuatan utama umat islam[8]?
Ya, apakah benar ilmu syariat kekuatan utama umat Islam sedangkan orang kafir
boleh menguasainya juga? Sesungguhnya kekuatan sesuatu kaum kerana memiliki
sesuatu yang tiada pada kaum yang lain. Apakah yang umat Islam ada tapi tiada
pada kaum lain? Umat Islam memiliki[9] ilmu dzauqi iaitu ketauhidan,
keikhlasan, rendah diri, sabar, redha, qanaah, tawakkal, cinta pada Allah dan
rasul melebih segala-galanya serta sifat mahmudah yang lain.
Sesungguhnya
sifat-sifat hati tersebut tidak boleh dibuat-buat. Selagi seseorang tidak
melalui proses pembersihan hati, dia tidak akan memperolehi sifat demkian
melainkan sekadar buat-buat.
Hujjatul
Islam Imam al Ghazali di dalam kitab beliau, Ihya Ulumuddin telah menjelaskan
hukum membersihkan hati.
“Dan
menghilangkannya (penyakit-penyakit hati) hukumnya fardhu ain. Tidak mungkin
dapat menyucikannya melainkan mengetahui sekatan dan sebab-sebabnya(penyakit
hati)”.[10]
Guruku,
Tokku Haji Ibrahim pernah mengungkapkan satu syair:
"Rahsia Hati”
Hati....
Engkau adalah pandangan Allah
Engkau adalah rahsia Allah
Siapa yang memahaminya, akan
membersihkanmu
Hati...
Engkau kini terhijab
Engkau tidak melihat dengan
kebenaran
Apabila tertanggalnya hijab
Terpandanglah engkau akan kebaikan
Terpukaulah engkau dengan keindahan
Terang dan nyata wujudnya Allah
Hati...
Engkau adalah kitab Allah
Engkau adalah khazanah Allah
Jika engkau terbuka hijab Engkau
kembali seperti dahulu
Ilmu-ilmu yang tinggi adalah dirimu
Jadilah dirimu alim hakiki
[1] Abu Said, ia memarfu’kan: Hati
ada empat macam: hati yang bersih, di dalamnya ada semacam lentera yang
bersinar.(2) hati yang terbungkus yang terikat dan padanya ada bungkusannya.
(3) hati yang terbalik. (4) hati yang dibentangkan. Adapun hati yang bersih
adalah hati seorang mukmin. Adapun hati yang terbalik adalah hati seorang
munafiq. Dia tahu ia mengingkari. Adapun hati yang terbentang adalah hati yang
padanya iman dan kemunafikan. Dan perumpaaan iman yang ada padanya adalah
seperti sayuran yang disertai air yang bersih, sedangkan perumpaan kemunafikan
yang ada padanya adalah seperti bisul yang disertai nanah dan darah. Mana di
antara kedua (nanah dan darah) itu dominan atas lainnya, maka ia yang menang.
Kitabul Iman, ahkaamul Iman wa Dzikri
bai’ah wa ghairu Dzaalik no 110
[2]Mengenal Diri dan Wali Allah m/s
25
[3] Surah A-A’raaf:33
[4] Surah Al-An’am:151
[5] Riwayat Bukhati dalam kitab Al
Iman, Muslim dalam kitab Al Musaaqah daripada Nu’man Bin Basyir ra huma
[6] Surah Al Munafiqun:3
[7] Dikeluarkan oleh Muslim dalam
sahihnya, dalam kitab Al-Birru Wa Ash-Shlah daripada abu Hurairah r.a
[8] Ilmu syariat di perlukan tetapi
bukan kekuatan. ilmu syariat seperti sarung keris manakala ilmu dzauqi adalah
keris. sarung keris amat penting sabagai penyarung akan tetapi kekuatan sebenar
pada keris.
[9] Penulis menggunaka ‘memiliki’
bukan ‘mempelajari’. Kedua-duanya amat berbeza. Orang yang belajar belum
memiliki tetapi orang memiliki sudah belajar. Pengetahuan tentang sifat
mahmudah tadi masih dikategorikan sebagai ilmu syariat selagi dalam proses
pembelajaran. Sekarang, ramai umat islam hanya mempelari tetapi tidak pernah
langsung merasai sifat-sifat tersebut.
No comments:
Post a Comment