[ Kami Datang Dari Allah, Kepada Allah Kami Kembali ]
Apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku … (Ayat 72 : Surah Saad)
Roh diumpamakan sebagai tubuh. Keupayaan yang menghidupkan roh dipanggil nyawa. Apabila ia hidup ia mempunyai keupayaan untuk melahirkan berbagai-bagai bakat. Keupayaan yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Keupayaan untuk melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Roh yang satu boleh dilihat melalui empat aspek. Aspek roh yang melahirkan bakat-bakat seperti mendengar, melihat dan lain-lain dinamakan roh juga. Aspek roh yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Aspek roh yang melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Aspek roh yang melahirkan kehidupan dinamakan nyawa. Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui sifat atau nilai yang ada dengan manusia sendiri walaupun sifat manusia bukan sifat Tuhan. Dalam persoalan roh, aspek roh yang menghasilkan bakat-bakat dikaitkan dengan sifat Kudrat. Nafsu pula dikaitkan dengan sifat Iradat. Akal dikaitkan dengan sifat Ilmu. Nyawa dikaitkan dengan sifat Hayat.
Kudrat Allah s.w.t yang memberikan keupayaan kepada roh. Roh berperanan membekalkan bakat-bakat, keupayaan serta tenaga. Kebolehan mendengar, melihat, berkata-kata, bergerak dan lain-lain adalah merupakan pekerjaan roh. Roh mempastikan setiap bakat itu pergi kepada alat atau pancaindera yang sesuai dengannya. Roh menghantarkan bakat melihat kepada mata, mendengar kepada telinga, berkata-kata kepada lidah dan bakat-bakat lain dihantar kepada pancaindera yang sesuai untuk masing-masingnya. Roh dikaitkan dengan urusan Allah s.w.t. Sebab itupekerjaan roh adalah tepat dan sempurna. Roh tidak membuat silap, seperti meletakkan bakat melihat kepada kaki atau bakat mendengar kepada lutut.
Dalam syariat roh diistilahkan sebagai malaikat. Malaikat yang menjaga matahari, bulan, bintang dan planet-planet lainnya akan mengheret masing-masing itu pada falak yang telah ditentukan oleh Tuhan dan maklumatnya telah dibekalkan kepada malaikat atau roh masing-masing. Malaikat menjalankan perintah Tuhan dengan tepat, tanpa kegoncangan yang datang daripada nafsu dan akal. Roh atau malaikat secara semulajadinya mempunyai sifat hanya mentaati perintah Allah s.w.t tanpa berfikir atau memilih. Malaikat angin yang diperintahkan Allah s.w.t supaya membinasakan sesebuah negeri akan berbuat demikian tanpa kasihan belas walaupun anak dipisahkan daripada ibu bapa, isteri dipisahkan daripada suami dan banyak nyawa terkorban serta harta benda yang rosak. Malaikat atau roh yang menghantar bakat melihat kepada mata akan terus berbuat demikian walaupun mata itu digunakan untuk melihat sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t, melainkan jika Allah s.w.t memerintahkannya memberhentikan penghantaran bakat tersebut. Jadi, roh pada aspek bakat-bakat adalah serupa dengan malaikat yang menjalankan tugas tanpa rangsangan nafsu dan pertimbangan akal.
Pada roh yang ditentukan untuk manusia ada aspek yang dipanggil nafsu. Nafsu menjadi faktor yang membezakan manusia dengan malaikat. Nafsu melahirkan kemahuan, perasaan, timbang rasa dan seumpamanya. Nilai-nilai yang ada pada nafsu mempengaruhi haluan roh menggunakan bakat-bakatnya. Jika tidak ada pengaruh nafsu, roh akan hanya menggunakan bakat-bakatnya untuk perkara-perkara kebaikan yang diredai Allah s.w.t. Peranan nafsu menyebabkan bakat roh boleh digunakan untuk kebaikan atau kejahatan berdasarkan nilai-nilai yang menguasai nafsu.
Tabiat nafsu yang berbagai-bagai menyebabkan ia dikenali dengan berbagai-bagai nama, berdasarkan kadar kebaikan atau kejahatan yang menjadi tabiat nafsu itu. Pada tahap nafsu bertabiat paling buruk ia dikenali sebagai nafsu ammarah. Pada tahap ia berkemampuan membezakan yang baik daripada yang buruk ia dinamakan nafsu lawwamah. Pada peringkat nafsu lawwamah, mengenali dan mengakui keburukan tidak menghilangkan sepenuhnya tabiat buruk itu daripada nafsu. Apabila tabiat buruk itu sudah hilang sepenuhnya daripada nafsu ia dinamakan nafsu mulhamah. Nafsu mulhamah, walaupun sudah tidak memiliki tabiat buruk tetapi ia masih belum menetap dan boleh kembali dipengaruhi oleh tabiat buruk. Jika ia sudah menetap, teguh dan tabiat buruk tidak sampai kepadanya lagi, ia dinamakan nafsu muthmainnah. Nafsu yang berada dalam suasana muthmainnah merupakan nafsu yang diredai Allah s.w.t dan dijamin syurga untuknya. Nafsu yang bertaraf ahli syurga ini akan mengarahkan bakat-bakat roh kepada perkara-perkara kebaikan sahaja.
Aspek roh yang berkait rapat dengan keupayaan membuat pilihan, selain nafsu, adalah akal. Jika nafsu menjadi pembeza di antara manusia dengan malaikat, akal pula menjadi pembeza di antara manusia dengan haiwan. Akal memiliki keupayaan untuk berfikir, mengingat, menimbang, berangan-angan dan seumpamanya. Bakat akal yang demikian berpusat pada otak. Ia berguna bagi menguruskan perkara-perkara lahiriah seperti bidang sains dan teknologi, sosial dan lain-lain bidang kehidupan. Akal jenis ini mampu bergerak dalam sekop fitrah kemanusiaan tetapi tidak berupaya melonjak kepada fitrah Muslim kerana ia lemah dalam perkara yang berkaitan dengan ketuhanan.
Akal yang berpusat pada otak disempadani oleh logik sedangkan Tuhan tidak ada sempadan. Bakat-bakat roh, nafsu dan akal boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama adalah kemanusiaan dan yang keduanya kehambaan kepada Tuhan. Bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang berfungsi memenuhi keperluan hidup manusia secara lahiriah dinamakan kemanusiaan. Bakat yang digunakan untuk beribadat kepada Allah s.w.t dan berbuat bakti kepada makhluk Allah s.w.t kerana-Nya dinamakan kehambaan (ubudiah). Akal yang berpusat pada otak adalah akal kemanusiaan. Ia tidak mampu menghayati kebesaran, keagungan dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Akal yang berguna bagi pengajian tentang ketuhanan adalah akal yang berhubung dengan hati nurani, yang bersuluhkan cahaya petunjuk Tuhan.
Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak demikian) tidaklah engkau tahu apa itu kitab dan apa itu iman. Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk kepada barangsiapa yang Kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. (Ayat 52: Surah asy-Syura)
Aspek bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang ada perkaitan dengan roh urusan Tuhan itulah yang mampu menyatakan kehambaan kepada Tuhan. Nur atau cahaya roh urusan Tuhan menjadikan alam ghaib terang benderang sehingga bakat-bakat roh boleh melakukan ibadat kepada Allah s.w.t, nafsu boleh mengasihi Allah s.w.t dan akal pula dapat merenungi bidang ghaib sehingga mendapat pengetahuan tentang Tuhan.
Roh dengan bakat-bakatnya, nafsunya dan akalnya tidak boleh berfungsi jika tidak ada penghidupan atau nyawa. Allah Yang Maha Hidup mengurniakan penghidupan kepada roh urusan-Nya dan roh urusan Tuhan menggerakkan Roh Insan untuk hidup. Penghidupan atau nyawa roh itu, yang juga diistilah sebagai roh, bukanlah Hayat Allah s.w.t. Allah s.w.t memiliki Hayat yang Mutlak sebab itu Dia berkuasa menciptakan penghidupan atau nyawa yang tidak Mutlak untuk makhluk-Nya. Nyawa Insan (roh) hanyalah makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan sifat Hayat Allah s.w.t. Walaupun begitu kejadian roh (nyawa) ini mengatasi segala kejadian yang lain kerana apa juga bentuk kewujudan hanya boleh berfungsi setelah digerakkan oleh nyawa. Nyawa (roh) yang istimewa ini adalah nyawa bagi roh, bukan nyawa bagi jasad. Ciptaan roh bernyawa (hidup) dikaitkan dengan tiupan Roh Allah s.w.t. Sebelum ada roh, tidak ada bakat-bakat, tidak ada malaikat. Sebelum ada nyawa tidak ada penghidupan. Dalam suasana tidak ada malaikat sebagai pemangkin atau penghijab dan tidak ada penghidupan sebagai penggerak, Tuhan menciptakan roh yang bernyawa. Roh itu menjadi bernyawa kerana tiupan Roh Allah s.w.t. Ciptaan roh bernyawa ini merupakan ciptaan secara langsung tanpa perantaraan malaikat. Pada ciptaan yang paling istimewa ini perantaraan hanyalah hijab ketuhanan atau sifat Tuhan. Roh bernyawa yang berhijabkan sifat Tuhan inilah yang diistilahkan sebagai tiupan Roh Allah s.w.t.
Roh yang berhijabkan hijab ketuhanan itu merupakan ciptaan Tuhan yang paling murni, paling istimewa dan paling mulia. Setelah roh yang paling murni itu diciptakan ia berfungsi pula sebagai pemangkin atau penghijab kepada ciptaan-ciptaan Tuhan yang lain. Jadi, roh yang paling murni itu adalah ciptaan kelas pertama dan kejadian yang lain adalah ciptaan kelas kedua. Roh yang paling murni atau latif itu lebih murni daripada cahaya malaikat. Malaikat tidak berupaya menyaksikannya. Kedudukan roh yang paling latif itu satu tingkat lebih tinggi daripada tingkat terakhir yang dipijak oleh Jibrail pada malam Israk dan Mikraj. Walaupun Jibrail merupakan salah satu makhluk bangsa nur yang latif tetapi kelatifan nur Jibrail lebih rendah daripada kelatifan roh yang paling latif itu. Sebab itu Jibrail tidak dapat memasuki medan nur roh yang paling latif itu. Roh yang paling latif itu adalah roh Nabi Muhammad s.a.w atau biasanya di kalangan ahli tasauf dipanggil Roh Muhammad. Kelatifan roh baginda s.a.w itulah yang menjadi hijab melindungi baginda s.a.w melalui pergeseran alam ghaib, sehingga baginda s.a.w sampai kepada Arasy iaitu medan nur roh yang paling latif itu. Nabi Muhammad s.a.w kembali ke tempat asal roh baginda s.a.w, tempat yang tidak ada makhluk lain kecuali nur yang latif itu.
Tuhan berkehendak mengadakan kenyataan kepada roh yang paling latif itu dan untuk itu Dia ciptakan jasad Adam a.s. Setelah jasad Adam a.s sempurna diciptakan, Tuhan ‘hubungkan’ roh yang paling latif itu dengan jasad tersebut. Hubungan itu menyebabkan Adam a.s menjadi hidup dengan mempunyai rohnya sendiri, yang ‘menumpang’ bakat kehidupan kepada roh yang latif. Walaupun jasad Adam a.s dijadikan daripada tanah tetapi rohnya berkait dengan roh yang paling latif, malah roh Adam a.s atau Roh Insan adalah bakat roh yang paling latif itu. Tidak putus hubungan roh individu dengan roh yang menjadi sumber kepada kewujudan roh-roh. Roh yang paling latif, roh Nabi Muhammad s.a.w, sumber kepada Roh-roh Insan, berkedudukan sebagai khalifah Allah s.w.t, utusan-Nya atau urusan-Nya yang melaksanakan perintah Allah s.w.t. Ia menyimpan segala maklumat mengenai segala yang Tuhan mahu ciptakan. Roh urusan Tuhan itulah yang bertugas dengan tepat memastikan apa yang Tuhan kehendaki itu terlaksana dengan tepat.
Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. (Ayat 107: Surah al-Anbiyaa’)
Bakat kekhalifahan roh yang paling latif itu hanya menjadi kenyataan setelah Adam a.s diciptakan. Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi bekas menterjemahkan bakat-bakat khalifah Allah s.w.t yang menjadi urusan Allah s.w.t. Roh Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif, yang hanya dihijabkan oleh hijab ketuhanan, dibekalkan dengan kebolehan untuk mengalami suasana Hadrat Ilahi, merasai kehadiran Tuhan serta mengenali Tuhan dalam aspek yang ada hubungan dengan makhluk dan Tuhan dalam aspek yang melampaui segala bentuk perhubungan dengan makhluk. Roh Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif mengenali Allah s.w.t secara tasybih dan tanzih. Hadrat Ilahi atau hakikat yang dialami oleh Roh Insan diistilahkan sebagai Rahsia-rahsia Allah s.w.t. Rahsia-rahsia Allah s.w.t yang dikurniakan kepada Roh Insan tidak diketahui oleh makhluk yang lain. Oleh yang demikian makhluk yang lain mesti akur dengan kedudukan insan sebagai khalifah Allah s.w.t. Oleh kerana Adam a.s yang menyatakan kekhalifahan itu maka sekalian makhluk mesti akur dengan kedudukan Adam a.s sebagai ciptaan Tuhan yang menanggung Rahsia Allah s.w.t yang paling mulia. Sekalian makhluk mesti tunjukkan bukti penerimaan tersebut dengan cara sujud menghormati Adam a.s.
Intipati kepada roh adalah aspeknya yang melahirkan penghidupan, yang diistilahkan sebagai nyawa, seumpama air yang mengalir kepada seluruh tubuh, menggerakkan semua bakat-bakat. Atas dasar perkaitan roh dengan jasad, aspek nyawa itu dinamakan Nyawa Insan. Ada juga yang menamakannya Insan Batin. Ada juga yang memanggilnya Insan Rahsia Allah s.w.t, bagi menggambarkan hubungannya dengan Hadrat Ilahi (Rahsia Allah s.w.t). Selain itu ada pula yang memanggilnya diri yang sebenarnya. Oleh kerana kedudukan hubungannya dengan Hadrat Tuhan maka dialah yang benar-benar bertaraf hamba Tuhan, yang tahu melakukan kehambaan kepada Tuhan sebagaimana yang Tuhan kehendaki. Jika dia berhenti bekerja maka semua bakat-bakat akan berhenti berfungsi. Jika dia menyembah Allah s.w.t maka semua bakat-bakat menyembah Allah s.w.t.
Roh mempunyai keupayaan untuk menghidupkan jasad dan menggerakkan bakat-bakat yang ada pada jasad. Kesan daripada tindakan roh, jasad menjadi hidup dan keupayaan yang menghidupkan jasad itu dinamakan nyawa bagi jasad. Nyawa yang menghidupkan jasad ini biasanya dipanggil Roh Haiwani. Roh yang menggerakkan Roh Haiwani itu dinamakan Roh Insani. Roh Haiwani menghidupkan jasad. Roh Insani pula memperolehi kehidupan daripada Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Apabila Roh Insani berhenti ‘membekalkan’ Roh Haiwani, jasad akan mengalami kematian, tetapi Roh Insan tidak mati walaupun jasad sudah mati. Oleh sebab itu kematian jasad tidak menyelamatkan manusia daripada soal-jawab di dalam alam kubur. Alam kubur merupakan salah satu daripada pintu syurga atau pun pintu neraka. Insan yang hidup di dalam kubur akan memandang kepada salah satu tempat kesudahannya, sama ada syurga atau neraka. Wap bahagia atau celaka sudah dapat dirasakan oleh ahli syurga sekalipun kiamat belum berlaku.
Roh Haiwani atau nyawa kepada jasad bekerja melalui pernafasan, iaitu udara yang keluar masuk melalui hidung dan mulut dan juga aktiviti turun naik di dalam jantung yang mengalirkan darah ke seluruh tubuh. Roh Haiwani dan aktiviti jasad berkait rapat. Jika pengaliran udara ke dalam jasad ditahan atau aktiviti jantung diberhentikan, Roh Haiwani tidak berupaya lagi menghidupkan jasad. Jadi, nyawa jasad dan jasad saling bergantungan, saling perlu memerlukan. Tubuh yang sihat dengan jangka hayat nyawa jasad ada kaitan.
Kesatuan bakat-bakat roh, nafsu, akal dan nyawa dinamakan rohani atau hati nurani yang bertaraf hamba Tuhan yang sebenarnya. Dalam keadaan yang asli, tanpa pengaruh alam jasad dan alam benda, rohani berkedudukan sebagai insan yang sempurna. Rohani dikuasai oleh sifat Wahdaniah, iaitu rohani menyaksikan keesaan Allah s.w.t, tidak menyengutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Kecenderungan rohani hanya satu iaitu melakukan ubudiah atau kehambaan kepada Allah s.w.t.
Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau mengambil dari anak-cucu Adam dari tulang-tulang punggung mereka, dan Dia jadikan mereka saksi atas diri mereka sendiri: “Bukankah Aku Tuhan engkau?”Semua menjawab: “Memang, kami menyaksikan”. Supaya jangan kamu berkata di hari kiamat: “Sesungguhnya kami lalai dari ini”. Atau supaya tidak kamu katakan:“Yang musyrik itu hanyalah bapa-bapa kami yang dahulu sedangkan kami ini hanyalah keturunan sesudah mereka. Maka apakah Engkau akan membinasakan kami lantaran apa yang dikerjakan oleh orang-orang yang berbuat salah?” Dan demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat itu supaya mereka kembali. (Ayat 172 – 174 : Surah al-A’raaf)
Sebelum bercantum dengan jasad semua keturunan Adam yang masih dalam keadaan rohani yang suci murni, yang menyaksikan keEsaan Tuhan, telah dihadapkan oleh Tuhan dengan ikrar ubudiah (kehambaan). Sekalian mereka menyaksikan dan memperakui ketuhanan Allah s.w.t. Rohani menyaksikan yang demikian kerana mereka bermakrifat tentang keesaan Allah s.w.t dan ketuhanan-Nya. Rohani yang telah bermakrifat tentang Allah s.w.t itulah diri manusia yang sebenarnya, sementara jasad adalah alat baginya membuktikan kehambaannya kepada Tuhan. Oleh yang demikian mereka tidak ada alasan kelak untuk mengatakan bahawa mereka tidak diberi pengetahuan tentang Tuhan. Mereka juga tidak boleh memberi alasan menurut hukum lahiriah yang berhubung dengan pertalian jasad dengan mengatakan mereka menjadi musyrik kerana ibu bapa mereka musyrik. Sebelum ada kaitan dengan jasad menurut nasab keturunan, manusia yang sebenar (rohani) sudah mendapat keterangan yang jelas tentang Tuhan. Tuhan kurniakan jasad kepada manusia rohani supaya mereka membuktikan kebenaran ikrar kehambaan yang mereka telah buat dengan Tuhan. Manusia rohani berkewajipan mencari jalan kembali ketika mereka masih mengenderai jasad kerana jasad itu nanti yang akan menjadi saksi ke atas mereka. Manusia rohani ‘masuk’ ke alam jasad untuk melakukan pekerjaan yang diamanahkan oleh Tuhan. Pekerjaan itu adalah menjadi khalifah, mentadbir kehidupan berjasad menurut perintah dan peraturan Tuhan. Apabila dikeluarkan daripada alam jasad habislah tempuh yang dibenarkan untuk bekerja. Datanglah tempuh perkiraan dan pemberian ganjaran atau hukuman.
Percantuman rohani dengan jasad menyebabkan manusia mempunyai dua jenis diri. Jasad dinamakan diri zahir dan rohani dinamakan Diri Batin. Diri zahir menjadi sarang atau bekas kepada Diri Batin. Jasad yang pada mulanya berkedudukan sebagai mayat bertukar menjadi hidup dan mempunyai nilai-nilai kehidupan setelah ia bercantum dengan diri rohani. Diri rohani pula yang pada mulanya tidak dapat mempamerkan bakat-bakat dan nilai-nilai yang ada padanya, telah boleh menjadi nyata dan mempamerkan apa yang ada dengannya. Percantuman dengan Diri Batin melahirkan pada diri zahir nyawanya, bakat-bakatnya, nafsunya dan akalnya. Alam diri zahir adalah jasadnya dan alam kebendaan yang nyata. Diri zahir berkehendakkan apa yang menggembirakan jasadnya daripada benda-benda dan perkara-perkara yang nyata. Diri zahir juga menggunakan akalnya pada perkara yang nyata. Nafsu dan akal diri zahir akan mengarahkan segala bakat dan kekuatannya kepada benda dan perkara yang zahir. Tidak ada keinginannya untuk melakukan ibadat kepada Allah s.w.t dan melakukan kebaktian kepada-Nya. Tidak lahir pengetahuannya tentang Tuhan. Tidak ada kasih sayangnya kepada Tuhan. Tidak ada renungannya kepada kebesaran dan kebijaksanaan Tuhan. Segala-gala yang pada diri zahir adalah yang zahir juga. Tidak ada urusan kehambaan kepada Tuhan pada diri zahir. Keadaan diri zahir adalah matanya tertutup daripada melihat kepada sesuatu tentang Tuhan, telinganya tuli daripada mendengar peringatan kepada Tuhan, mulutnya terkunci daripada bercakap tentang Tuhan dan bakat-bakat anggotanya terikat daripada melakukan kehambaan kepada Allah s.w.t.
Diri Batin atau manusia rohani berkewajipan membuka tutupan daripada mata diri zahir agar ia boleh melihat sesuatu tentang Tuhan, membuka penyumbat telinganya agar ia boleh mendengar sesuatu tentang Tuhan, membuka kunci mulutnya agar ia boleh bercakap sesuatu tentang Tuhan dan membuka ikatan anggotanya agar ia boleh melakukan sesuatu kerana Tuhan. Pekerjaan manusia rohani sangat berat. Manusia zahir menjadi ujian bagi manusia rohani. Kebanyakan manusia rohani tertarik kepada keelokan manusia zahir dan ghairah dengan kepuasan yang dinikmati oleh manusia zahir. Manusia rohani yang sepatutnya menjadi khalifah kepada manusia zahir telah berubah menjadi alatnya. Adam a.s merupakan manusia zahir yang pertama ‘bersanding’ dengan manusia rohani. Tugas Adam a.s adalah meramaikan manusia-manusia zahir kerana ramai manusia-manusia rohani mahu menyatakan diri mereka. Adam a.s diciptakan daripada anasir tanah yang asli ; Sesungguhnya Aku hendak jadikan manusia daripada tanah. (Ayat 71: Surah Saad)
Ciptaan pertama yang daripada tanah itu diberikan keupayaan untuk melahirkan keturunan. Keturunan Adam a.s membiak melalui percantuman unsur bapa dengan unsur ibu. Kedua-dua unsur tersebut bercantum di dalam perut ibu dalam suasana yang diuruskan oleh Tuhan yang dinamakan ‘rahim’. Rahim ini dinisbahkan kepada nama Tuhan ar-Rahim, Yang Pengasih dan Penyayang. Cantuman unsur ibu dengan unsur bapa, setelah melalui beberapa proses, akhirnya membentuk satu bentuk kewujudan yang bernama manusia zahir. Apabila manusia zahir sudah berumur di antara 120 hingga 145 hari, manusia zahir yang di dalam perut ibu itu ‘dikahwinkan’ dengan manusia rohani oleh urusan Tuhan yang bernama ar-Rahim itu. Apabila menjangkau usia sembilan bulan sepuluh hari, manusia yang sudah bercantum unsur zahir dengan unsur rohani dan telah dicelup di dalam kilang pencelupan ar-Rahim, melunsur keluar dari alam kandungan ibu kepada alam dunia. Manusia masuk ke dunia, setelah menerima pencelupan daripada ar-Rahim, membawa bekal sesuatu yang sangat murni, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah”.
Percantuman dengan manusia zahir, terikat dengan darah, daging dan tubuh seluruhnya, diselimuti pula oleh hijab yang tebal, iaitu dunia, menyebabkan manusia rohani lupa kepada asal usulnya dan lupa kepada ikrar yang telah dibuatnya dengan Tuhan. Pengetahuannya tentang Tuhan juga tertutup. Mereka lupa kepada jalan kembali ke tempat asal mereka. Walaupun lupa tetapi benih fitrah masih tersembunyi di dalam ‘bumi’nya. Tuhan Yang Maha Penyayang, Maha Pengampun menghantarkan Kitab-kitab Suci dan Rasul-rasul untuk ‘menyiramkan’ fitrah suci itu agar ia tumbuh dan keluar dari bumi yang gelap gelita untuk menyaksikan kebenaran yang sudah ada dengannya.
Dan sesungguhnya telah Kami utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami: “Bahawa engkau keluarkan kaum engkau dari gelap gelita kepada terang benderang, dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah”. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi tiap-tiap orang yang sabar dan bersyukur. (Ayat 5 : Surah Ibrahim)
Rasul-rasul memberi peringatan kepada manusia rohani tentang hari-hari Allah s.w.t, iaitu suasana asal mereka yang mengenal Tuhan dan mengabdikan diri kepada Tuhan, disaksikan oleh ikrar mereka sendiri :Katakanlah:“Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku seru (manusia) kepada Allah dengan basirah (pandangan yang jelas). Dan Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku ini dari golongan orang musyrikin”. (Ayat 108: Surah Yusuf)
Rasul-rasul, Nabi-nabi dan orang yang mewarisi mereka melihat kebenaran dengan basirah, iaitu mata rohani mereka. Basirah menyaksikan yang benar sebagaimana yang telah disaksikan oleh rohani sebelum berkahwin dengan jasad. Basirah dapat menembusi benteng jasad dan dunia untuk melihat kepada jalan yang terbentang luas menuju Tuhan. Semua ilmu dalam dunia ini tidak berupaya mendatangkan basirah. Ilmu membuat kapal angkasa, ilmu membuat komputer, ilmu membina bangunan yang tinggi-tinggi, ilmu kedoktoran dan lain-lain ilmu dalam dunia tidak berupaya menghasilkan basirah, tidak mampu melihat kepada hakikat ketuhanan. Seseorang memerlukan ilmu yang datangnya dari alam ghaib yang tersembunyi, ilmu yang lahir daripada kesedaran terhadap Tuhan.
Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. (Ayat 15: Surah al-Mu’min)
Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu Roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak demikian) tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu Iman. Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk kepada barangsiapa yang Kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Maka mereka dapati seorang hamba di antara hamba-hamba Kami yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan telah Kami ajarkan kepadanya yang langsung dari Kami. ( Ayat 65 : Surah al-Kahfi )
Orang yang mahu mencari jalan pulang perlu kepada bimbingan orang yang sudah ada basirah, iaitu orang yang hampir dengan Allah s.w.t dan berupaya menyaksikan kemutlakan atau mengalami suasana Hadrat Ilahi. Orang yang demikian berkedudukan sebagai khalifah kerohanian. Bergabung dan mendapat bimbingan khalifah kerohanian perlu bagi mencari jalan pulang. Pengembara pada jalan ini semakin berkurangan dan pembimbing pada jalan tersebut lebih berkurangan lagi. Pada satu masa nanti pemandu yang mahir sangat sukar didapati. Ketika itu orang yang terperangkap dalam dunia dan alam jasad mereka sendiri tidak dapat menemui jalan lagi.Manusia yang terperangkap dengan dunia putus hubungan kemanusiaannya dengan kemurnian rohaninya. Pengetahuannya tidak menghala kepada Ilmu Tuhan. Dia hanya boleh berfikir tentang kehidupan duniawi sahaja. Dia boleh menjadi saintis yang bijak atau pemimpin yang handal, tetapi akalnya tidak berupaya menyingkap Rahsia ketuhanan yang tersembunyi di sebalik yang nyata. Nafsunya tidak menghala kepada Iradat Tuhan. Dia tidak ada selera untuk mengingati Tuhan, tidak ada rasa kasih sayang kepada Tuhan dan tidak takut atau malu kepada Tuhan. Keinginannya semata-mata tertumpu kepada kesenangan dan keseronokan duniawi. Nafsu yang bertaraf begini menjadi istana iblis. Nyawanya pula hanyalah sedutan dan hembusan nafas serta peredaran darah yang hampa. Tidak ada kelazatan bermunajat kepada Allah s.w.t. Anggota tubuhnya tidak digunakan untuk berbakti kepada Allah s.w.t. Segala daya dan upayanya ditujukan untuk memperolehi kemewahan dan menikmati kesenangan hidup di dunia semata-mata. Setiap anasir alam mengenakan tarikan kepada orang yang seperti ini. Unsur zahirnya menjadi bertambah kuat sehingga keupayaan unsur rohaninya terkunci dan terpenjara. Orang yang seperti ini berkedudukan seperti haiwan yang pandai berfikir dan pandai berkata-kata. Tidak ada bezanya taraf haiwan cerdik ini dengan haiwan lain yang tidak berakal.
Manusia rohani yang dapat membebaskan dirinya daripada fitnah yang datang daripada manusia zahir akan dapat menghadap kepada Tuhan, berbakti kepada-Nya dan menjalankan perintah-Nya dengan menggunakan manusia zahir dan lain-lain anasir zahir. Nafsunya menghadap kepada Iradat Tuhan. Lahirlah rasa kasih sayang kepada Tuhan. Keinginan untuk menghampiri Tuhan sangat kuat dalam jiwanya. Semangat untuk berbakti kepada Tuhan sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Akalnya menghadap kepada Ilmu Tuhan. Kelihatanlah kepadanya kebesaran, keagungan dan kebijaksanaan Tuhan. Digunakannya akalnya untuk menguruskan kehidupan harian agar sesuai dengan kehendak Tuhan. Apabila nafsu dan akal sudah menjurus ke jalan Tuhan, maka semua bakat-bakat yang ada pada dirinya tidak lagi digunakan untuk berbuat sesuatu yang dimurkai Tuhan. Kebaktiannya kepada makhluk Tuhan merupakan kebaktiannya kepada Tuhan kerana dia berbuat demikian demi menjunjung perintah Tuhan.
Manusia rohani yang nafsu, akal dan anggotanya berjalan pada jalan Tuhan, nyawanya atau Diri Batinnya yang paling seni akan merasakan kelazatan bermunajat kepada Tuhan dan dapat mengalami suasana Hadrat Tuhan. Mengalami suasana Hadrat Tuhan dikatakan mengenali Tuhan melalui jalan rahsia kerana pengalaman yang demikian tidak boleh disamakan dengan apa juga bentuk pengalaman yang lain. Diri Batin yang sampai kepada suasana tersebut digelarkan Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Rahsia Allah s.w.t bukanlah Allah s.w.t. Tidak benar jika dikatakan Allah s.w.t yang menjadi batin kepada Insan Batin atau Allah s.w.t adalah nyawa kepada manusia rohani. Perkaitan Allah s.w.t dengan manusia bukanlah hubungan secara langsung dalam nyata atau ghaib. Ia bukan hubungan seperti kulit dengan daging atau roh dengan jasad. Ia juga tidak seperti hubungan roh dengan roh. Tuhan mengatakan roh adalah amr (urusan) Tuhan. Kedudukan Insan Batin, roh atau rohani hanyalah seperti kedudukan amr Tuhan, bukan tubuh kepada Tuhan, bukan bekas yang mengalir di dalamnya sifat atau bakat Tuhan. Apa sahaja yang selain Tuhan adalah ciptaan Tuhan bukan Tuhan.
Kelatifan Diri Batin, roh atau rohani menyebabkan mudah timbul sangkaan yang menyamakannya dengan Tuhan atau memperhubungkannya secara langsung dengan Tuhan. Bunyi seruling bukanlah bunyi suara orang yang meniup seruling. Seruling menjadi hijab yang menceritakan bahawa ada orang yang meniup seruling. Suara seruling membawa perutusan daripada peniupnya. Suara seruling membawa ‘kehadiran’peniupnya. Kehadiran tersebut adalah rahsia peniup seruling dan rahsia seruling itu sendiri. Orang arif mengenali peniup seruling dengan mendengar suara seruling. Orang arif juga mengenali jenis seruling melalui bunyinya. Perkenalan itu menjadi mungkin kerana di antara peniup seruling dan seruling ada rahsia atau ‘kehadiran’ yang bercerita. Rahsia atau ‘kehadiran’ itulah hubungan di antara peniup seruling dengan seruling dan bunyi seruling. Hubungan Tuhan dengan Insan Batin, roh atau rohani lebih unik daripada hubungan peniup seruling, seruling dan bunyi seruling. Hadrat (kehadiran) Tuhan atau Rahsia Tuhan lebih unik daripada kehadiran peniup seruling. Hadrat Tuhan dirasai oleh batin manusia dalam suasana tiada berhuruf, tiada bersuara, tiada berupa dan tiada upaya untuk menceritakannya. Sebab itulah suasana tersebut menjadi rahsia di antara Tuhan dan Insan Batin. Insan batin itu dinamakan Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Ia bermaksud insan diberi keupayaan oleh Allah s.w.t untuk menanggung Hadrat-Nya, Rahsia-Nya, amanah-Nya dan nur-Nya. Apa juga istilah yang digunakan ia membawa maksud yang sama iaitu keadaan Tuhan dan yang berkaitan dengannya dinamakan urusan Tuhan. Roh sebagai ciptaan Tuhan yang paling unik, istimewa dan luar biasa, dalam keadaan keasliannya yang murni berfungsi sebagai perutusan yang membawa urusan Tuhan. Matlamat perjalanan manusia rohani adalah kembali kepada kedudukannya yang asal, yang bertaraf amr Tuhan. Manusia rohani yang kembali kepada taraf amr Tuhan itulah yang benar-benar mengenali Tuhan.
Dalam mencari jalan pulang manusia rohani mesti membawa bersama-samanya ‘rakan-kongsinya’ iaitu manusia zahir. Setelah manusia rohani dan manusia zahir bercantum bersama, maka segala urusan adalah bersama. Ketika manusia rohani belum bercantum dengan manusia zahir, ia adalah suci, murni dan tulin, tidak memikul sebarang beban. Setelah memikul beban ia berkewajipan membawa beban itu kepada jalan yang benar bersama-samanya. Jika manusia rohani berjaya memimpin manusia zahir kepada jalan yang lurus itu tandanya ia berada pada jalan yang benar, benar menanggung amanah Tuhan. Apabila sampai kepada satu peringkat manusia rohani dan manusia zahir akan menjadi bersesuaian di antara satu sama lain. Apa yang lahir kepada zahir itulah yang ada pada rohani. Lidah tidak mengeluarkan perkataan melainkan apa yang ada dalam hati yang suci bersih. Segala perbuatan dan kelakuan zahir adalah baik-baik belaka kerana aspek zahir telah tunduk kepada aspek rohani. Keadaan demikian dikatakan diri zahir dengan Diri Batin berkamil, zahirnya adalah batinnya dan batinnya adalah zahirnya. Tidak ada perbezaan lagi di antara zahir dengan batin.
Aspek zahir manusia mestilah tunduk kepada syariat zahir dan aspek batin tunduk kepada syariat batin. Rangsangan dan tarikan tubuh badan serta anasir alam mestilah diharmonikan di bawah payung syariat. Syariat memperakukan keperluan zahir seperti makan, minum, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, kesejahteraan hidup dan lain-lain. Berjalan pada jalan kerohanian tidak mewajibkan meninggalkan pekerjaan, isteri-isteri, anak-anak, masyarakat, makanan, minuman, pakaian dan lain-lain yang diharuskan oleh syarak. Syariat meletakkan peraturan dalam segala aspek kehidupan. Peraturannya adalah jelas dan mudah diikuti. Jika aspek zahir manusia tunduk kepada peraturan syariat zahir sehingga menjadi bersesuaian dengannya, aspek rohani akan memperolehi kecemerlangan dalam syariat batin. Baharulah benar seorang itu masuk ke jalan kerohanian. Orang yang boleh terbang ke dalam daerah kerohanian adalah orang yang memiliki dua sayap. Sayap pertama adalah syariat zahir dan sayap kedua adalah syariat batin. Kedua-dua sayap tersebut dinamakan syariat, tidak lagi digunakan istilah syariat zahir dan syariat batin. Bila zahir dan batin sudah berkamil, tidak ada lagi perbezaan di antara zahir dengan batin. Tiada lagi perpisahan di antara syariat zahir dengan syariat batin. Setiap amalan sentiasa ditemani oleh ‘kerana Allah Ta’ala’.
Bagi membawa syariat zahir berkamil dengan syariat batin, seseorang bukan sekadar melakukan kebaikan, malah kebaikan itu perlu dilakukan dengan cara yang betul. Perbuatan sembahyang mestilah menurut syarat dan rukunnya, bukan sekadar bersembahyang sahaja. Melakukan pekerjaan yang halal mestilah dengan cara yang betul agar kemanfaatannya maksima dan kemudaratan boleh dielakkan daripada pekerjaan tersebut. Begitu juga dalam urusan mendidik anak-anak dan lain-lain. Setiap ahli syariat (Muslim) berkewajipan mempelajari cara yang betul dalam melakukan apa juga pekerjaan dan amalan yang baik yang perlu dilakukannya. Orang yang mahu kembali kepada jalan Tuhan perlulah faham bahawa dia tidak ada hak untuk mengubah apa yang telah dihukumkan oleh Tuhan. Apa yang Tuhan katakan benar mesti diterima sebagai benar. Apa yang Tuhan katakan salah mesti diterima sebagai salah. Tidak ada sesiapa yang berhak meminda apa yang Tuhan telah tentukan. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubah waktu sembahyang lima waktu atau bulan yang difardukan berpuasa. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalalkan zina, arak, judi dan riba, atas apa alasan sekalipun. Perbuatan yang Tuhan haramkan tetap haram walaupun dibuat sebagai lakunan atau main-main. Segala perbuatan manusia akan digantung di lehernya sendiri.
Dan tiap-tiap manusia Kami gantungkan (catatan) amalannya pada tengkuknya, dan Kami akan keluarkan baginya pada hari kiamat satu kitab yang dia akan menemuinya dengan terbuka.( Ayat 13 : Surah Bani Israil )
Bila kehidupan dalam dunia ini diharmonikan menurut peraturan syariat, dunia ini tidak lagi menjadi dunia yang dibenci, malah ia menjadi taman untuk menanam tanaman akhirat. Ia menjadi medan untuk mempertajamkan kerohanian. Orang yang benar-benar mencari jalan kerohanian dalam dunia ini akan menemuinya. Tuhan sediakan dalam setiap kaum dan puak orang-orang pilihan yang berkemampuan membimbing orang ramai kepada-Nya. Manusia pilihan itu adalah para arifbillah, insan sejati yang menjadi khalifah-Nya.
Orang arif, walaupun rohani mereka sangat elok, tetapi ia ditutupi oleh keadaan luar yang sangat sederhana dalam segala segi dan mereka terdiri daripada orang-orang yang tidak terkenal. Namun, orang yang demikian adalah umpama air wangi Tuhan di dalam dunia, boleh dicium keharumannya oleh orang-orang yang beriman, benar dan jujur sahaja. Orang yang mencium keharuman itu akan mengikuti baunya. Keharuman yang muncul dari orang arif melahirkan rasa rindu kepada Tuhan dalam hati orang yang beriman. Rasa rindu menarik kaki orang yang beriman untuk berjalan pada jalan Tuhan, kembali kepada kedudukannya yang asli. Orang yang boleh berjalan dengan mudah kepada Tuhan adalah orang yang lebih sempurna kedudukan syariatnya. Hakikat atau kebenaran sejati tidak muncul dengan baik sebelum syariat betul kedudukannya. Hakikat yang tidak sesuai dengan syariat adalah kebenaran bayangan semata-mata, bukan kebenaran sejati.
No comments:
Post a Comment