Tuesday, November 8, 2011

KEBENARAN HAKIKI 1

[ 1. NABI MUHAMMAD S.A.W DIUTUSKAN UNTUK MENYELAMATKAN UMAT MANUSIA ]

[ Keadaan Dunia Sebelum Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W :  ]
Dunia pada abad ke enam Masehi adalah umpama seorang yang sedang sakit tenat, tersangat memerlukan kepada penyelamat dan perawat yang mahir untuk mengubati penyakitnya dan menyelamatkannya daripada berbagai-bagai huru-hara dan kemusnahan. Semua bangsa-bangsa di seluruh pelusuk dunia dicengkam oleh kegelapan akidah dan kehancuran moral. Bangsa Aria di Sepanyol dan di selatan Perancis terlibat di dalam perebutan kuasa dengan kerajaan Clovis yang bermazhab Katholik. Bangsa Aria yang mendapat bantuan daripada kerajaan Roman Timur berjaya menewaskan kerajaan Clovis. Setelah berjaya menewaskan kerajaan Clovis, bangsa Aria berperang pula menentang kerajaan Roman Timur yang telah membantu mereka, kerana berebut kuasa ke atas tanah jajahan. Di negeri Inggeris pula bangsa Anglo dan bangsa Saxon terlibat di dalam kes perebutan tanah juga. Di Itali, kekuasaan kerajaan Roman sudah sangat lemah, lalu ia berpindah kepada kekuasaan gereja (agama Masehi). Kerajaan Yunani pula sudah dijajah oleh kerajaan Roman Timur.
Bangsa-bangsa yang kuat di Eropah sering menceroboh kedaulatan bangsa-bangsa yang lemah di Eropah Selatan. Bangsa Got dan bangsa Han berlumba-lumba memperluaskan tanah jajahan. Di tengah-tengah Asia Kecil muncul bangsa Turki yang berjaya menyekat perkembangan kekuasaan Yunani. Mana-mana bahagian dunia yang dikuasai oleh kerajaan Roman Timur mengalami kerosakan teruk akibat kekejaman perang dan kezaliman pemerintah. Bukan kerajaan Roman Timur sahaja yang melakukan kerosakan di atas muka bumi malah, sesiapa sahaja yang berjaya memperolehi kemenangan telah melakukan keganasan dan kerosakan, bahkan ada yang lebih ganas dan kejam daripada Roman Timur.
Bukan di Eropah sahaja bergolak. Pergolakan berlaku juga di Asia. Di Tibet, India dan Cina muncul fahaman-fahaman yang ganjil-ganjil dan kepercayaan mistik yang sukar difahami, baik dalam bidang keagamaan dan falsafah dan juga dalam bidang siasah. Perbezaan fahaman keagamaan, falsafah dan siasah sering menjadi isu yang menyebabkan persengketaan sesama sendiri. Keadaan diburukkan oleh lagi oleh peperangan yang berlaku dengan orang luar.
Kerajaan Masehi Roman Timur yang berpusat di Konstantinopal terlibat di dalam kancah peperangan dengan kerajaan Parsi. Kemenangan sering bertukar tangan di antara mereka. Selain kerajaan Parsi, kerajaan lain yang lebih kecil dapat dikalahkan oleh kerajaan Roman. Sayap penindasan kerajaan Roman sampai juga ke Mesir.
Dunia pada ketika itu penuh dengan kebuasan, kezaliman dan pertumpahan darah. Umat manusia lebih berminat melakukan kerosakan daripada berbuat kebaikan dan perdamaian. Pemimpin bukan lagi menjadi pelindung dan penyelamat rakyat malah, merekalah yang lebih dahulu menindas rakyat yang mereka pimpin. Nyawa manusia menjadi tidak berharga asalkan nafsu buas pemimpin yang berkuasa mendapat kepuasan. Sikap belas kasihan kepada rakyat yang lemah sangat jarang ditemui di kalangan golongan yang berkuasa.
Pada ketika itu masih ada golongan yang berpegang kepada nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama tetapi mereka tidak ada kekuatan untuk melakukan perubahan atau menyekat kerosakan yang melanda dunia dan umat manusia. Suara keagamaan tidak cukup lantang untuk sampai ke telinga orang-orang yang berkuasa. Di kebanyakan tempat pihak yang berkuasa mengadakan tekanan dan kongkongan terhadap ahli-ahli agama sehingga cahaya agama yang sebenar tertutup dan diperlihatkan cahaya agama yang telah diwarnai oleh pihak pemerintah. Seluruh pelusuk bumi sudah dicalarkan oleh kuku kuasa-kuasa besar, hanya satu tempat sahaja pada ketika itu yang masih selamat daripada kuku kerosakan penjajah. Tempat tersebut adalah Tanah Arab. Semenanjung Arab bukan diselamatkan oleh kekuatan dan kepintaran penduduknya tetapi ia diselamatkan oleh kekuatan alam semula jadi bumi bertuah itu. Lautan padang pasir dan gunung-ganang menjadi benteng pertahanan yang kuat menghalang percubaan kuasa besar untuk masuk ke dalamnya.
Umat manusia sangat berhajat kepada penyelamat yang mampu mengadakan perubahan, membela nasib golongan yang lemah dan memperbaiki segala macam kerosakan yang telah melanda dunia. Seluruh dunia sudah berada di dalam keadaan huru-hara, hanya bumi Arab yang masih bertahan. Bumi yang dipelihara itu menjadi tempat yang paling sesuai untuk dijadikan markas bagi penyelamat yang akan datang memulakan tugas demi umat manusia seluruhnya.
[ Semenanjung Arab Sebelum Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W :]
Walaupun sebahagian besar daripada Semenanjung Tanah Arab tidak berjaya dijajah oleh kuasa-kuasa besar namun, sebahagian daripadanya tidak terlepas daripada kuku penjajah. Bahrain dan Irak dijajah oleh kerajaan Parsi. Syria pula dijajah oleh kerajaan Masehi Roman Timur. Arab Hijaz dan Arab Tengah agak bernasib baik, walaupun mereka ada persefahaman untuk tunduk kepada kerajaan Parsi tetapi ia tidak dikuatkuasakan.
Di antara semua penduduk Arab, kaum Badwi yang tinggal di pergunungan dan padang pasir menjadi satu-satunya puak Arab yang benar-benar bebas daripada mana-mana kekuasaan penjajah. Mereka jugalah kemudian hari kelak menjadi tenaga pejuang yang paling kuat di dalam menyebarkan agama Islam ke seluruh pelusuk bumi Arab dan juga lain-lain tempat di atas muka bumi.
Sebelum Islam muncul di Tanah Arab, agama-agama Masehi dan Yahudi dan juga agama menyembah berhala sudah pun bertapak di sana. Di antara mereka penganut agama Yahudilah yang paling fanatik dan agresif. Mereka bukan sekadar mahu menjajah untuk mendapatkan kuasa dan harta malah mereka sangat benci dan memusuhi sesiapa sahaja yang tidak seagama dengan mereka. Mereka menganggapkan kekuasaan ke atas bangsa-bangsa lain sebagai satu jihad yang mulia. Di dalam melakukan jihad tersebut mereka membolehkan diri mereka melakukan apa sahaja asalkan tujuan mereka tercapai. Penindasan keagamaan yang berlaku di Tanah Arab biasanya ada kaitan dengan penganut agama Yahudi. Ketika berkuasa di Yaman orang-orang Yahudi telah membakar 20,000 penganut agama Masehi yang enggan menerima agama Yahudi. Pembunuhan beramai-ramai manusia yang tidak bersalah itu telah mencemarkan kemurnian agama Yahudi dan pencemaran tersebut diperturunkan kepada generasi Yahudi yang di belakang.
Agama Masehi pula kurang mendapat tempat di hati orang-orang Arab. Agama yang telah diresapi oleh fahaman mistik yang pelik-pelik itu tidak menarik minat orang Arab yang umumnya bersifat kebendaan. Walaupun ada sebilangan kecil orang Arab yang memeluk agama Masehi namun, agama tersebut tidak berjaya disebarkan dengan meluas. Agama yang paling popular kepada orang-orang Arab adalah agama menyembah berhala. Mereka yang masih percaya kepada Tuhan Pencipta langit dan bumi tidak terlepas daripada perbuatan syirik iaitu mengadakan berhala-berhala sebagai perantaraan di antara mereka dengan Tuhan. Beberapa buah berhala besar dibina di beberapa tempat. Di samping mempertuhankan berhala-berhala besar, suku dan keluarga Arab mempunyai berhala-berhala kecil yang juga dipertuhankan.
Selain daripada penyembah berhala ada juga suku-suku Arab yang menyembah bulan dan bintang, seperti suku-suku Kinanah, Lakham, Jurhum, Asad dan Tayyi. Kebanyakan daripada orang Arab tidak percaya kepada hari akhirat. Mereka beranggapan hidup ini berakhir dengan kematian. Oleh itu segala perkara mesti diselesaikan di dunia ini juga. Ada juga sebahagian daripada mereka yang percaya kematian bukan kesudahan kehidupan, terutamanya bagi orang yang mati dibunuh. Golongan ini percaya mangsa pembunuhan tidak dapat hidup aman pada alam lain sebelum dilakukan pembalasan terhadap pembunuhnya.
Ada juga segelintir puak Arab yang percaya kepada malaikat. Mereka percaya malaikat berhubung dengan orang-orang suci di kalangan mereka. Mereka yang dianggap suci itu dijadikan perantaraan untuk berhubung dengan malaikat dan juga dengan Tuhan. Selain daripada golongan tersebut ada pula puak yang percaya kepada dua tuhan iaitu tuhan kebaikan dan tuhan kejahatan. Tuhan kebaikan menjadikan yang baik-baik sahaja dan tuhan kejahatan menjadikan yang jahat-jahat sahaja.
Puak yang paling mulia di Makkah iaitu puak Quraisy menganut fahaman zindik, iaitu kepercayaan kepada cahaya dan gelap. Fahaman ini menolak kewujudan akhirat dan Tuhan. Fahaman yang demikian pada masa ini dipanggil ateis. Walaupun puak Quraisy ini tidak percaya kepada Tuhan tetapi mereka menyembunyikan fahaman mereka dengan cara berpura-pura mempercayai Tuhan supaya mereka tidak terasing daripada puak-puak Arab yang lain yang percaya kepada kewujudan Tuhan. Fahaman seperti fahaman zindik ini juga dipegang oleh golongan bangsawan di Yasrib, dan mereka kemudiannya membentuk kumpulan munafik yang menentang Rasulullah s.a.w secara sembunyi.
Agama Yahudi tidak dikembangkan kepada orang-orang Arab. Orang Yahudi beranggapan bangsa Arab lebih hina daripada mereka dan tidak layak diterima sebagai penganut agama mereka. Agama Yahudi dijadikan agama yang khusus untuk bangsa mereka sahaja. Selain daripada sikap orang Yahudi yang demikian, permusuhan dengan kerajaan Masehi Roman Timur juga menyebabkan pergerakan kaum Yahudi terhalang. Kerajaan Roman Timur berjaya mengalahkan kerajaan Yahudi di Yaman dan mereka memperhebatkan gerakan memburu orang Yahudi sebagai membalas dendam terhadap perbuatan Yahudi membakar kaum Masehi di Yaman. Di mana sahaja dijumpai, tentera Roman Timur akan membunuh orang Yahudi. Orang Yahudi terpaksa melarikan diri ke seluruh pelusuk muka bumi. Sebahagian besar daripada mereka membuat tempat tinggal di Khaibar dan Yasrib. Mereka membina benteng yang kukuh di sekeliling perkampungan mereka. Mereka tidak berani keluar jauh daripada benteng pertahanan mereka. Oleh yang demikian mereka terpaksa menggunakan khidmat orang-orang Arab di dalam menguruskan perniagaan dan perladangan mereka. Jadi, tekanan daripada pihak kerajaan Roman Timur dan keegoan mereka sendiri menyebabkan agama Yahudi tidak berkembang di Semenanjung Arab.
Ada sebilangan kecil puak Arab yang masih mengesakan Tuhan. Mereka terdiri daripada pemimpin  Banu Hasyim yang menguasai pengurusan Kaabah. Mereka tetap melakukan ibadat haji, umrah, bertawaf mengelilingi Kaabah dan menyembelihkan binatang korban. Pegangan mereka bersumberkan ajaran Nabi Ibrahim a.s.
Secara umumnya orang Arab percaya kepada Tuhan yang menciptakan alam tetapi mereka beranggapan Tuhan terlalu tinggi dan mereka tidak mampu berhubung secara langsung dengan Tuhan. Mereka percaya ada benda-benda alam yang dikasihi oleh Tuhan. Mereka berpendapat perhubungan dengan Tuhan perlu dibuat melalui benda-benda yang Tuhan kasihi. Bagi memudahkan upacara perhubungan dan penyembahan mereka membina patung-patung yang menyerupai sesuatu yang dianggap sebagai dikasihi oleh Tuhan. Mereka mengadakan penyembahan dan persembahan kepada patung-patung tersebut sebagai cara untuk menyampaikan hajat kepada Tuhan Yang Maha Tinggi.
Umat manusia di seluruh Semenanjung Arab dan juga di seluruh pelusuk dunia dibungkus oleh kegelapan akidah dan dicengkam oleh keruntuhan moral. Ajaran nabi-nabi yang pernah diutuskan oleh Tuhan telah dipinda oleh orang-orang yang gila kuasa sehingga ketulenan ajaran tersebut tidak dapat dikenalpasti lagi. Apa juga ajaran agama yang tidak disenangi oleh pihak yang berkuasa akan diubahsuai. Bumi Parsi menyaksikan banyak agama-agama dihancurkan oleh pemerintah. Agama-agama Zoroaster, Manu dan Mazdak menemui kehancuran di Parsi.
Agama Masehi pula diputarbelitkan oleh orang-orang Masehi yang tunduk kepada pemerintahan kerajaan Roman Timur. Agama Yahudi dirosakkan oleh kaum Yahudi sendiri. Di tempat-tempat lain muncul agama falsafah yang direka oleh akal dan khayalan manusia sendiri. Kemusnahan akidah berlaku di merata tempat dan ia diikuti oleh kehancuran nilai-nilai akhlak yang murni. Banyak perkara yang diterima pakai sebagai adat dan kebudayaan telah merosakkan nilai-nilai murni kemanusiaan. Di dalam kebudayaan orang Arab Jahiliah dan juga bangsa-bangsa lain, arak merupakan minuman kegemaran orang ramai. Darah umat manusia yang bercampur dengan najis arak menjadi medan yang luas bagi syaitan melakukan kerosakan ke atas Banu Adam. Puisi dan syair yang memuji dan memuja arak sering diperdendangkan. Arak menjadi pintu kepada berbagai-bagai lagi perlakuan akhlak yang hina. Judi dan zina berleluasa di dalam masyarakat. Di dalam tradisi mereka juga kaum lelaki boleh berkahwin seberapa ramai yang mereka mahu asalkan mereka mampu. Kaum lelaki juga berhak menceraikan isteri mereka sesuka hati mereka. Kaum wanita menerima nasib yang lebih malang apabila mereka yang kematian  suami dikira sebagai sebahagian daripada harta pusaka suami yang berhak dituntut oleh waris si suami. Tradisi yang demikian menyebabkan sistem kekeluargaan menjadi kucar kacir. Dan, yang paling buruk berlaku di dalam tradisi Arab Jahiliah adalah adat kejam menanam anak perempuan yang baharu lahir.
Kerosakan akidah dan akhlak yang menyerang penduduk di Tanah Arab tidak mampu dibendung oleh orang Masehi dan orang Yahudi. Orang Yahudi lebih berminat mengembangkan perniagaan mereka yang berasaskan riba. Perpecahan yang berlaku di kalangan masyarakat Arab memudahkan kaum Yahudi mengembangkan ekonomi mereka tanpa  persaingan besar daripada puak Arab.
Jika kaum Yahudi sibuk mengumpulkan harta kaum Masehi pula tidak mempunyai kepimpinan yang berkaliber untuk mengadakan pembaikan ke atas umat manusia. Ajaran mistik yang kompleks menyebabkan agama tersebut menjadi satu agama yang sukar difahami oleh orang ramai. Oleh kerana itu banyak daripada urusan agama dilakukan oleh pihak gereja sahaja. Orang ramai yang telah menyerahkan urusan agama mereka kepada pihak gereja sudah dianggap mendapat keselamatan.
Orang Arab secara umumnya mempunyai fikiran yang terbuka dalam banyak perkara tetapi mereka sangat fanatik dalam soal kepercayaan dan adat resam. Prinsip mereka dalam perkara tersebut adalah berpegang teguh dengan apa juga yang mereka pusakai daripada nenek moyang mereka. Pusaka nenek moyang yang menyentuh soal kepercayaan dan adat resam tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapapun.

[ Nabi Muhammad S.A.W Dan Kaum Muslimin Bertanggungjawab Menyelamatkan Umat Manusia Dan Dunia Seluruhnya ]
Di tengah-tengah kerosakan akidah dan akhlak yang melanda umat manusia di Semenanjung Tanah Arab dan di seluruh dunia itulah Allah s.w.t mengutuskan Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Pada masa Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan, di dalam dunia ini ada tidak lebih daripada tiga puluh orang yang mengenal Allah s.w.t sebagaimana yang patut dikenali. Kenyataan ini diterima oleh Salman al-Farisi daripada pendeta terakhir yang beliau temui di Ammuria, dalam perjalanannya mencari kebenaran, sehinggalah beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w di Madinah. Pertemuan dengan Nabi Muhammad s.a.w mengakhirkan pencarian Salman. Dia telah menemui kebenaran.
Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan membaiki seluruh dunia. Hanya satu agama yang lengkap dan sesuai dengan fitrah asli sekalian manusia yang mengimbangi soal lahiriah dengan soal batiniah mampu menangani masalah berat yang sedang melanda dunia dan penghuninya. Agama tersebut adalah ISLAM! Baginda s.a.w diutuskan bagi menyampaikan risalat dari Allah s.w.t  dan mentadbir urusan makhluk di dalam dunia ini agar peraturan Allah s.w.t dipatuhi oleh sekalian manusia. Kaum Muslimin yang menjadi umat baginda s.a.w juga memikul amanah tersebut, bertanggungjawab menyambung perjuangan baginda s.a.w. Tugas tersebut terletak di atas bahu umat Nabi Muhammad s.a.w hinggalah kepada hari kiamat. Jalan yang telah dipelopori oleh Nabi Muhammad s.a.w dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda s.a.w adalah sebaik-baik dan sebenar-benar jalan. Jalan yang paling baik dan paling benar ini juga dilalui oleh para pengikut baginda s.a.w yang datang kemudian.
Dasar agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah mengabdikan diri kepada Tuhan Yang Maha Esa dan mencari kesejahteraan hidup di akhirat tanpa melupakan tanggungjawab terhadap kehidupan dunia dan makhluk Tuhan sekaliannya. Tugas utama mereka adalah menyucikan akidah mereka sendiri, kaum keluarga dan umat manusia sekaliannya. Tugas susulan yang tidak kurang penting adalah memurnikan akhlak diri sendiri, kaum keluarga dan umat manusia sekaliannya. Akidah dan akhlak merupakan dua agenda paling penting di dalam tarekat Nabi Muhammad s.a.w yang juga diikuti oleh para sahabat baginda s.a.w.

No comments:

Post a Comment