[ Hadhrat Ilahi Dan Penciptaan Manusia ]
Apa juga yang Tuhan berkehendak menciptakan sudah ada dalam Ilmu-Nya. Penciptaan makhluk dipagari oleh Ilmu Tuhan. Setelah Tuhan menciptakan makhluk menurut suasana Ilmu-Nya, makhluk akan mengambil ruang yang tidak bergandingan, bersaing atau bersekutu dengan Tuhan, tidak seperti keadaan manusia mencipta benda-benda. Kewujudan dan kehadiran makhluk tidak mengganggu keesaan Tuhan. Hanya Tuhan yang berkuasa berbuat yang demikian. Itulah keunikan dan kemutlakan Kuasa Tuhan.
Manusia adalah ciptaan Tuhan yang paling sempurna kerana pada kejadian manusia terkumpul secara lengkap segala ayat-ayat, dalil-dalil, pembalikan dan kenyataan nama dan sifat Tuhan. Makhluk lain hanya menjadi ayat kepada satu nama atau sifat Tuhan sahaja. Malaikat Izrail membawa kenyataan yang sempurna tentang nama al-Mumit dan sifat Tuhan Yang Berkuasa Mematikan. Izrail tidak membawa kenyataan tentang nama dan sifat Tuhan yang lain. Begitu juga dengan malaikat dan makhluk yang lain. Manusia pula boleh mempamerkan bakat-bakat atau kenyataan kepada nama dan sifat Tuhan Yang Menghidupkan, Mematikan, Memberi, Menolak, Mencipta, Membimbing, Menyesatkan dan sebagainya.
Pada diri manusia ada nilai-nilai kebaikan dan kejahatan dan ada pula keupayaan berkehendak dan membuat pilihan. Sifat berkehendak dan berkuasa membuat pilihan yang ada pada manusia menceritakan bahawa Wajibul Wujud memiliki Sifat-sifat Iradat dan Kudrat. Sifat-sifat mendengar, melihat, berkata-kata dan mengetahui menceritakan bahawa Wajibul Wujud mempunyai sifat-sifat Mendengar, Melihat, Berkata-kata dan Mengetahui. Pada diri manusia sudah ada nilai-nilai yang berguna buat mereka mengenali sifat-sifat Wajibul Wujud secara misal atau penyifatan. Pengenalan manusia tentang Wajibul Wujud lebih sempurna daripada makhluk yang lain. Al-Quran mengajarkan kepada manusia mengenai sifat-sifat Tuhan melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia sendiri, cuma manusia diperingatkan bahawa Tuhan melampaui segala bentuk penyifatan. Pengajaran cara demikian membuat manusia mengetahui Tuhan tanpa sesuatu pengetahuan yang konkrit dan mengenali Tuhan tanpa sesuatu pengenalan yang jelas. Fahaman, pengetahuan dan pengetahuan tentang Tuhan tertanam dalam hati yang paling dalam. Pada kesedaran tahap yang paling dalam itulah manusia memperolehi kefahaman yang hakiki, pengetahuan yang hakiki dan pengenalan yang hakiki. Dalam kefahaman yang hakiki fahaman bersatu dengan tidak faham. Dalam pengetahuan yang hakiki tahu bersatu dengan tidak tahu. Dalam pengenalan yang hakiki kenal bersatu dengan tidak kenal. Apabila dua perkara yang bertentangan telah bersatu akan lahirlah kesejahteraan (keislaman). Pada tahap itu orang arif hanya ada satu pilihan sahaja iaitu tunduk menyerah kepada Tuhan, tanpa takwil, tanpa hujah dan tanpa terka.
Manusia haruslah sedar tentang bakat-bakat dan nilai-nilai yang Tuhan ciptakan sebagai sebahagian daripada kejadian manusia itu sendiri. Pada kejadian manusia sudah ada bakat berkehendak dan membuat pilihan. Usaha dan ikhtiar tidak menyalahi takdir kerana Tuhan telah menentukan sejak azali bahawa manusia memiliki bakat untuk berusaha, berikhtiar dan berkehendak. Tuhan juga mentakdirkan tindakan manusia mempunyai kesan. Pada kejadian manusia itu sudah ada bakat untuk melahirkan perbuatan. Perbuatan manusia termasuk di dalam ciptaan Tuhan tetapi bukanlah Tuhan yang menjadi Pelaku pada perbuatan manusia. Manusia, kehendaknya dan kuasanya melahirkan perbuatan adalah satu pakej yang diciptakan Tuhan yang dinamakan manusia. Fahaman yang mengatakan Tuhan sendiri yang menjadi Pelaku pada segala perbuatan manusia, dikenali sebagai tauhid af’al, hanyalah kenyataan bayangan yang muncul dalam pengalaman kerohanian sufi. Kebenaran bukanlah yang demikian. Ini tidak juga bermakna manusia berkuasa penuh terhadap takdirnya. Keadaan manusia adalah tidak diberi kuasa bulat-bulat dan tidak juga dipaksa sepenuhnya. Manusia bukan diikat dan bukan diberi kebebasan penuh. Kehendak dan kuasa manusia tidak bersifat Mutlak. Oleh itu terdapat halangan dan kekurangan pada kesan yang dihasilkan oleh kehendak dan kuasa manusia. Manusia hidup di dalam medan yang dipenuhi oleh kehendak dan kuasa yang muncul daripada berbagai-bagai makhluk dan kumpulan manusia sendiri. Berlaku pertembungan kesan kehendak dan kuasa seseorang manusia dengan yang muncul daripada manusia dan makhluk lain. Pertembungan tersebut menyebabkan berlaku perlawanan dan yang lebih kuat kesannya akan menang. Jadi, usaha manusia tidak boleh dilihat dalam sekop dirinya sahaja. Usahanya memberi kesan kepada usaha orang lain dan begitu juga sebaliknya. Begitulah yang muncul daripada makhluk yang bersifat tidak Mutlak. Agar tidak berlaku kacau-bilau kepada perjalanan alam akibat perlumbaan kehendak dan kuasa makhluk, pengurusan daripada Kuasa Mutlak adalah sesuatu yang wajib. Tuhan yang memiliki Kuasa Mutlak mentadbir perjalanan alam ini.
Dalam kehidupan manusia juga ada dasar pentadbiran. Manusia umum mengadakan usaha dan manusia tertentu membuat pentadbiran. Akibatnya ada usaha yang berhasil dan ada juga yang gagal. Walaupun konsep pentadbiran wujud dalam kehidupan manusia namun manusia tidak boleh menolak tindakan untuk berusaha. Begitu juga dengan konsep pentadbiran Tuhan. Walaupun Tuhan memiliki Kuasa Mutlak namun dasar usaha makhluk tidak boleh dinafikan. Tuhan mengajarkan manusia supaya beramal, berbuat yang baik, menjauhi yang jahat, tidak sengaja menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan dan lain-lain yang menunjukkan kepada perakuan dasar berusaha dan bertindak. Walaupun begitu manusia diperingatkan bahawa kemutlakan hanyalah hak Tuhan. Oleh yang demikian usaha tidak boleh dipisahkan daripada iman iaitu sabar, syukur, tawakal dan reda.
Kalimah yang sering diucapkan: – ‘tiada daya dan upaya melainkan beserta Allah” adalah peringatan kepada Hadrat Ilahi: Hadrat-Nya Mendengar; Hadrat-Nya Melihat; Hadrat-Nya beserta makhluk-Nya; Hadrat-Nya menerangi langit dan bumi; Hadrat-Nya menghadap kepada hamba yang menyembah-Nya; Hadrat-Nya bersemayam di atas Arasy dan lain-lain. Tidak ada satu keadaan, ruang atau zaman yang makhluk boleh terlepas daripada Hadrat-Nya yang menguasai sekalian makhluk: walau siapa sekalipun makhluk itu. Carilah satu tempat yang paling tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya, jika kamu boleh melepasi Hadrat-Nya. Lakukan satu perbuatan yang tidak memerlukan daya dan upaya yang dari-Nya, jika kamu boleh bebas daripada Hadrat-Nya. Tidak mungkin, sekali-kali tidak mungkin, kerana Hadrat Allah s.w.t meliputi sekalian alam, meliputi segala sesuatu, membatasi segala kejadian.
Dia yang telah menciptakan semua langit dan bumi dalam enam masa; kemudian itu Dia bersemayam di Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat apa sahaja yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya segala kekuasaan di semua langit dan bumi; dan kepada Allah akan kembali segala urusan. ( Ayat 4 & 5 : Surah al-Hadiid )
Tidak ada satu suasana pun yang terlepas daripada kehadiran atau Hadrat Tuhan, tetapi jarang sekali penghayatan terhadap yang demikian menguasai hati nurani manusia, walaupun mereka mempunyai pengetahuan mengenainya. Manusia mengetahui bahawa Tuhan Melihat dan Mendengar tetapi mereka tidak malu melakukan maksiat di hadapan Hadrat Tuhan Yang Melihat dan Mendengar. Manusia tahu Hadrat Tuhan sentiasa bersama-nya, tetapi masih lagi takut apabila mereka berada di tempat sunyi sendirian. Akal fikiran yang melahirkan pengetahuan tidak mampu berhubung dengan suasana Hadrat Ilahi. Hatilah yang berhubung dengan Hadrat Allah s.w.t kerana hati yang boleh diisi dengan iman. Semakin kuat iman semakin kuat suasana Hadrat Ilahi menguasai hati. Apabila sampai kepada satu peringkat, hati menjadi sebati dengan suasana Hadrat Ilahi. Lahirlah rasa malu dan gerun kepada Tuhan kerana dia merasai kehadiran Tuhan Melihat perbuatannya dan Mendengar perkataannya dan bisikan hatinya.
Manusia dapat mengalami Hadrat Ilahi kerana Dia memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat-Nya, melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia sendiri ; Dan pada diri kamu apakah tidak kamu perhatikan? (Ayat 21: Surah adz-Dzaariyaat)
Nilai-nilai yang ada dengan manusia mengajar kepada manusia mengenai aspek tasybih Tuhan. Bakat yang ada dengan manusia membolehkan manusia berhubung dengan Tuhan. Manusia mempunyai bakat yang istimewa ini kerana manusia ada perkaitan dengan roh.
(Ingatlah) tatkala Tuhan engkau berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku hendaklah kamu meniarap kepadanya dalam keadaan sujud”. (Ayat 71 & 72: Surah Saad)
Maha Luhur darjat-Nya, Yang Empunya Arasy. Dia turunkan roh dari urusan-Nya kepada barangsiapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. (Ayat 15: Surah al-Mu’min)
Seterusnya Allah s.w.t berfirman: Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman. Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk dengan ia barangsiapa yang kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau akan memimpin kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang kepunyaan-Nya apa yang ada di semua langit dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada Allah akan sampai segala urusan. (Ayat 52: Surah asy-Syura)
Dan mereka bertanya kepada engkau tentang Roh. Katakanlah: “Roh itu adalah urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit”. (Ayat 85: Surah Bani Israil)
Hati nurani atau rohani manusia ada perkaitan dengan roh yang termasuk dalam kategori urusan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t menjadi nur yang memberi petunjuk kepada manusia. Hati nurani yang diterangi oleh nur ini akan terpimpin kepada jalan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t itulah memungkinkan segala urusan sampai ke Hadrat-Nya. Amalan, doa, rayuan dan apa sahaja yang manusia lakukan sampai kepada Allah s.w.t kerana roh urusan Allah s.w.t. Bagaimana semua itu terjadi tidak dapat diterangkan kerana manusia diberi sedikit sahaja ilmu mengenai roh urusan Allah s.w.t itu. Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia mencuba menggerakkan kefahaman mengenainya.
Tuhan mengajar manusia melalui nilai-nilai yang ada pada diri manusia sendiri. Manusia wujud, hidup, mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak dan berpengetahuan. Melalui nilai-nilai tersebut Tuhan mengatakan Dia Wujud, Hidup, Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Berkehendak dan Berilmu. Oleh kerana manusia memiliki unsur seni yang diistilahkan sebagai roh, maka Allah s.w.t menggunakan istilah roh juga agar mudah manusia memahami tentang roh urusan Tuhan. Tetapi manusia jangan lupa apa yang dinisbahkan kepada Tuhan melampaui segala sesuatu, melampaui bahasa dan pengetahuan, melampaui penyifatan dan ibarat dan tidak ada sesuatu yang serupa dengan apa yang dinisbahkan kepada-Nya. Tuhan bukakan ilmu mengenai ini sedikit sahaja, hanya sekadar mencukupi untuk membuat manusia beriman mengenainya.
Roh manusia yang ada perkaitan dengan tiupan Roh Allah s.w.t adalah sesuatu yang sangat unik dan istimewa. Adam a.s yang diciptakan daripada tanah berkeadaan seperti mayat sehinggalah beliau a.s menerima tiupan Roh Allah s.w.t. Kesan daripada tiupan Roh Allah s.w.t dinamakan Roh Insan yang padanya terkumpul segala bakat-bakat yang diperlukan oleh manusia, seperti bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Tiupan Roh Allah s.w.t menjadikan manusia hidup dan mempunyai daya dan upaya. Tiupan Roh Allah s.w.t juga melahirkan nafsu dan akal yang berguna bagi mengarahkan perjalanan kehidupan dan penggunaan bakat-bakat yang ada dengan manusia. Apabila keupayaan untuk hidup, bakat-bakat, nafsu dan akal berkumpul dan bersatu dengan jasad jadilah ia seorang manusia yang cukup sifat dan sempurna kejadiannya. Ia menjadi makhluk yang berjasad dan berhati nurani atau dikatakan juga manusia yang memiliki aspek zahir dan aspek batin.
Bakat-bakat manusia seperti mendengar dan melihat dimiliki oleh kedua-dua aspek manusia iaitu zahir dan batin. Oleh kerana pengaruh zahir lebih kuat maka bakat aspek batin tidak mampu digunakan oleh manusia. Hijab zahiriah terlalu kuat sehingga manusia tidak mampu menyaksikan perkara-perkara ghaib, apa lagi hal-hal ketuhanan. Manusia seperti ini tidak dapat merasakan kehadiran Tuhan. Apabila terhijab daripada kehadiran Tuhan, amal ibadat yang dilakukan tidak memberi kesan dan tidak mampu melindungi manusia daripada terjerumus ke dalam kejahatan.
Manusia dapat mengalami suasana Hadrat Tuhan (kehadiran Tuhan) apabila bakat-bakat rohnya berfungsi. Roh manusia sangat istimewa. Roh yang Tuhan kurniakan kepada manusia menyebabkan manusia boleh mengenal Tuhan apabila Tuhan mengajar mereka mengenali-Nya melalui bakat-bakat dan nilai-nilai yang ada dengan mereka sendiri.
Keajaiban yang dimiliki oleh roh menyebabkan ada manusia yang salah mengerti tentang roh mereka. Mereka beranggapan roh itulah Tuhan, penjelmaan Tuhan atau Tuhan adalah batin (nyawa) kepada roh. Diri, roh dan Tuhan dikatakan yang sama. Fahaman ini adalah sesat dan kufur. Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia bukan untuk menyesatkan manusia dengan akal dan khayalan mereka. Manusia mempunyai sifat melihat. Tuhan mengatakan Dia Melihat. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh bukanlah Penglihatan Tuhan. Ke dua-duanya tidak sama dan tidak serupa. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh adalah ciptaan Tuhan. Tuhan boleh menciptakan penglihatan untuk manusia dan roh kerana Dia memiliki Penglihatan. Oleh kerana Dia yang memiliki Penglihatan maka Dia tahu bagaimana mahu menciptakan penglihatan.
Tuhan berpengetahuan dalam menciptakan penglihatan untuk makhluk-Nya. Jika Tuhan tidak memiliki Penglihatan maka Tuhan menciptakan penglihatan makhluk dalam kejahilan. Keadaan ini adalah mustahil bagi Tuhan. Tuhan Maha Tahu tentang apa yang diciptakan-Nya kerana setiap nilai dan bakat yang diciptakan-Nya dimiliki-Nya sendiri secara Mutlak. Nilai Mutlak yang dimiliki oleh Tuhan menyebabkan Dia boleh mengadakan nilai-nilai tersebut yang tidak Mutlak. Oleh kerana itu tiada hujah bagi manusia mengatakan Tuhan tidak melihat perbuatan mereka kerana Tuhan memiliki Penglihatan Mutlak. Penglihatan Mutlak menyaksikan apa sahaja yang dipandang oleh penglihatan yang tidak Mutlak. Tidak mungkin penglihatan yang tidak Mutlak memandang tanpa penyaksian Penglihatan Mutlak.
Tuhan juga memiliki Roh Mutlak, lantaran itu Dia boleh mengadakan roh yang tidak Mutlak untuk manusia. Pendengaran, Penglihatan dan lain-lain adalah bakat Roh Mutlak. Roh tidak Mutlak juga memiliki bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Keadaan yang demikian menyebabkan orang sufi sering mengatakan insan diciptakan dengan bayangan ar-Rahman. Ungkapan yang demikian melahirkan kefahaman yang insan adalah bayangan Tuhan. Sebenarnya bakat manusia tidak boleh dihubungkan dengan bakat Tuhan seperti menghubungkan bayang dengan yang empunya bayang. Wujud manusia dan sifat manusia tidak bertembung dengan Wujud Tuhan dan sifat Tuhan.
Roh manusia bukanlah Roh Tuhan. Roh menggambarkan bakat-bakat yang banyak berkumpul dalam kesatuan. Bakat-bakat mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak, berkuasa, berpengetahuan dan hidup adalah bakat yang satu iaitu roh. Apabila disebut roh ia meliputi semua bakat dan nilai. Apabila Bakat-bakat yang demikian dilihat pada suasana ketuhanan, maka suasana tersebut dinamakan Kudrat. Istilah Roh Tuhan adalah satu bentuk pengajaran Tuhan kepada manusia melalui nilai yang ada dengan manusia sendiri, supaya mudah manusia memperolehi kefahaman. Orang yang menyamakan rohnya dengan Roh Tuhan dan menyamakan dirinya dengan Tuhan wajiblah bertaubat sebelum nyawa sampai di halkum. Yakinlah hamba tetap hamba dan Tuhan tetap Tuhan, tidak ada kamil berkamil, satu bersatu, sama menyama. Bertaubatlah daripada iktikad yang salah!
Orang yang menetap dalam kehambaan mengalami hakikat dan memperolehi makrifat melalui pengalaman, bukan sekadar melalui ilmu. Ketika merasakan zarah kewujudannya tertanggal satu-satu dia mengenal Tuhan yang boleh dikenal. Setelah zarah-zarah kewujudannya ‘diterbangkan angin kencang’ dan‘hilang’, dia mengenali Tuhan yang melampaui segala pengenalan. Lalu dia mendapat pengertian bahawa yang benar-benar kenal Tuhan adalah Tuhan sendiri. Hanya Dia yang mengenali Diri-Nya. Kami mengenali-Nya melalui-Nya, sekadar yang Dia izinkan kami mengenali-Nya. Pengalaman hakikat cara demikian menggabungkan tahu dengan tidak tahu, faham dengan tidak faham dan kenal dengan tidak kenal.
Perkara yang sering menimbulkan kekeliruan orang ramai adalah persoalan Qadak dan Qadar. Qadak dan Qadar berhubung dengan Ilmu Tuhan atau suasana Pentadbiran Tuhan. Ada orang yang Tuhan izinkan ‘masuk’ ke dalam suasana Ilmu-Nya. Apa yang ditemui pada Hadrat Ilmu Tuhan adalah hakikat-hakikat yang menguasai perjalanan alam. Hakikat atau urusan Tuhan yang berhubung dengan manusia dinamakan Hakikat Insan. Urusan Tuhan yang berhubung dengan alam dinamakan Hakikat Alam. Urusan yang mencakupi segala perkara dinamakan hakikat kepada hakikat-hakikat atau hakikat yang menyeluruh. Pengalaman hakikat-hakikat pada Hadrat Ilmu Tuhan membawa seseorang kepada jalan yang menggabungkan dua jalan iaitu jalan nabi dan jalan asma’.Jalan nabi adalah syariat iaitu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan mengabdikan diri kepada-Nya.
Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. (Ayat 56: Surah adz-Dzaariyaat)
Jalan asma’ adalah menyaksikan Rububiah (ketuhanan) pada setiap masa dan dalam semua suasana : Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia jualah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. (Ayat 56: Surah Hud)
Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah jualah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar tetapi Allah jualah yang melempar. (Ayat 17: Surah al-Anfaal)
Jalan syariat memperbaiki amal dan jalan asma’ atau jalan hakikat adalah menyaksikan Hadrat Ilahi dalam segala perkara dan pada semua suasana. Bila dua jalan berpadu lahirlah amal zahir dan amal batin yang sesuai dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t, mengambil Qadak dan Qadar melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia, berusaha dan beramal, dan pada masa yang sama beriman dan bertawakal kepada Tuhan yang memegang perjalanan segala urusan. Tidak ada sesuatu yang bebas daripada hakikat ketuhanan yang menguasainya.
No comments:
Post a Comment