Friday, November 2, 2012

ASRARAL MAKRIFAH


ASRARAL MAKRIFAH
Oleh: Haji Adenan

PENDAHULUAN
Bersabda Junjungan Rasul : Alfikru si raa jul qalbi. Ertinya: Berfikir itu adalah pelita hati.
Maksud Hadith ialah : Barangsiapa mentadbirkan dirinya dengan perhatian fikiran di dalam segala hal kejadian-kejadian yang dijadikan Allah SWT, nescaya nampaklah kepadanya segala keajaiban di dalam hal keadaan yang berkaitan dengan punca sesuatu kejadian itu dan berlainan persediaan pula akan menampakkan pada satu pihak persamaan dan perbezaan perbezaan.
Tetapi di dalam darjah-darjah yang demikian itu tiadalah terupaya sesiapa jua pun mengira-ngirakan melainkan Tuhan Yang Mahasuci yang menjadikan dia. Maka semuanya itu bermasuk-masuk dan berkait-kait di dalam tiap-tiap amalan dan pegangan dan berlain-lain, bercerai-cerai di dalam hal pendapat hingga kelihatan tiada boleh sama hati di antara dua orang.
Wahai sekalian yang telah memperhatikan bersalah-salahan yang amat banyak diantara tiap tiap saorang daripada jenis insan! Tidakkah ini dalil yang terang atas keadaan manusia yang nyawanya itu tidak dapat tiada didatangi oleh beberapa penyakit.
Bahkan sekarang senanglah di atas kita berkata tentang kafiat belaan nyawa memelihara akan dia daripada penyakitnya dan kafiat menjadikan dia patuh dan layak menjayakan kerja kerjanya. Betapakah perjalanan itu? Tiada ada jalan memeliharanya melainkan dengan 4 perkara iaitu :
Pertama   :  membersehkan nyawa daripada waham-waham yang kotor.
Kedua      :  mensucikan nyawa dengan pengetahuan yang betul.
Ketiga      :  diadatkan dia dengan perangai kelakuan yang mulia.
Keempat  :  dengan iqtikad yang benar.

Firman Allah : Wahai Insan, jangan keadaan di dalam mengikut-ikut barang yang tiada kamu ketahui pada perkara-perkara itu sama ada perkataan atau perbuatan.
Dan adapun kemudian daripada itu maka lagi akan berkata hamba yang fakir lagi miskin yang berharap kepada Rahmat Allah SWT, ALHAJI ADNAN inbi ALMARHUM ALHAJI MUHD YUSOF inbi ALMARHUM NAKHODA MUHD UUI BATU BARA AL-SUMATERANI......
Firman Allah yang bermaksud: Akulah perbendaharaan yang tersembunyi, maka kasih aku akan dikenal akan daku dan tiada aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah mereka itu akan daku.
Ertinya: Supaya mengenal mereka itu akan Daku : Shahdan tiada dapat mengenal Allah itu akan sebenar pengenalannya melainkan akan mengenal dirinya terlebih dahulu.
Sabda Nabi: Barangsiapa mengenali akan dirinya maka sesungguhnya mengenal dia akan Tuhannya.
Dan Sabda Nabi lagi: Terlebih mengenal daripada kamu akan Tuhannya itu terlebih mengenal akan dirinya. 

BAB SATU
KETAHUILAH olehmu wahai talib; Bahawa Allah menyuruh akan makhluknya dengan sembahyang itu atas rupa nama AHMAD ( Alif – Ha – Mim – Dal ) dan MUHAMMAD ( Mim – Ha – Mim – Dal )
Berdiri itu saperti rupa ALIF, Rukuk itu saperti rupa HA, Sujud itu saperti rupa MIM dan Duduk itu saperti rupa DAL. Dan dijadikan Allah akan segala Makhluk atas rupa nama MUHAMMAD. Maka Kepala saperti MIM AWAL, Dan Dua Tangan saperti HA, Dan Perut saperti MIM AKHIR, Dan Dua Kaki saperti DAL.
Kemudian menjadikan Allah akan NABI ADAM daripada 4 anasir iaitu Tanah, Air, Angin dan Api. Adapun asal Tanah daripada Air, adapun asal Air daripada Angin, Adapun asal Angin daripada Api. Dan adapun asal Api daripada NAZAR MUHAMMAD.
Adapun Tanah itu jadi Daging, adapun Air itu jadi Tulang, adapun Angin jadi Urat dan adapun Api itu jadi Darah.
Adapun kejadian Tanah itu Tubuh Badan Muhammad, kejadian Air itu Cahaya Nur Muhammad, dan kejadian Angin itu Nafas Muhammad dan kejadian Api itu Nazar Muhammad.
Dan adapun kejadian Hakikat itu daripada Tanah: Tubuh Badan Muhammad: zikir: YA ALLAH.
Dan adapun kejadian Syariat itu daripada Air: Cahaya Nur Muhammad: zikir: LA–ILAHA– ILLALLAH.
Adapun kejadian TARIQAT itu daripada Angin: Nafas Muhammad: zikir: ALLAH ALLAH.
Adapun kejadian MAKRIFAT itu daripada Api: Nazar Muhammad: zikir: Zikir Rahsia: YA HU YA HU 

Soal: Apakah di antara zikir La Ilaha Illallah dengan zikir Allah Allah dan zikir Ya Hu dan zikir Ya Allah?
Jawab: Adapun zikir La Ilaha Illallah itu terafdal bagi orang syariat kerana ia berdiri pada makam syak waham yaitu menyangka ada perbuatan itu bagi makhluk hingga dipujinya orang yang berbuat kebaikan dan benci ia pada orang yang berbuat jahat.
Maka syak sangka itulah yang dinafikan dengan kalimah LA ILAHA dan diisbatkan sekalian perbuatan baik dan jahat itu kepada Allah supaya hilang syak sangka yang bathil itu dan supaya lepas daripada syirik. Adapun kalimah LA ILAHA itu isyarat kepada wujud makhluk dan kalimah ILLALLAH itu isyarat kepada wujud yang qadim dan kalimah LA ILAHA itu Kalimah Tauhid manakala ILLALLAH itu Kalimah Isbat.
Firman Allah: Aku jadikan sangka segala makhluk itu kerana hendak mengenal akan SifatKu.
Sabda Nabi: Tiada boleh bercerai antara Nafi & Isbat, dan barangsiapa menceraikan antara keduanya maka jadilah ia kafir.

Rumusan: Dan itulah yang wajib engkau nafikan kepada makhluk dan wajiblah engkau isbatkan segala sifat itu kepada Allah supaya tersimpan Sifat Ketuhanan kepada Allah jua. Dan adalah yang mendinding kita kepada Allah itu yaitu syak sangka kita itulah sabenar-benarnya HIJAB. Sebab itulah dinafikan dengan kalimah LA ILAHA supaya hilang syak sangka yang bathil itu. Inilah mahfumnya kalimah LA ILAHA ILLALLAH.

BAB DUA
Ketahuilah olehmu wahai talib: Adapun ASAL DIRI YANG BATIN itu daripada anasir yang empat:
WUJUD / Ada
ILMU / Tahu
NUR / Cahaya
SUHUD / Pandang

Adapun murad dengan Wujud itu ialah ZAT-NYA dan ILMU itu SIFAT-NYA dan NUR itu ASMA-NYA dan murad dengan SUHUD itu ialah AFAL-NYA.
Adapun erti – ZAT-NYA = DIRINYA – yaitu – RAHSIA kepada kita
Adapun erti – SIFAT-NYA = KELAKUANNYA – yaitu – NYAWA kepada kita
Adapun ertinya – ASMA-NYA = NAMANYA – yaitu – HATI kepada kita
Adapun ertinya – AFAL-NYA = PERBUATANNYA – yaitu – TUBUH kepada kita
Adapun – AWAL MUHAMMAD itu = NURANI – yaitu NYAWA kpd kita
Adapun – AKHIR MUHAMMAD itu = RUHANI – yaitu HATI kpd kita
Adapun – ZAHIR MUHAMMAD itu = INSANI – yaitu TUBUH kpd kita
Adapun- BATIN MUHAMMAD itu = RABBANI – yaitu RAHSIA kpd kita 

Ketahuilah olehmu wahai talib: Adapun kejadian kita dijadikan Allah saperti di bawah :
4 perkara daripada bapa yaitu – kulit / aurat / tulang / ?
4 perkara daripada ibu yaitu – darah / lemak / rambut / daging
6 perkara daripada Allah – pendengar / penglihat / pencium / perkasa / akal / ruh
dengan sempurnanya kejadian cukup dengan mata, telinga, kepala, hidung, mulut dan lidah dan lain lain saperti yang ada di tubuh kamu.
Ketahuilah olehmu: adapun DIRI itu Afala 4 perkara:
Pertama   :  DIRI YANG BERDIRI iaitu TUBUH bagi kita.
Kedua      :  DIRI YANG TERDIRI iaitu HATI bagi kita.
Ketiga      :  DIRI YANG TERPERI iaitu NYAWA bagi kita.
Keempat  :  DIRI YANG TERASLI iaitu RAHSIA bagi kita.
Kerana yang 4 itu asal 4 perkara iaitu: ZAT, SIFAT, ASMA & AFAL.
Adapun yang dikatakan ZAT itu berhimpun 4 perkara Iaitu: SIFAT JALAL/SIFAT JAMAL/SIFAT QAHAR & SIFAT KAMIL. Adapun Asal Nabi MUHAMMAD itu 4 perkara iaitu: WUJUD, ILMU, NUR & SUHUD. Iaitu MUHAMMAD namanya.
Adapun Asal ADAM itu 4 pekara juga iaitu: TANAH, AIR, ANGIN & API. Adapun Asal CUCU-CICIT ADAM itu empat perkara iaitu: WADI, MADI, MANI & MAKNIKAM. MANI JADI DARAH namanya.
Adapun TUBUH kita itu dijadikan Allah daripada 4 perkara juga iaitu: KULIT, DAGING, AURAT & TULANG. Yaitu TUBUH namanya.
Adapun HURUF itu asalnya daripada 4 perkara juga iaitu: AKAL, BUDI, CITA & NYAWA. Maka bertemu yang empat itu dinamai DIRI DAK namanya yaitu Diri Yang Halus. SYARIAT / TARIQAT / HAKIKAT & MAKRIFAT.
KELAKUAN WUJUD itu 8 bahagi iaitu: A’YAN KHARIJAH, A’YAN SABITAH, WUJUD AM’MA, WUJUD MUHAZAH.
Adapun A’YAN KHARJAH itu iaitu kulit, daging, aurat, tulang, hati, jantung, rabu dan buah pinggang. Adapun rupa KULIT itu pada hakikatnya ialah kulit yang putih yang jernih tempat tajallinya Sifat Tuhan bernama HAKIM. Adapun rupa AURAT itu pada hakikatnya ialah aurat yang kuning yang jernih tempat tajallinya Sifat Tuhan bernama QAUWIYYUN. Adapun rupa TULANG itu pada hakikatnya ialah tulang yang hitam yang jernih tempat tajallinya Sifat Tuhan bernama MUHIYYUN. Adapun rupa DAGING itu pada hakikatnya ialah daging yang merah yang jernih tempat tajallinya Sifat Tuhan bernama HALIM. Adapun HATI itu TEMPAT ILMU iaitu saperti bulan cahayanya meliputi seisi alam. Adapun JANTUNG itu TEMPAT HAYAT iaitu saperti matahari cahayanya meliputi seisi alam. Adapun RABU itu TEMPAT TAUHID iaitu saperti langit cahayanya meneguhi seisi alam. Adapun BUAH PUNGGUNG itu TEMPAT ISLAM iaitu saperti bintang cahayanya mengelilingi sekalian alam. 

BAB TIGA
Adapun yang dinamakan UGAMA itu 4 perkara: IMAN, ISLAM, TAUHID & MAKRIFAT. Adapun erti IMAN itu MENERIMA RUH. Adapun erti ISLAM itu KIRIMAN RUH. Adapun erti TAUHID itu ISTANA RUH. Adapun erti MAKRIFAT itu PENGENALAN RUH.
Adapun Kesempurnaan IMAN itu ialah: Bahawa kita kenal DIRI kita yaitu yang dapat bergerak badanku itu melainkan yang punya gerak.
Firman Allah: Tiada gerak engkau tatkala engkau bergerak melainkan dengan izin Allah.
Adapun Kesempurnaan ISLAM itu ialah: Bahawa hendaklah dipandang DIRI kita itu adom ertinya tiada wujud pada hakikatnya melainkan Tuhan semata-mata yakni bahawa pandangan Allah SWT maujud ia pada tiap tiap zahratul wujud ertinya suhudmu akan hakikatNya.
Adapun Kesempunaan TAUHID itu ialah: Bahawa kita pandang DIRI kita itu yang punya pandang dan ada penglihatan yang berkenaan kerana pandanganNya.
Adapun Kesempunaan MAKRIFAT itu ialah: Bahawa tiada yang punya wujud itu yakni diri kita itu tiada asalnya melainkan Wujud Allah yang berdiri pada permulaan hingga kesudahan yakni hasilnya segala wujud sesuatu itu dengan dinisbahkan kepada Wujud Allah yang hakiki itu.
Bermula wujud yang antara dua ADOm itu mesti adom pula dan tiada wujudnya pada hakikatnya itu dengan sendirinya tetapi adalah wujudnya dengan wujud Allah yakni qaim ia Wujudullah SWT saperti kata setengah Arif bermula alam ini naskah Al-Haq SWT dan kata setengah arif bermula alam ini cermin Al-Haq.
Ketahuilah olehmu : Bahawa murad dengan iktibar keadaan Haq SWT itu rupaNya yang zahir ianya pencerminan makhluk dengan iktibar keadaan Haq Taala waqiah akan hambanya itu yaitu SUHUDUL WAHDAH FIL KASRAH ertinya pandang yang satu didalam yang banyak. Dan adapun murad dengan ketika makhluk yang zahir ia didalam cermin Haq dengan iktibar keadaan hamba itu waqiah akan wujud Allah itu yaitu SUHUDUL KASRAH FIL WAHDAH.
Ketahuilah olehmu: Adalah wujud yang lain daripada Allah itu sekalian fana/binasa di bawah Wujud Allah. Maka tiadalah yang maujud hanya Allah tetapi wujud alam ini semata-mata mengzahir WUJUDILLAH TAALA jua.
Adapun mithal yang dibuat oleh Arifbillah itu hanyalah ke arah menghampirkan kepada faham jua bukan pada hakikatnya. Seperti laut dan ombak dan buih. Maka sekalian itu mengzahir kepada wujud air jua tiada yang maujud melainkan air jua kerana air itu tatkala zahir dengan rupa bergerak-gerak maka disebut ombak dan daripada itu menjadi buih.
Saperti demikianlah WUJUD ALLAH itu meliputi wujudNya pada segala alam ini kerana alam ini tiada maujud hanya DIA jua yang maujud tetapi sekalian alam ini fana’ pada Wujud Allah. Itulah isyarat pada FirmanNya : “Bermula Allah itu meliputi Ia bagi tiap-tiap suatu.” 

TAMAT

No comments:

Post a Comment