Tuesday, November 8, 2011

KEBENARAN HAKIKI 5

[ 5. JALAN PARA SAHABAT R.A ]

Kaum Muslimin yang dibimbing secara langsung oleh Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kecemerlangan dalam apa juga bidang yang mereka ceburi dan apa juga suasana yang mereka berada di dalamnya. Mereka mampu bertahan ketika menghadapi ujian bala bencana, menanggung penghinaan, ejekan, penentangan dan penyiksaan sehingga mereka terpaksa mengharungi lautan ke Habsyah dan meredah padang pasir ke Yasrib demi menyelamatkan agama mereka. Di hadapan Raja Habsyah, Jaafar bin Abu Talib selaku ketua Muhajirin di Habsyah, telah memberi penerangan lengkap dan jelas mengenai Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam, mematahkan hujah wakil pihak Quraisy yang menuntut agar kaum Muslimin dihantar pulang ke Makkah. Jelas sekali para sahabat Rasulullah s.a.w bukan sahaja memiliki ketahanan jiwa menanggung kesusahan malah mereka juga memiliki kecerdasan akal fikiran. Mereka adalah duta-duta Rasulullah s.a.w, menterjemahkan sifat-sifat baginda s.a.w iaitu benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana. Mereka boleh berdiri di hadapan sesiapa sahaja bagi menyampaikan kebenaran secara bijaksana. Apa yang terbit dari mereka adalah bakat-bakat dan sifat-sifat Roh Islam yang tulen yang memenuhi seluruh rongga tubuh mereka dan setiap ruang hati mereka. Ketulenan Roh Islam yang mengendalikan kehidupan mereka menyebabkan mereka Islam pada perkataan, Islam pada perbuatan dan Islam pada amalan hati.
Ketulenan Roh Islam lahir apabila ia digilap dengan cara mengesakan Allah s.w.t, mengabdikan diri kepada-Nya dengan beramal salih dan bertakwa serta mengasihi saudara Muslimnya apa yang dikasihi untuk dirinya sendiri. Apabila jalan atau tarekat tersebut diikuti akan muncullah Roh Islam yang sejati dan tulen. Ketulenan itu diuji pula dengan dihadapkan kepada ujian bala bencana, penekanan pada zahir dan batin. Jika ujian bala tidak mencederakan iman maka sahlah ketulenan Roh Islam seseorang Muslim itu. Begitulah tarekat yang didukung oleh kaum Muslimin yang diasuh secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. Mereka tundukkan jasad kepada pemerintahan roh dan roh ditundukkan kepada perintah Allah s.w.t yang disampaikan melalui Rasulullah s.a.w. Roh Islam tidak dikuasai oleh sesuatu melainkan kekuasaan Allah s.w.t. Roh Islam merdeka dari segala sesuatu kecuali Allah s.w.t, Rasul-Nya dan agama-Nya. Apa juga kekacauan yang melanda dunia tidak akan sampai kepada Roh Islam selagi orang Islam tidak menjualkan akhiratnya untuk kebendaan dan duniawi.
Kaum Muslimin dibimbing oleh Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w dibimbing oleh Jibrail a.s. Jibrail a.s dibimbing oleh Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w telah memasuki satu jalan khusus untuk baginda s.a.w sendiri. Baginda s.a.w memasuki alam khalwat sewaktu berusia 36 tahun. Baginda s.a.w pergi ke Gua Hiraa melalui bimbingan Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya: Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – al-Quran)? ( Ayat 7 : Surah adh-Dhuha )
Tuhan yang memimpin Nabi Muhammad s.a.w ke Gua Hiraa. Pimpinan yang demikian dinamakan Tarikan Rahmani atau tarikan yang langsung dari Allah s.w.t. Ketika mencari kebenaran Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi kepada pendeta Yahudi dan Nasrani yang terkenal alim mengenai kitab-kitab dari langit dan juga ilmu falsafah. Baginda s.a.w pergi ke Gua Hiraa yang gelap gelita, meletakkan sepenuh harapan dan pergantungan kepada Allah s.w.t. Apa yang dicari oleh Nabi Muhammad s.a.w tidak dapat dihurai dan dibukakan oleh sesiapa sahaja kecuali Allah s.w.t. Apa yang Allah s.w.t berkehendak mengurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w melebihi apa yang mampu diberikan oleh manusia.
Setelah fitrah suci baginda s.a.w menerima pembukaan dengan kedatangan wahyu yang pertama, selesailah urusan berkhalwat. Khalwat di Gua Hiraa telah memberikan makna yang besar kepada penghidupan Nabi Muhammad s.a.w. Latihan tersebut menjadi asas yang kukuh di dalam pembentukan keperibadian dan kekuatan jiwa Nabi Muhammad s.a.w. Hasilnya rohani dan jasmani baginda s.a.w mampu bertahan menerima kunjungan wahyu yang maha berat dan ia juga membuatkan baginda s.a.w mampu melakukan Israk dan Mikraj di kemudian hari nanti. Tanpa kekuatan yang diperolehi di Gua Hiraa mungkin jasad dan roh baginda s.a.w akan hancur bila ‘dihempap’ oleh wahyu dan bila baginda s.a.w memasuki alam tinggi ketika Mikraj. Hanya golongan nabi-nabi yang dipersiapkan untuk menjadi cukup kuat bagi menerima kedatangan wahyu dan juga memasuki alam tinggi. Golongan yang selain nabi-nabi, walaupun siddiqin dan salihin, mereka hanya menerima percikan wahyu dan memasuki alam tinggi secara pengalaman kerohanian seperti zauk dan kasyaf, tidak secara langsung seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh yang demikian siddiqin dan salihin juga wajib merujuk kepada wahyu di dalam menentukan kebenaran sesuatu perkara. Siddiqin yang paling utama, Abu Bakar as-Siddik, juga tertakluk kepada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada fikiran, ilham dan kasyaf orang siddik dan salih yang bebas daripada wahyu. Kenyataan ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w tidak meninggalkan khalwat sebelum wahyu datang. Para sahabat tidak meninggalkan Rasulullah s.a.w, sentiasa mentaati baginda s.a.w dalam apa perkara sekali pun.
Setelah wahyu datang tamatlah peringkat khalwat yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w sebagai penterjemah wahyu yang paling arif menyampaikan ajaran wahyu kepada pengikut-pengikut baginda s.a.w tanpa membawa mereka memasuki proses khalwat baik di Gua Hiraa atau di mana-mana gua. Tarekat atau jalan sebelum kedatangan wahyu dengan selepas kedatangan wahyu adalah berbeza. Wahyu membawa Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut baginda s.a.w memasuki tarekat kehidupan harian di atas muka bumi, di dalam dunia, secara bertauhid dan beramal salih serta bertakwa. Semua itu dilakukan dengan memperakui dan memelihara kewujudan kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Golongan hamba yang telah memeluk agama Islam memperakui kedudukan mereka sebagai hamba. Tidak ada hamba yang memeluk Islam lari dari tuan mereka. Mereka tetap menghormati institusi kemasyarakatan sekalipun telah memilih Islam yang mempunyai institusinya sendiri. Golongan pedagang terus juga berdagang. Golongan pertukangan dan pertanian terus juga bertukang dan bertani. Tidak ada di antara mereka yang meninggalkan urusan kehidupan harian lantaran mahu berkhalwat secara khusus seperti yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. Islam tidak mengubah kehidupan harian. Apa yang Islam buat adalah menyusun semula kehidupan itu agar ia menjadi jalan yang lurus menuju kebaikan di dunia dan di akhirat dan seterusnya menemui Tuhan Rabbul Jalil.
Muslim generasi pertama telah membina asas jalan yang lurus dengan keringat dan darah mereka, dengan harta dan jiwa mereka. Generasi yang datang kemudian dapat berjalan di atas jalan lurus yang sudah siap di bina, tidak perlu lagi membina jalan yang lain. Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w yang berjuang menegakkan jalan yang lurus itu tidak melepaskan sifat-sifat benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana dalam segala urusan termasuklah ketika bertawakal, berserah diri dan beriman kepada Qadak dan Qadar. Mereka beriman kepada takdir dan berserah diri secara bijaksana dan benar. Mereka melihat tanda mereka berserah diri kepada Tuhan adalah mereka menggunakan segala bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka untuk bergerak di atas jalan yang lurus, melakukan amal salih dan bertakwa. Mereka melihat bahawa tanda mereka beriman kepada takdir adalah mereka menggunakan segala kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan yang benar kerana yang demikian itulah takdir yang paling benar, sementara yang lain itu hanyalah bayangan takdir yang samar-samar dan tidak layak diimani.
Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan contoh teladan yang benar mengenai konsep beriman kepada takdir dan bertawakal. Baginda s.a.w cenderung bergerak dan bertindak di dalam sempadan kemanusiaan biasa dengan menggunakan bakat kemanusiaan seperti orang ramai. Pada malam pemuda-pemuda Quraisy mengepung rumah baginda s.a.w untuk membunuh baginda s.a.w, baginda s.a.w telah menyuruh Saidina Ali bin Abu Talib tidur di tempat baginda s.a.w biasa tidur dan Saidina Ali diselimutkan dengan kain selimut baginda s.a.w sendiri. Baginda s.a.w menggunakan strategi, kebijaksanaan dan helah kemanusiaan untuk mengalahkan kumpulan yang mahu membunuh baginda s.a.w itu. Setelah keluar dari rumah, baginda s.a.w bersama-sama sahabat paling akrab, Saidina Abu Bakar, bersembunyi di dalam Gua Saur. Rancangan persembunyian di sana telah di atur dengan sangat rapi sehingga rahsia tersebut tidak bocor. Semasa di dalam persembunyian itu maklumat sentiasa di hantar kepada baginda s.a.w oleh anak lelaki Saidina Abu Bakar. Makanan disediakan oleh bekas hamba Saidina Abu Bakar yang mengembalakan kambing Saidina Abu Bakar di kaki Bukit Saur. Semua jejak yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar dihapuskan sehingga tidak ada tanda-tanda yang mereka bersembunyi di Gua Saur. Sekali lagi kaum musyrikin ditewaskan oleh kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.
Sebaik sahaja keadaan di dalam negeri Makkah reda dan tenang sedikit dan telah ada ruang untuk Rasulullah s.a.w bergerak, maklumat tersebut dengan pantas dihantarkan oleh anak Saidina Abu Bakar dan dengan segera pula Rasulullah s.a.w bertindak di atas kesempatan yang terbuka itu. Unta-unta Saidina Abu Bakar yang kuat, yang dijaga khusus untuk tujuan hijrah itu, dan bekalan makanan dengan segera dihantarkan ke Gua Saur. Rasulullah s.a.w bersama-sama Saidina Abu Bakar, dengan dipandu oleh jurupandu yang mahir, bersegera meninggalkan Gua Saur. Pergerakan yang begitu pantas hanya boleh terjadi dengan perancangan yang rapi dan bijaksana. Setelah meninggalkan Gua Saur baginda s.a.w mengambil jalan yang bertentangan dengan arah Yasrib. Jalan yang paling sukar dan paling tidak di sangka telah dipilih oleh Rasulullah s.a.w. Selepas melepasi kawasan bahaya baharulah Rasulullah s.a.w membelok ke arah Yasrib.
Tidak ada pengkaji sejarah yang tidak berasa kagum dengan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. Kebijaksanaan baginda s.a.w sudah menyerlah ketika baginda s.a.w masih muda belia lagi. Kekuatan akal baginda s.a.w dapat mengalahkan kekuatan akal semua manusia. Semua akal tunduk kepada akal yang mendapat pembukaan daripada Allah s.w.t. Kebijaksanaan merupakan mukjizat Rasulullah s.a.w yang sangat ketara. Ketika suku-suku Quraisy sudah sampai kepada peringkat mahu berperang sesama sendiri akibat kebuntuan akal mereka menentukan siapakah yang layak meletakkan semula Hajaral Aswad ke tempat asalnya setelah Kaabah dibina semula, Nabi Muhammad s.a.w yang pada masa itu masih seorang pemuda, dengan mudah sahaja menyelesaikan pertikaian tersebut, tanpa memerlukan masa untuk berfikir, tanpa meminta pendapat sesiapa dan tanpa ragu-ragu baginda s.a.w mengeluarkan formula yang diterima oleh semua orang. Kebijaksanaan baginda s.a.w menjadi lebih sempurna lagi setelah mendapat penerangan daripada wahyu. Tidak ada sepatah pun perkataan baginda s.a.w yang sia-sia. Tidak ada satu pun perbuatan baginda s.a.w yang tidak bermanfaat. Hanya Nabi Muhammad s.a.w seorang sahaja di dunia ini yang setiap patah perkataan dan setiap perbuatannya direkodkan. Hingga kini belum ditemui sebarang kesilapan pada perbuatan dan perkataan baginda s.a.w.
Rasulullah s.a.w melaksanakan segala tugas dengan cemerlang, dengan menggunakan bakat dan keupayaan kemanusiaan. Memang benar baginda s.a.w dikurniakan mukjizat tetapi mukjizat hanya datang setelah baginda s.a.w menggunakan bakat kemanusiaan dalam melaksanakan tugas. Baginda s.a.w tidak melemparkan sifat-sifat kemanusiaan lantaran kunci mukjizat berada dalam tangan. Bahkan keupayaan baginda s.a.w menyelesaikan masalah kemanusiaan dengan menggunakan bakat kemanusiaan merupakan mukjizat yang sangat luar biasa. Baginda s.a.w telah membuktikan bahawa seseorang insan yang dapat mempertahankan sifat-sifat kemanusiaan dan kehambaan dalam segala keadaan dan makam itulah perkara yang sangat luar biasa. Di bumi, Nabi Muhammad s.a.w bergerak sebagai hamba Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Di langit, Nabi Muhammad s.a.w bergerak sebagai hamba Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Bahkan di hadapan Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w sujud sebagai hamba-Nya dan Rasul-Nya.Tidak terbalik pandangan baginda s.a.w lantaran berlaku perubahan stesen dan makam.
Peristiwa hijrah memberi pengajaran yang sangat berguna kepada umat manusia agar mereka menghargai bakat dan keupayaan kemanusiaan yang Allah s.w.t kurniakan kepada mereka. Nabi Muhammad s.a.w telah mengajarkan bahawa menggunakan akal fikiran, mengadakan strategi dan perancangan serta melakukan ikhtiar dan usaha adalah sebahagian daripada pakej beriman kepada takdir, bertawakal dan berserah diri. Jika ada orang yang mentafsirkannya secara lain tentu sekali tafsirannya berbeza dengan tafsiran yang dikeluarkan secara nyata melalui perbuatan oleh Rasulullah s.a.w.
Sebelum kedatangan wahyu Nabi Muhammad s.a.w memasuki amalan berkhalwat. Setelah wahyu datang baginda s.a.w dibimbing oleh wahyu untuk membimbing umat manusia. Baginda s.a.w membawa pengikut-pengikut baginda s.a.w meredah lautan bala bencana, menanggung penyiksaan dan menghadapi penentangan kerana semua itu adalah batu ujian yang menggilap iman. Tarekat khalwat sudah berubah menjadi tarekat kehidupan harian yang penuh dengan ujian bala bencana.
Rasulullah s.a.w dan Muslim generasi pertama berjalan di atas ranjau kehidupan, menghadapi kezaliman dan menanggung penderitaan. Keluarga Yasir yang menjadi hamba kepada suku Banu Makhzum telah diseksa dengan sangat teruk sekali. Mereka dijemur di lembah Makkah diwaktu panas terik dengan diletakkan batu di atas dada mereka. Rasulullah s.a.w menziarahi keluarga Yasir dan memberikan kekuatan rohani kepada mereka. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bergembiralah wahai keluarga Yasir. Kamu akan mendapat tempat di dalam syurga”. Ucapan Rasulullah s.a.w itu menjadi penawar yang sangat mujarab, memberi kekuatan kepada keluarga Yasir untuk menanggung penderitaan yang sedang menimpa mereka. Mereka mampu mempertahankan iman mereka dengan penuh kesabaran. Mereka telah terhibur dengan janji yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka sedikit pun tidak berasa ragu dengan jaminan Rasulullah s.a.w itu. Mereka telah mencium bau syurga dan ia menjadikan mereka tenang, reda dengan takdir Tuhan. Kebahagiaan syurga yang menunggu di hadapan menyapu segala kesakitan yang sedang dialami.
Walaupun diseksa dengan hebatnya oleh Banu Makhzum namun keluarga Yasir tidak berganjak daripada kepercayaan mereka. Usaha untuk membawa mereka kepada kekufuran hanya sia-sia. Orang Banu Makhzum yang gagal mengubah akidah keluarga Yasir, menjadi kerasukan syaitan. Apabila syaitan sudah menguasai mereka sepenuhnya hilanglah keperimanusiaan mereka. Dada Yasir direjam dengan tombak. Samyah, isteri Yasir, menjadi lebih bersemangat dan berani menentang tuannya. Banu Makhzum tidak tahu hendak buat apa lagi dengannya. Samyah diserahkan kepada Abu Jahal yang ikut serta menyeksa keluarga Yasir itu. Abu Jahal yang bersekutu dengan iblis, mengambil sebilah tombak dan dengan sekuat-kuat tenaganya merejamkan tombak itu ke bahagian kemaluan Samyah hingga tembus ke belakang. Keluarlah dua roh suci, naik kepada Tuhan mereka, membawa kemenangan di dalam mempertahankan tauhid. Yasir dan isterinya Samyah menjadi syuhada yang pertama dalam Islam. Nama mereka yang diukir dengan tinta emas tidak mungkin padam dari lembaran sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. Yasir dan Samyah mendahului para syuhada yang lain, menunggu mereka di pintu syurga.
Selain Yasir dan keluarganya, Bilal bin Rabah dan ibunya juga menerima seksaan yang berat daripada tuan mereka. Mereka menjadi hamba kepada Umayyah bin Khalaf. Bilal menghadapi segala penyeksaan ke atasnya dengan semangat yang kental. Bilal berkata kepada tuannya: “Walaupun tuan cincang lumat badan saya, tuan pisahkan roh dari tubuh saya, namun agama ini tetap saya anuti dan saya pertahankan sedaya upaya saya. Tubuh saya tidak memerlukan makanan yang enak atau pakaian yang cantik atau kehidupan yang selesa. Roh saya yang memerlukan makanan dan pakaian dan perlu dipersucikan. Kini saya sudah temui yang dapat memenuhi keperluan  roh saya sebanyak mungkin. Saya tidak memerlukan apa-apa lagi dari tuan. Sia-sia sahaja tuan menghalangi saya dari mendapatkan yang demikian”.
Ketegasan Bilal menambahkan kemarahan Umayyah. Tangan Bilal diikat dan lehernya dibelit dengan rantai yang berduri. Bilal tidak diberi makan dan minum. Usaha yang kejam itu gagal meruntuhkan iman Bilal. Kemudian Bilal diheret mengelilingi kota Makkah. Orang ramai mengejeknya sambil membalingnya dengan batu. Tindakan begini juga tidak menggugat iman Bilal. Apabila sampai berhampiran dengan Kaabah Bilal menjerit sekuat-kuat hatinya: “AHAD! AHAD! AHAD!” Perkataan inilah yang sangat dibenci oleh kaum musyrikin Quraisy. Bilal tidak putus-putus menyebut Ahad, Ahad, Ahad. Bilal dibawa pula ke padang pasir yang sangat panas. Beliau dipakaikan baju perang (baju besi). Bilal yang dipakaikan baju besi itu dijemur di tengah panas yang sangat terik. Iman Bilal terus memancar. Perkataan Ahad terus keluar dari celah bibirnya. Orang musyrikin sudah tidak dapat menahan geram lagi. Mereka beramai-ramai mengangkat seketul batu besar dan diletakkan di atas dada Bilal. Nun di atas sana matahari ‘menyala’. Di bawah pula pasir ‘membara’. Di antara keduanya adalah Bilal yang berpakaian baju besi dan ditindih pula oleh batu besar. Bilal tidak nampak matahari, pasir atau batu besar. Bilal tidak merasakan kepanasan atau keberatan. Bilal hanya melihat satu sahaja iaitu Yang Maha Satu, Maha Esa, Ahad! Bilal menikmati kelazatan menyaksikan Yang Maha Esa. Dari celah bibirnya, dengan nada yang perlahan dan tersekat-sekat, masih lagi keluar ucapan: “Ahad! Ahad! Ahad!” Dengarlah Bilal bermunajat: “Jika mereka mahu membunuh aku agar aku menyengutukan Tuhan ar-Rahman, biarlah aku mati daripada aku berbuat demikian. Aku lebih takut menyengutukan Allah. Allahumma! Tuhan Ibrahim, Tuhan Yunus, Tuhan Musa dan Tuhan Isa. Selamatkan iman daku!”
Bilal telah lulus ujian makam keesaan. Bilal sudah memperolehi pancaran Ahadiyyah. Allah s.w.t menghantarkan wakil-Nya untuk menyelamatkan hamba-Nya yang telah membuang segala sesuatu dari hatinya selain Allah s.w.t. Abu Bakar, lelaki benar lagi jujur, datang ke tempat Bilal yang sedang teruk diseksa. Abu Bakar mahu membeli Bilal yang imannya sudah dibeli oleh Allah s.w.t. Apakah Umayyah mahu melihat Bilal mati dan dia kerugian? Umayyah mengambil peluang yang ditawarkan oleh Abu Bakar. Bilal dijualkan kepada Abu Bakar dengan harga lima kali lebih mahal daripada harga biasa seorang hamba. Abu Bakar membayarnya tanpa tawar menawar. Abu Bakar cuba mengangkat batu yang di atas dada Bilal tetapi tidak berdaya. Beliau naik berang. Disergahnya orang-orang yang berada di tempat itu. Baharulah mereka datang mengangkat batu tersebut. Baju besi juga ditanggalkan dari tubuh Bilal. Bilal sudah bebas dari matahari yang menyala dan pasir yang membara. Bilal sudah bebas dari batu yang menindih dadanya. Bilal sudah bebas dari baju besi yang membungkusnya.
Bilal bertanya kepada Abu Bakar: “Adakah tuan membeli saya untuk menjadi hamba tuan?” Abu Bakar menjawab: “Demi Allah, wahai Bilal engkau aku bebaskan”. Bebaslah Bilal sepenuhnya dari segala bentuk perhambaan kecuali kehambaan terhadap Allah s.w.t. Ibu Bilal, Hamamah, juga dibeli oleh Abu Bakar dan dimerdekakan. Lain-lain hamba yang dibeli dan dibebaskan oleh Abu Bakar adalah Amir bin Furahah (lelaki yang mengembala kambing di kaki Gunung Saur sewaktu Rasulullah bersembunyi di sana sebelum berangkat ke Madinah), Abu Fukaihah, Zinnirah, Ummu Ubais, an-Nahyah dan anak perempuannya, Khabbab bin al-Aratti (lelaki yang berada bersama-sama adik perempuan Umar al-Khattab dan suaminya ketika Umar menerpa masuk dan merampas lembaran yang tertulis ayat al-Quran yang sedang dibaca oleh adiknya) dan seorang hamba perempuan kepada Banu Zuhrah.
Rasulullah s.a.w dan Muslim telah menjalani tarekat ujian bala. Mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman, rumah tangga, kaum keluarga, harta benda dan pekerjaan demi menyelamatkan akidah mereka. Walau bagaimana keras ujian yang mereka terima namun, mereka tetap berpijak di atas bumi yang nyata. Tarekat mereka adalah kekhalifahan di bumi. Mereka beriman kepada akhirat dan perkara ghaib dan mereka juga beriman kepada perkara kehidupan harian di dalam dunia ini yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka menuju akhirat dengan menunggang dunia. Tidak ada di antara mereka yang lari daripada dunia lantaran cintakan Allah s.w.t dan akhirat.
Mereka adalah kumpulan yang diperakui oleh Rasulullah s.a.w sebagai puak yang paling baik pernah wujud di atas muka bumi. Itulah puak yang menggabungkan kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, puak yang menjadikan dunia sebagai kebun akhirat. Mereka menyintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya tanpa membuang dunia dan akhirat. Mereka mendukung tarekat Islam iaitu mentaati Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan melakukan kehambaan kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar kehambaan serta melakukan amal salih dan bertakwa.
Mungkin tidak seorang pun yang datang kemudian telah mengalami zauk atau kefanaan yang dialami oleh Bilal sewaktu dijemur di panas terik dengan  berpakaian baju besi dan ditindih batu besar di atas dadanya. Dalam kemuncak kefanaan dan zauk Bilal mengucapkan: “Ahad! Ahad! Ahad!” Suasana ketuhanan yang menguasai Bilal dan yang sedang disaksikan oleh mata hati Bilal menyebabkan terucap perkataan AHAD bukan “ana al-Haq!” Masih adakah umat kemudian yang semulia Bilal, juru azan Rasulullah s.a.w? Bukankah pada malam Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w mendengar bunyi terompah Bilal di dalam syurga. Kemuliaan dan ketinggian darjat Bilal masih tidak mengatasi darjat Abu Bakar as-Siddik, sedangkan Abu Bakar tidak melalui makam fana dan zauk. Beliau r.a sentiasa di dalam keadaan jaga. Zauknya adalah mencintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Kefanaan beliau r.a adalah wahyu. Kebaqaan beliau r.a adalah ubudiah. Begitu juga halnya dengan Umar, Usman dan Ali. Jalan yang ditempuh oleh para sahabat itu adalah jalan yang dibimbing secara langsung oleh Rasulullah s.a.w dan jalan demikian diistilahkan sebagai jalan kenabian.

KEBENARAN HAKIKI 4

[ 4. RASULULLAH S.A.W DAN PARA SAHABAT FANA DALAM WAHYU  BAQA DALAM UBUDIAH ]


Pada hari Isnin 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos tahun 610 Masehi, ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 40 tahun, 6 bulan dan 8 hari, datanglah malaikat Jibrail a.s kepada baginda s.a.w yang sedang berkhalwat di Gua Hiraa. Jibrail a.s yang muncul secara tiba-tiba itu terus berkata: “Baca!” Nabi Muhammad s.a.w menjawab: “Saya tidak tahu membaca”. Jibrail a.s terus menangkap Nabi Muhammad s.a.w. Diserkupnya baginda s.a.w dengan kain rida’ dan dipeluknya sehingga baginda s.a.w mengalami kesukaran untuk bernafas. Kemudian dilepaskannya dan disuruhnya baginda s.a.w membaca seperti mulanya. Baginda s.a.w masih mengatakan tidak tahu membaca. Sekali lagi Jibrail a.s menangkap Nabi Muhammad s.a.w dan dilakukannya seperti mula-mula tadi. Pelukan Jibrail a.s kali ini lebih erat daripada yang pertama tadi, menyebabkan baginda s.a.w hampir-hampir tidak dapat bernafas. Kemudian baginda s.a.w dilepaskan oleh Jibrail a.s dan disuruhnya lagi baginda s.a.w membaca. Baginda s.a.w masih mengatakan tidak tahu membaca. Buat kali ke tiga Jibrail a.s menangkap Nabi Muhammad s.a.w, menutup baginda s.a.w dengan kain rida’ dan memeluk baginda s.a.w dengan erat. Perbuatan yang demikian sangat memayahkan baginda s.a.w bernafas. Setelah melepaskan baginda s.a.w buat kali ke tiganya, Jibrail a.s membacakan firman Allah:  Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -  Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. ( Ayat 1 – 5 : Surah al-‘Alaq )
Termetrailah wahyu pertama di dalam dada Nabi Muhammad s.a.w. Sekali Jibrail a.s membacakan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w, wahyu tersebut akan melekat, terpahat pada hati baginda s.a.w, tidak akan hilang atau pudar buat selama-lamanya. Baginda s.a.w mengikuti bacaan Jibrail a.s dengan fasih. Setiap huruf dan ayat yang baginda s.a.w bacakan membuka segala tutupan dan menghuraikan segala simpulan yang tidak mampu dihuraikan oleh fitrah baginda s.a.w selama baginda s.a.w berkhalwat di Gua Hiraa. Apa yang tidak mampu disingkap oleh akal dan renungan batin sudah terjawab dengan kedatangan wahyu. Kebenaran yang disampaikan oleh wahyu adalah kebenaran yang muktamad.
Nabi Muhammad s.a.w menerima perkhabaran wahyu dengan sepenuh jiwa raga tanpa sebarang keraguan walaupun sebesar zarah. Baginda s.a.w yakin penuh dengan kebenaran berita dan janji yang wahyu sampaikan. Wahyu sentiasa turun membimbing baginda s.a.w serta memberi ketetapan hati, meneguhkan kepercayaan dan pendirian baginda s.a.w di dalam melaksanakan amanah yang Allah s.w.t serahkan kepada baginda s.a.w. Tempoh wahyu turun kepada baginda s.a.w adalah 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari.
Wahyu turun kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui tujuh cara. Cara yang pertama adalah mimpi yang benar. Apabila baginda s.a.w melihat sesuatu di dalam mimpi, pandangan yang kelihatan adalah terang seperti cuaca subuh. Apa yang baginda s.a.w saksikan di dalam mimpi benar-benar berlaku. Wahyu cara ke dua dihantarkan oleh malaikat kepada hati baginda s.a.w. Baginda s.a.w mengetahui sesuatu secara spontan, tanpa berfikir atau merenung. Wahyu cara ke tiga dibawa oleh malaikat Jibrail a.s yang menggunakan bentuk misal. Contohnya Jibrail a.s pernah memakai rupa salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w yang elok wajahnya iaitu Dihyah bin Khalifah al-Kalbi. Sahabat inilah yang kemudian hari menjadi wakil Rasulullah s.a.w menyampaikan surat baginda s.a.w kepada Heraklius, penguasa kerajaan Roman Timur. Wahyu cara ke empat pula datang kepada Rasulullah s.a.w seperti suara loceng. Wahyu cara inilah yang paling berat dan memenatkan baginda s.a.w. Baginda s.a.w pernah berpeluh pada musim dingin tatkala menerima kedatangan wahyu cara ke empat ini. Pernah satu ketika paha Rasulullah s.a.w sedang menindih  paha Zaid bin Sabit ketika wahyu yang seperti suara loceng ini turun kepada baginda s.a.w. Zaid merasakan seolah-olah pahanya akan pecah menanggung paha Rasulullah s.a.w yang sedang menerima wahyu tersebut. Wahyu cara ke lima datang kepada Rasulullah s.a.w dengan menderu seperti suara lebah. Pada cara ke enam pula Jibrail a.s datang kepada Rasulullah s.a.w dalam rupanya yang asli. Wahyu cara ke tujuh adalah penyampaian secara langsung daripada Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w, tanpa sebarang perantaraan, seperti yang pernah dialami oleh Nabi Musa a.s.
Ketegasan dan keteguhan Rasulullah s.a.w menyampaikan dakwah melalui bimbingan wahyu ternyata pada kata-kata baginda s.a.w kepada bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib, yang menyampaikan kepada baginda s.a.w permintaan kaumnya agar baginda s.a.w menghentikan pekerjaan dakwah. Baginda s.a.w memberikan jawapan yang tegas: “Wahai bapaku. Walaupun mereka meletakkan matahari pada bahuku yang kanan dan bulan pada bahuku yang kiri dengan maksud daku meninggalkan tugasku, tidak akan daku tinggalkannya sehinggalah agama ini menang atau daku binasa sebelumnya!”
Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah melepaskan pergantungan kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w memperolehi berbagai-bagai kemuliaan dan ketinggian tetapi segala puji-pujian diperuntukkan kepada Allah s.w.t semata-mata. Apabila baginda s.a.w dipuji oleh orang ramai baginda s.a.w mengembalikan pujian itu kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w sangat cermat dan tegas di dalam menanggung wahyu. Apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t baginda s.a.w melaksanakannya sendiri terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain melakukannya. Baginda s.a.w telah menunjukkan contoh teladan melalui diri baginda s.a.w sendiri. Tidak ada istilah hukum yang wajib untuk orang ramai tetapi tidak wajib untuk Rasulullah s.a.w. Hukum Allah s.w.t berjalan sama rata sama rasa, kepada Rasulullah s.a.w dan juga kepada umat baginda s.a.w. Jika umat baginda s.a.w wajib mengerjakan sembahyang lima waktu sehari semalam baginda s.a.w juga wajib berbuat demikian, malah baginda s.a.w lakukan melebihi daripada apa yang dikerjakan oleh orang lain. Baginda s.a.w memperbanyakkan sembahyang malam hingga bengkak tumit baginda s.a.w, tetapi umat baginda s.a.w tidak diwajibkan berbuat demikian, walaupun digalakkan.
Nabi Muhammad s.a.w sangat mengasihi umat manusia. Baginda s.a.w pernah disakiti oleh kaum baginda s.a.w tetapi baginda s.a.w mengelakkan daripada mendoakan keburukan untuk mereka. Baginda s.a.w lebih suka mendoakan: “Wahai Tuhanku! Tunjukilah kaumku kerana mereka tidak mengerti.” Kadang-kadang baginda s.a.w mendoakan: “Wahai Tuhanku! Ampunilah kaumku kerana mereka tidak tahu”. Begitulah halusnya nilai budi dan akhlak Rasulullah s.a.w yang diasuh oleh wahyu.
Rasulullah s.a.w menerima wahyu sebagai kebenaran yang Mutlak. Apa juga bakat yang ada dengan baginda s.a.w seperti fikiran, ilham dan kasyaf, baginda s.a.w gunakan sebaik mungkin bagi menterjemahkan wahyu dan menyatakan kebenaran wahyu itu. Tidak pernah terjadi baginda s.a.w mengeluarkan buah fikiran, ilham atau kasyaf yang berbeza dengan wahyu. Baginda s.a.w menggunakan segala bakat baginda s.a.w untuk menyokong wahyu. Cara yang baginda amalkan menyebabkan Hadis menjadi sumber hukum selepas al-Quran. Hadis yang benar daripada Rasulullah s.a.w tidak sezarah pun bercanggah dengan al-Quran.
Rasulullah s.a.w dengan perintah, petunjuk dan bimbingan wahyu menjalani kehidupan di dalam dunia ini sebagai manusia biasa bukan sebagai malaikat atau manusia luar biasa. Baginda s.a.w menjalani kehidupan yang ada urusan beristeri dan berkeluarga, bermasyarakat, merasai kenyang dan lapar, sihat dan sakit dan segala aspek kehidupan manusia biasa, hinggakan baginda s.a.w menjalani juga proses kematian walaupun ada Nabi yang tidak menjalani proses tersebut. Kehidupan yang baginda s.a.w jalani itu berdasarkan bimbingan wahyu yang maha benar. Baginda s.a.w adalah orang yang paling arif mengenai maksud wahyu. Terjemahan wahyu yang baginda s.a.w tunjukkan dengan prinsip dan amalan kehidupan baginda s.a.w sendiri merupakan suasana kehidupan yang paling utama, paling baik, paling mulia dan paling tinggi. Suasana demikian juga yang dijalani oleh para sahabat baginda s.a.w. Mereka adalah puak yang bergerak di atas muka bumi, di dalam dunia, menyebarkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Setelah diangkat menjadi Rasul Allah, Nabi Muhammad s.a.w menerima perintah mengenai enam perkara yang menjadi dasar pembentukan umat yang ingin kembali kepada kemurnian fitrah mereka dan melaksanakan kewajipan kehambaan kepada Allah s.w.t. Enam dasar yang konkrit itu adalah :
1.    Menyampaikan, mengajak serta membimbing umat   manusia  supaya mematuhi sekalian perintah Allah s.w.t dan menjauhi sekalian larangan-Nya dengan sepenuh kekuatan dan kebijaksanaan.
2.    Bersyukur kepada Allah s.w.t yang menciptakan dan mengurniakan nikmat kesinambungan hidup sehingga umat manusia tidak menemui kesukaran di dalam menjalani kehidupan dan mendapatkan keperluan mereka.
3.    Membersihkan pakaian dan perbuatan zahir serta amalan hati bagi mencapai kesempurnaan takwa.
4.    Meninggalkan segala yang keji dan munkar seperti syirik, berhala, arak, judi, zina, riba dan lain-lain yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
5.    Mengikhlaskan niat dan amalan supaya kepentingan diri tidak merobohkan benteng keadilan dan supaya fitnah kebendaan tidak memesongkan haluan ubudiah (kehambaan) terhadap Allah s.w.t.
6.    Semua perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilengkapkan dengan sabar kerana dugaan di dalam melakukan kebaikan jauh lebih kuat daripada dugaan meninggalkan kejahatan. Sabar menjadi prinsip yang kukuh mempertahankan diri dalam menghadapi halangan dan penentangan di sepanjang jalan menyebarkan dan melakukan kebaikan.
Wahyu telah memberi jawapan yang konkrit terhadap permasalahan yang tidak mampu dihurai oleh fikiran, ilham dan kasyaf. Apabila wahyu datang selesailah perjuangan batin Nabi Muhammad s.a.w di dalam mencari hakikat yang sebenar. Kebenaran Hakiki yang baginda s.a.w terima melalui wahyu itu dipertanggungjawabkan kepada baginda s.a.w untuk disampaikan pula kepada sekalian manusia. Baginda s.a.w tidak boleh lagi memencilkan diri di dalam Gua Hiraa. Apabila cahaya kebenaran memancar di dalam lubuk hati dan bidang tugas dibukakan, baginda s.a.w mesti keluar kepada orang ramai, kepada dunia, bagi menyampaikan amanah yang baginda s.a.w tanggung dengan bersuluhkan cahaya kebenaran.
Wahyu menceritakan tentang Allah s.w.t, Tuhan yang bersifat dengan sifat-sifat Kesempurnaan, Yang Maha Mulia dan memiliki nama-nama yang baik-baik. Diterangkan juga tentang kejadian manusia. Wahyu mengajar manusia berbuat kebaktian kepada Allah s.w.t. Diajarkan cara perhubungan dengan sesama manusia. Wahyu sangat menekankan soal takwa iaitu mematuhi titah perintah Allah s.w.t, tidak keluar daripada sempadan jalan yang lurus yang telah digariskan oleh Allah s.w.t sendiri. Wahyu mendidik manusia supaya hidup sebagai hamba Tuhan dengan sebenar-benar kehambaan. Wahyu telah dengan tegas dan jelas meletakkan manusia pada taraf hamba Tuhan, bukan taraf yang lain daripada itu.
Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-Quran kepada kaum Muslimin. Pendidikan al-Quran berkembang dengan sangat pesat setelah baginda s.a.w dan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Jika Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-Quran, kaum Muslimin pula sangat bersungguh-sungguh mempelajarinya. Sebahagian daripada kaum Muhajirin yang berhijrah ke Madinah terpaksa tinggal di luar kota Madinah, di satu kawasan yang bernama Sunuh, kira-kira 20 km dari masjid Rasulullah s.a.w. Di sana mereka mendirikan rumah-rumah dan menguruskan kebun-kebun. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar adalah di antara mereka yang tinggal di Sunuh. Jarak 20km itu tidak menghalang mereka mempelajari al-Quran daripada Rasulullah s.a.w. Mereka telah menyusun jadual pembelajaran al-Quran dengan rapi. Tiap-tiap hari mereka menghantarkan dua atau tiga orang wakil dari Sunuh pergi ke Madinah. Sepanjang hari wakil dari Sunuh akan mendapatkan apa sahaja yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, terutamanya ayat-ayat al-Quran yang baharu turun. Mereka mempelajari al-Quran secara menghafal dan memahami dengan lengkap. Jika ada larangan atau perintah atau amalan yang disampaikan oleh al-Quran mereka akan mendapatkan penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada Rasulullah s.a.w. Apa juga ayat yang turun pada hari itu mesti dihafalkan pada hari itu juga kerana pada hari esoknya mungkin ada pula ayat-ayat yang baharu turun. Setelah hari petang mereka kembali semula ke Sunuh dan pada malam itu juga atau paling lewat keesokan harinya semua pelajaran yang diterima daripada Rasulullah s.a.w sudah disampaikan kepada semua kaum Muslimin di Sunuh. Mereka mempelajari al-Quran tanpa bertangguh-tangguh. Al-Quran dipelajari secara menyeluruh iaitu membaca, menghafal, memahami dan mengamalkan. Program pembelajaran al-Quran yang diatur oleh Saidina Abu Bakar dan sahabat-sahabat beliau di Sunuh sungguh berkesan sehingga mereka boleh menjalankan kegiatan harian untuk menampung perbelanjaan mereka dan pada masa yang sama mereka boleh mempelajari al-Quran dengan sempurna. Kegiatan pertanian, perniagaan, penternakan, pertukangan dan lain-lain boleh berjalan dengan lancar jika pembelajaran al-Quran dilakukan dengan bersistematik. Kesungguhan mempelajari al-Quran tidak menjejaskan urusan kehidupan harian. 
Rasulullah s.a.w sangat teliti di dalam menyampaikan ayat-ayat suci al-Quran kepada kaum Muslimin. Setiap kali turun ayat baginda s.a.w akan mengumpulkan sahabat-sahabat baginda s.a.w dan ayat yang baharu turun itu disampaikan dengan pembacaan yang  betul, sebutan setiap huruf mengikut kadar panjang dan pendek yang harus dibunyikan. Bacaan yang tepat sebutannya dihafal berulang-ulang sehingga ayat-ayat tersebut benar-benar melekat di dalam ingatan dan hati mereka. Mereka tidak berganjak daripada majlis Rasulullah s.a.w sebelum mereka dapat menyebut ayat-ayat al-Quran dengan betul dan menghafalnya dengan baik. Bukan sekadar membaca dan menghafal, malah mereka juga dilengkapkan dengan pengetahuan dan pengertian yang jelas tentang maksud ayat, kedudukan susunannya di dalam al-Quran dan hubung-kaitnya dengan ayat-ayat yang lain. Jika ayat tersebut melibatkan peraturan dan amalan maka kaedah peraturan dan amalan itu difahami benar-benar. Semua itu mereka pelajari secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Kemudian apa yang sudah mereka pelajari itu mereka sampaikan pula kepada kawan-kawan mereka yang tidak sempat menghadiri majlis Rasulullah s.a.w.
Selain dihafal, ayat-ayat al-Quran juga ditulis di atas kulit binatang, tulang-tulang yang lebar, pelepah-pelepah tamar yang sudah dikeringkan dan batu-batu yang lebar. Jadi, ayat al-Quran bukan sahaja dipelihara di dalam dada kaum Muslimin malah ia juga dipelihara secara bertulis. Lembaran al-Quran yang bertulis itu disimpan di rumah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w telah mewariskan al-Quran kepada umat baginda s.a.w dengan cara yang paling berkesan dan selamat. Atas kebijaksanaan baginda s.a.w umat Islam yang datang kemudian dapat menerima al-Quran dalam keasliannya. Selain daripada jurutulis wahyu yang khusus terdapat kira-kira 40 orang yang mengambil bahagian di dalam bidang penulisan wahyu. Cara yang demikian lebih memudahkan kaum Muslimin menyebarkan al-Quran. Rasulullah s.a.w sangat menekankan soal menghafal al-Quran. Baginda s.a.w memberi petunjuk mengenai penghafalan ayat-ayat al-Quran dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang menghafal al-Quran adalah seperti orang yang memiliki unta yang diikat. Jika unta itu dijaga ia terpelihara. Jika dilepaskan ia akan hilang”.
Baginda s.a.w mengajarkan supaya mengikat hafalan al-Quran dengan cara terus mengulangi bacaannya seberapa kerap yang terdaya. Selain daripada menghafal, pemahaman dan amalan juga dititik-beratkan. Ibnu Mas’ud menceritakan: “Apabila seseorang kami mempelajari sepuluh ayat dari al-Quran kami tidak akan berpindah kepada ayat lain sebelum kami mengetahui benar-benar maksudnya dan tahu cara beramal dengannya”. Ramai para sahabat menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w mengajarkan ayat-ayat al-Quran kepada mereka secara sepuluh ayat sekali belajar, tetapi lengkap dengan menghafal, memahami maksud, tahu mengamalkannya dan tahu kedudukannya berhubung dengan ayat-ayat lain yang turun terdahulu. Mereka mempelajari al-Quran, menyimpan serta mengamalkannya. Rasulullah s.a.w selama-lamanya membaca al-Quran secara tartil, membaca dengan terang dan perlahan-lahan, mengeluarkan bunyi setiap huruf dengan jelas. Cara bacaan yang demikian baginda s.a.w sebarkan kepada para sahabat. Cara tersebut selain memberi faedah kepada para pembaca juga memudahkan pendengar mengikuti serta menghafalnya.
Rasulullah s.a.w berjaya membentuk satu umat yang tidak pernah wujud di atas muka bumi seperti mereka sebelumnya dan tidak akan ada lagi yang menyamai mereka sesudahnya. Itulah umat yang setiap ahlinya terdiri daripada orang yang arif tentang al-Quran. Jika dilihat al-Quran dari sudut perlembagaan negara maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli politik yang arif tentang peraturan negara. Jika dilihat al-Quran sebagai kod etika sosial maka setiap ahli masyarakatnya adalah pemimpin yang bertanggung-jawab kepada apa yang dipimpin, baik keluarga, perniagaan, pertanian, penternakan dan sebagainya. Jika dilihat al-Quran sebagai kitab ilmu perang maka setiap ahli masyarakatnya adalah perajurit yang sentiasa bersedia menyahut panggilan jihad. Jika al-Quran dilihat sebagai peraturan kehidupan maka setiap ahlinya adalah ahli syariat yang taat. Jika dilihat al-Quran sebagai penyampai khabar tentang Allah s.w.t maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli makrifat yang benar-benar mengenal Allah s.w.t. Jika dilihat al-Quran sebagai ajaran penyucian hati maka setiap ahli masyarakatnya adalah yang sangat mendalam pengertian mereka mengenai hati. Mereka beragama secara menyeluruh. Darah, daging, tulang, sumsun dan urat saraf adalah Muslim. Pendengaran, penglihatan, penciuman, pergerakan dan akal fikiran mereka adalah Muslim. Hati mereka adalah Muslim. Roh mereka adalah Muslim. Mereka memakai satu makam sahaja iaitu makam HAMBA ALLAH! Mereka tidak tahu perbezaan istilah-istilah syariat, tarekat, hakikat, makrifat, ilmu tauhid, ilmu fikah, ilmu tasauf dan yang seumpamanya. Mereka adalah ahli al-Quran dan ilmu mereka adalah ilmu al-Quran.
Rasulullah s.a.w menyiramkan roh dan jiwa raga sahabat baginda s.a.w dengan air al-Quran. Lahirlah individu yang cergas dalam segala bidang. Mereka yang menjadi petani bekerja bersungguh-sungguh dengan segala kemahiran yang mereka miliki bagi menghasilkan makanan dan keperluan kaum Muslimin. Peniaga pula mengumpulkan harta sebanyak mungkin secara halal untuk disumbangkan kepada pembangunan umat dan juga jihad fi-sabilillah. Apa juga nikmat yang diperolehi diperakui sebagai kurniaan Allah s.w.t yang dipertaruhkan sebagai amanah, bukan sebagai milik individu sepenuhnya. Individu yang menerima kurniaan tersebut mentadbirkannya secara yang diredai oleh Allah s.w.t. Apabila pemilikan harta longgar pada hati mudahlah melepaskannya demi kepentingan agama Allah s.w.t kerana Allah s.w.t adalah Pemilik sebenar. Saidina Abu Bakar as-Siddik melepaskan kesemua hartanya demi jihad fi-sabilillah. Para sahabat yang lain menyumbangkan menurut kadar masing-masing. Tidak ada yang menuntut harta sebagai pemilikan mereka sepenuhnya. Kaum Ansar telah membuktikannya dengan kesanggupan mereka melepaskan harta dan tanah pemilikan mereka demi membantu saudara-saudara mereka kaum Muhajirin. Apa yang dilepaskan itu diserahkan sepenuhnya kepada Rasulullah s.a.w. Terpulang kepada baginda s.a.w bagaimana mahu membahagikan harta Ansar tersebut.
Al-Quran telah membimbing Nabi Muhammad s.a.w dan kaum Muslimin agar bergerak cergas dalam segala bidang bagi membentuk kehidupan yang sihat sejahtera sesuai dengan kehendak dan peraturan Allah s.w.t. Kehidupan dunia yang demikian menjadi asas kepada kehidupan akhirat. Kesungguhan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w membina kesejahteraan di bumi dapat dilihat melalui program dan strategi pertahanan dan ketenteraan yang rapi disusun oleh baginda s.a.w bersama-sama para sahabat baginda s.a.w.
Ketika berlaku Perang Badar dalam tahun ke dua hijrah tentera Islam terdiri daripada 313 orang dengan alat kelengkapan perang yang sangat sederhana. Ketika berlaku Perang Uhud dalam tahun ke tiga hijrah tentera Islam berjumlah 700 orang dengan kelengkapan perang yang lebih baik daripada ketika Perang Badar dahulu. Dalam tahun ke lima hijrah berlaku pula Perang Khandak. Dalam peperangan tersebut tentera Islam sudah berjumlah 3,000 orang dengan kelengkapan perang yang mencukupi. Dalam tahun ke enam hijrah Rasulullah s.a.w memimpin 1,700 orang kaum Muslimin menuju Makkah dengan bilangan kuda sebanyak 200 ekor. Dalam tahun ke sepuluh hijrah baginda s.a.w memimpin 10,000 orang tentera Muslimin menakluki kota Makkah. Bilangan kuda pada masa itu sudah berjumlah 1,000 ekor. Pada tahun ke sembilan hijrah baginda s.a.w memimpin hampir 40,000 orang tentera Muslimin ke Tabbuk dalam daerah Syam. Mereka menggunakan 10,000 ekor kuda dan 20,000 ekor unta. Mereka mampu meredah jarak 2,000 batu yang sebahagian besarnya adalah padang pasir. Bukan pekerjaan yang mudah membentuk 40,000 orang tentera yang tinggal di merata tempat dalam Semenanjung Arab. Mereka terdiri daripada berbagai-bagai suku dan kaum. Kerja penyelarasan pasukan tentera yang begitu besar bukanlah mudah. 40,000 orang tentera, 10,000 ekor kuda dan 20,000 ekor unta berkumpul di Madinah pada satu masa sebelum berangkat ke Tabbuk. Tempat tinggal, makan dan minum mereka semua diperlukan. Pekerjaan yang berat itu dapat diselenggarakan oleh kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w.
Apa yang tidak dapat dibuat oleh umat lain mampu dilakukan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w kerana mereka mendapat pimpinan yang langsung dari Allah s.w.t melalui wahyu-Nya, melalui Rasul-Nya. Al-Quran telah berjaya membentuk umat yang menjadi penolong dan pembela agama Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w mengatakan di Arafah bahawa orang yang boleh menolong agama Islam adalah mereka yang memberikan sepenuh hatinya kepada Islam dan bekerja dalam segala jurusan untuk Islam. Orang yang menolong Islam dalam satu jurusan sahaja tidak dapat menyumbangkan kepada perkembangan Islam secara berkesan. Hanya mereka yang menyerah secara menyeluruh dirinya, tenaganya, hartanya dan masanya untuk Islam benar-benar mampu menaikkan Islam. Orang yang menolong Islam dalam satu jurusan sahaja, misalnya dalam jurusan ibadat sahaja atau dalam jurusan ekonomi sahaja atau politik sahaja, tidak banyak membantu kepada pertumbuhan dan perkembangan agama Islam. Hanya  puak Ansar (orang yang menolong dan membela Islam dalam segala bidang) dapat menyokong perkembangan Islam. Orang Ansar mengenepikan segala kepentingan diri demi agama Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t!
Rasulullah s.a.w juga memberikan perhatian kepada bidang ekonomi. Di dalam pelan pembangunan Madinah baginda s.a.w tidak lupa menyediakan kawasan untuk dijadikan pusat perniagaan kaum Muslimin. Sebelumnya kaum Muslimin Madinah berkumpul di pasar Yahudi Banu Kainuka. Sistem pasar tersebut berjalan menurut peraturan Yahudi. Rasulullah s.a.w sangat tidak menyukai apa sahaja yang bercanggah dengan peraturan Allah s.w.t. Baginda s.a.w mahu kaum Muslimin berniaga menurut prinsip perekonomian Islam. Oleh itu baginda s.a.w membuka pusat perniagaan yang baharu.
Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Inilah tapak tempat perniagaan kamu, semoga ia tidak sempit dan tidak dipungut hasil padanya”.  Muncullah sebuah pekan kecil yang berperanan sebagai pasar bebas cukai milik kaum Muslimin Madinah. Pusat perniagaan yang dibuka oleh Rasulullah s.a.w itu diberkati Allah s.w.t. Pengunjungnya sentiasa bertambah dan pada masa yang sama pasar Yahudi menjadi semakin lengang.
Tugas Rasulullah s.a.w dalam bidang ekonomi bukan sekadar menyediakan kawasan perniagaan sahaja. Baginda s.a.w juga melindunginya agar keadilan dalam perniagaan ditegakkan di sana. Satu ketika baginda s.a.w melihat ada didirikan khemah di kawasan perniagaan tersebut. Baginda s.a.w memerintahkan agar khemah itu dibakar. Sebelum terjadi perlumbaan mengawal kepentingan diri sendiri dengan mencabut hak orang lain, awal-awal lagi Rasulullah s.a.w mencabut pokok yang berbisa itu, sebelum ia sempat tumbuh segar dan merosakkan sistem perekonomian kaum Muslimin. Baginda s.a.w tidak mahu ruang perniagaan menjadi sempit lantaran didirikan bangunan di atasnya. Tidak ada pemilikan dan penguasaan individu di dalam kawasan perniagaan yang di bina oleh Rasulullah s.a.w.
Pada masa yang lain pula Rasulullah s.a.w melihat ada peniaga yang menumpuk gandum. Baginda s.a.w memasukkan tangan baginda s.a.w ke dalam tumpukan gandum itu dan mendapati bahagian bawahnya basah. Baginda s.a.w memerintahkan agar bahagian yang basah diletakkan di atas supaya pembeli tidak tertipu. Baginda s.a.w juga menegur sikap peniaga yang sengaja menaikkan harga barang. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang yang membawa barang ke pasar ini seperti orang yang berjihad fi-sabilillah. Orang yang menaikkan harga barang seperti orang yang kufur dengan Allah s.w.t”.
Di dalam pelan pembangunan Madinah masjid menjadi pusat atau jantung yang segala aktiviti bergerak mengelilinginya. ‘Roh’ kepada jantung itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Daripada masjid baginda s.a.w memancarkan kehidupan yang baik yang berbentuk kerohanian dan juga kebendaan. Jika masjid diibaratkan jantung, maka darah yang dihantarkan oleh jantung kepada semua bahagian adalah al-Quran. Darah al-Quran memberikan kekuatan kepada kaum Muslimin. Kaum Muslimin bekerja di atas dasar mentaati Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Pembangunan kebendaan berdasarkan prinsip keadilan dan kebenaran.
Wahyu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada Rasulullah s.a.w dan pengikut baginda s.a.w. Setiap kali wahyu turun terjadilah perubahan pada diri mereka dan suasana di sekeliling mereka. Wahyu yang dibacakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w mempunyai kekuatan untuk mendatangkan perubahan. Apabila Rasulullah s.a.w membaca wahyu yang menegur sesuatu perkara yang ada pada mereka, maka dengan segera mereka mengambil tindakan menyesuaikan diri dengan teguran tersebut. Amalan, kepercayaan, tradisi dan apa sahaja mereka boleh lepaskan dengan mudah apabila datang perintah wahyu. Pekerjaan berat dan belum pernah mereka lakukan akan menjadi ringan jika wahyu memerintahkan mereka melakukan pekerjaan tersebut. Apabila datang wahyu mengharamkan arak, orang yang sedang memegang botol arak terus mencampakkannya, sekalipun mereka merupakan orang yang ketagihkan arak. Begitulah kekuatan wahyu yang dibacakan secara langsung oleh Rasulullah s.a.w.
Kaum Muslimin sentiasa mengharapkan kedatangan wahyu untuk memberi petunjuk, bimbingan dan teguran kepada mereka. Kedatangan wahyu adalah umpama kedatangan kekasih yang mereka rindui. Mereka fana di dalam wahyu hinggakan tidak ada perkataan yang menguasai mereka melebihi perkataan Allah s.w.t. Mereka baqa di dalam perintah wahyu iaitu kehambaan kepada Allah s.w.t hinggakan tidak ada yang menguasai mereka melainkan peraturan Allah s.w.t. Itulah umat Nabi Muhammad s.a.w yang fana dalam wahyu dan baqa dalam ubudiah (kehambaan).


KEBENARAN HAKIKI 2

[ 2. NABI MUHAMMAD S.A.W INSAN FITRAH ]
Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang manusia fitrah yang sejak awal kejadian baginda s.a.w sentiasa bergerak di atas landasan fitrah insan yang suci murni. Fitrah yang suci bersih lagi murni akan mencetuskan perjuangan dalam jiwa apabila insan itu dibaluti oleh suasana yang penuh dengan kemunkaran, kezaliman, penyembahan berhala dan benda-benda alam, perebutan kuasa, kegilaan kepada harta dan berbagai-bagai adat serta kebudayaan yang menyimpang jauh daripada sifat fitrah yang asli. Perjuangan dalam jiwa Nabi Muhammad s.a.w sampai ke kemuncaknya apabila baginda s.a.w mencapai usia 36 tahun. Kejahilan, kesyirikan, kekafiran, kemunkaran dan kezaliman yang berleluasa di dalam masyarakat menjadi beban yang sangat berat menghimpit jiwa fitrah baginda s.a.w. Tekanan tersebut menjadi lebih kuat lantaran segala kerosakan itu terjadi kepada orang-orang yang hampir dengan baginda s.a.w, kaum keluarga dan masyarakat yang sama keturunan dengan baginda s.a.w, sedangkan jalan untuk menyelamatkan mereka tidak terbuka. Jiwa fitrah yang sangat mengasihi sesama manusia sangat menginginkan keselamatan dan kesejahteraan kepada sekalian manusia. Jiwa yang seperti inilah yang selalu menderita apabila melihat kerosakan yang terjadi kepada orang lain.
Fitrah yang suci murni memiliki bakat yang istimewa iaitu kebolehan untuk mengenal dan mengerti tentang sesuatu yang benar dan juga memiliki keupayaan untuk bergerak kepada yang benar itu. Apabila mencapai usia  36 tahun Nabi Muhammad s.a.w diheret oleh fitrah suci baginda s.a.w ke Gua Hiraa, kira-kira 10 km ke utara Makkah. Gua tersebut terletak di atas Gunung Hiraa, kira-kira 20 meter dari puncak gunung. Seorang lelaki yang kuat memerlukan masa kira-kira 40 minit untuk mendaki dari bawah hingga ke aras Gua Hiraa. Laluan masuk ke dalam gua tersebut sangat sempit, di celah dua buah ketulan batu besar yang hampir-hampir bertaut. Seseorang yang ingin melaluinya perlu menyusup dengan bersusah payah. Setelah berjaya melepasi laluan yang sempit itu seseorang itu akan masuk ke dalam satu ruang kosong yang sempit juga. Ruangnya tidak memadai untuk seorang manusia tidur dengan selesa di dalamnya.  Gua tersebut disembunyikan oleh batu-batu besar, hampir-hampir tidak ada cahaya matahari yang masuk ke dalamnya. Batu-batu di sekitar gua itu berwarna hitam kemerah-merahan yang boleh menimbulkan rasa gerun dalam hati sesiapa yang menyaksikan pemandangan di sana. Bahagian yang terdapat Gua Hiraa merupakan bahagian yang paling menggerunkan di antara semua bahagian Gunung Hiraa.  Tarikan Fitrah telah membawa Nabi Muhammad s.a.w ke tempat yang tidak ada manusia mahu pergi, apa lagi tinggal beberapa hari di sana siang dan malam. Bulan Ramadan merupakan tempoh yang paling baginda s.a.w gemar berkhalwat di Gua Hiraa. Baginda s.a.w berulang-alik ke Gua Hiraa sehinggalah wahyu yang pertama turun ketika usia baginda s.a.w menjangkau 40 tahun.
Suasana Gua Hiraa menceritakan bahawa hanya insan yang berjiwa besar dan sangat berani serta bersemangat waja sahaja yang sanggup tinggal di sana seorang diri, siang dan malam dan berhari-hari lamanya. Hanya tawakal dan keyakinan yang teguh membuat seseorang mampu bertahan di dalam kegelapan Gua Hiraa, tidak dapat melihat binatang bisa seperti ular dan jengking yang mungkin muncul pada bila-bila masa sahaja. Insan yang boleh tinggal di sana pastilah di dalam jiwanya tidak ada sebesar zarah pun rasa takut kepada makhluk, kecintaan kepada dunia, harta benda, pangkat dan kemuliaan. Hanya jiwa Islam (berserah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t) yang sempurna dapat tinggal sendirian di dalam Gua Hiraa. Tujuan, harapan dan pergantungan hanyalah Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.
Semakin mendekati usia 40 tahun semakin kerap Nabi Muhammad s.a.w mengunjungi Gua Hiraa. Apabila berada di luar gua, terutamanya pada waktu malam, baginda s.a.w merenung bangunan alam maya, melihat kerapian susunannya dan keindahan gubahannya. Apabila berada di dalam gua baginda s.a.w merasakan ketenangan, kedamaian dan kelazatan. Gua Hiraa yang gelap gelita dan sunyi sepi memisahkan baginda s.a.w daripada seluruh alam dan sekalian makhluk. Kegelapan membungkus jasad hinggakan pengaruh jasad tidak lagi menghijab hati nurani. Apabila terpisah daripada segala yang maujud, fitrah suci akan merdeka dari segala sesuatu kecuali Allah s.w.t. Cahaya fitrah yang suci lagi murni memancar dengan terang benderang menyuluh ke seluruh pelusuk alam maya menyaksikan dengan jelas apa yang tidak mampu dipandang dengan mata. Tiap sesuatu menjadi terang benderang di dalam sinaran fitrah suci Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada satu zarah pun yang terlindung daripada pandangan mata hati baginda s.a.w. Semuanya jelas dan nyata namun, masih ada satu yang tidak dapat disingkap oleh fitrah, walaupun seseorang itu manusia suci.
Fitrah mampu menyingkap rahsia kemanusiaan sehingga manusia boleh membentuk tatasusila kehidupan yang sesuai untuk dijalani oleh semua umat manusia. Fitrah boleh membentuk sistem moral yang baik. Fitrah dapat menguruskan pentadbiran negara dan perdagangan. Fitrah dapat meneroka alam maya dan benda-benda alam. Tetapi apabila berhadapan dengan Pencipta manusia dan alam sekaliannya dan juga Pencipta fitrah itu sendiri maka fitrah hanya mampu berkata, “Allah!” dan masuk kepada penyerahan tanpa takwil.
Apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w di Gua Hiraa pernah dialami juga oleh Nabi Ibrahim a.s, sebagaimana diceritakan oleh al-Quran: Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah  Tuhanku?” Kemudian apabila  bintang  itu terbenam,  ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.” Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam berkatalah ia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila ia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah ia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar!” Setelah matahari terbenam, ia berkata pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”. ( Ayat 75 – 79 : Surah al-An’aam )
Tafakur membawa Nabi Ibrahim a.s berhujah dengan fahaman-fahaman yang menjadikan benda-benda alam sebagai tuhan-tuhan. Tafakur dan hujah berakhir pada tahap: “Aku hadapkan wajahku kepada yang menciptakan semua langit dan bumi. Aku hadapkan dengan fitrah yang hanif. Aku tidak mempersekutukan-Nya dengan apa-apa pun”. Tahap terakhir ini Allah s.w.t bukakan kepada para hamba-Nya yang Dia kehendaki. Hadapkan fitrah suci kepada-Nya dengan penuh keikhlasan tanpa mengadakan sebarang takwil mengenai-Nya dan tidak mengadakan sekutu bagi-Nya. Dia sendiri menentukan bila dan bagaimana Dia berkehendak mengadakan pembukaan kepada hamba-Nya.
Pada 17 Ramadan, tahun 41 daripada umur Nabi Muhammad s.a.w, datanglah malaikat Jibrail a.s membawa wahyu yang pertama daripada Tuhan Azza wa Jalla, sebagai menyempurnakan lagi fitrah Nabi Muhammad s.a.w, menaikkan fitrah insan kepada darjat fitrah Muslim, menjawab segala yang terkilan, menghuraikan segala yang kusut dan membukakan segala yang tertutup. Sempurnalah kesempurnaan  Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim dipersiapkan untuk menanggung mahkota seluruh alam, menjadi penutup sekalian nabi-nabi, menjadi penyelamat umat manusia dan dunia seluruhnya, menjadi rahmat kepada sekalian alam dan menjadi kekasih Allah!

[ 3. FITRAH (FIKIRAN, ILHAM DAN KASYAF) DAN  WAHYU ]
Semua manusia berasal daripada diri yang satu iaitu Nabi Adam a.s. Sekalian yang lahir daripada Adam a.s dinamakan bangsa manusia. Tidak ada keturunan Adam a.s yang berbangsa haiwan, tumbuh-tumbuhan atau gali-galian. Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi manusia kerana mereka semua memiliki kemanusiaan. Tidak ada manusia yang tidak memiliki kemanusiaan. Benih kemanusiaan yang pertama disemaikan pada kejadian Adam a.s dan kemudian benih tersebut ‘berjalan’ kepada Siti Hawa, ibu yang mulia dan diberkati dengan keturunan yang amat ramai. Ketika Adam a.s dan Ibu Hawa berada di dalam syurga benih kemanusiaan itu hanya aktif pada mereka berdua sahaja., tidak ‘membiak’. Setelah mereka dikeluarkan daripada syurga dan ditempatkan di bumi, di dalam dunia, baharulah benih kemanusiaan itu menampakkan keupayaannya melahirkan generasi manusia. Benih kemanusiaan akan terus bekerja melahirkan manusia hingga ke hari kiamat. Apabila berlaku kiamat baharulah benih kemanusiaan itu berhenti melahirkan manusia. Bermula daripada Adam a.s sampailah kepada manusia terakhir pada hari kiamat, benih kemanusiaan ‘berjalan’ terus, melahirkan keturunan manusia yang berpecah-pecah kepada berbagai-bagai bangsa, suku dan keluarga. Perjalanan benih tersebut sangat sempurna sehingga tidak berlaku kesilapan pada pekerjaannya. Jika benih kemanusiaan melakukan kesilapan nescaya ada ibu-ibu manusia yang melahirkan ikan, beruang, rambutan dan lain-lain. Kesempurnaan benih kemanusiaan menyebabkan manusia akan terus melahirkan manusia sahaja tidak bangsa lain.
Keturunan Adam a.s membiak melalui proses percantuman benih lelaki dengan benih perempuan. Walaupun pada zahirnya percantuman benih menjadi proses pembiakan keturunan manusia tetapi bukanlah benih lelaki dan benih perempuan itu yang mengawal kewujudan dan kesinambungan bangsa manusia. Adam a.s diciptakan bukan daripada benih lelaki atau benih perempuan namun, Adam a.s tetap memiliki kemanusiaan. Nabi Isa a.s diciptakan tanpa melalui proses percantuman benih lelaki dengan benih perempuan namun, Isa a.s tetap memiliki kemanusiaan. Setiap manusia tidak terlepas daripada kemanusiaan yang tidak dimengerti hakikatnya. Jika semua manusia bermula dari Adam a.s hinggalah kepada manusia terakhir yang ada pada hari kiamat, dibedah untuk dikaji perihal kemanusiaan itu tentu sekali perbuatan tersebut hanya sia-sia sahaja. Tidak mungkin dijumpai hakikat kemanusiaan pada mana-mana manusia tetapi peranan dan pengaruhnya pada setiap manusia tidak dapat dipertikaikan.
Jika mahu memahami tentang hakikat ia harus dilihat dari sumbernya. Sumber segala kejadian ada pada sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t menciptakan makhluk-Nya menurut Iradat-Nya, dengan Kudrat-Nya dan sesuai dengan Ilmu-Nya. Apa juga yang Allah s.w.t berkehendak menciptakan sudah termaktub di dalam Ilmu-Nya. Apa yang pada sisi Allah s.w.t atau pada Ilmu-Nya itu dinamakan hakikat. Sebelum Allah s.w.t menciptakan alam dan benda-benda alam, hakikat alam dan hakikat-hakikat benda alam sudah pun ada pada Ilmu-Nya. Hakikat adalah kewujudan yang memerintah atau mengawal. Segala yang diciptakan Allah s.w.t, yang mengisi ruang alam, dikawal oleh hakikat masing-masing. Hakikat yang berhubung dengan kejadian manusia dinamakan Hakikat Manusia atau Hakikat Insan. Hakikat Insan mengawal kejadian manusia sejak manusia pertama hinggalah kepada manusia yang penghabisan. Apa juga yang dikawal oleh Hakikat Insan akan lahir sebagai manusia. Hakikat Malaikat mengawal kewujudan malaikat. Hakikat Haiwan mengawal kewujudan haiwan dan demikian juga dengan hakikat-hakikat yang lain. Haiwan tidak boleh  menjadi manusia dan manusia tidak boleh menjadi malaikat apa lagi menjadi Tuhan. Hakikat masing-masing tidak mengizinkan perkara yang demikian terjadi ; Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati perubahan bagi “Sunnatullah” itu. (Ayat 62 : Surah al-Ahzaab)
Tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah. ( Ayat 64 : Surah Yunus )
Tiada suatupun dari makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud)
Hakikat adalah suasana pentadbiran Tuhan. Suasana pentadbiran Tuhan bukan makhluk. Oleh itu ia tidak boleh ditemui pada makhluk tetapi kehadirannya menguasai dan mengawal kewujudan dan kesinambungan kewujudan makhluk boleh dirasai. Akal yang sihat juga boleh mengakui kebenaran ini. Tanpa kawalan daripada alam hakikat nescaya berlaku huru-hara pada kejadian makhluk. Tentu sekali semua haiwan mahu menjadi buraq. Manusia dan jin mahu menjadi malaikat. Semua orang mahu lahir sebagai putera raja. Tetapi semua itu tidak berlaku kerana benteng hakikat sangat teguh, tidak dapat dirobohkan oleh makhluk. Pada Hakikat Insan sudah ada maklumat yang jelas dan muktamad tentang kejadian semua manusia termasuklah giliran masing-masing masuk ke alam dunia ini.
Di antara semua hakikat-hakikat, hakikat yang menguasai manusia merupakan hakikat yang paling utama kerana ia mengadakan hubungan yang istimewa di antara insan dengan Tuhannya ; (Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia - Adam - dari tanah. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )
Adam a.s ditempa daripada tanah. Bahagian Adam a.s yang ditempa daripada tanah ini dinamakan jasad, tubuh badan atau diri yang zahir. Jasad yang dari tanah itu walaupun sudah sempurna kejadiannya, cukup lengkap dengan sekalian anggota namun, ia tetap kaku, tidak dapat bergerak, tidak merasakan apa-apa dan tidak dapat berkata-kata. Ia sudah mempunyai otak tetapi otaknya tidak dapat berfikir. Ia sudah mempunyai mata tetapi matanya tidak dapat melihat. Ia sudah mempunyai telinga tetapi telinganya tidak dapat mendengar. Ia hanyalah satu lembaga yang kaku. Tetapi sebaik sahaja ia menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t segala-galanya berubah dengan serta merta. Otaknya mula berfungsi. Mata, telinga dan semua anggotanya juga mula berfungsi. Ia juga boleh merasa. Ia bukan lagi satu lembaga yang kaku tetapi ia sudah menjadi insan yang hidup, boleh berfikir, boleh berkata-kata, boleh bergerak dan boleh merasa. Keajaiban itu berlaku semata-mata kerana tiupan dari Roh Allah s.w.t. Bahagian Adam a.s yang menerima tiupan daripada Roh Allah s.w.t itu dinamakan Diri Batin atau rohani.
Roh Allah s.w.t bukanlah Allah s.w.t dan juga bukan nyawa yang menghidupkan Allah s.w.t. Allah s.w.t hidup dengan Zat-Nya, bukan dengan nyawa atau roh dan bukan juga dengan sifat hidup. Sifat hidup bergantung kepada Allah s.w.t tetapi Allah s.w.t tidak bergantung kepada sifat hidup. Roh Allah s.w.t sama halnya seperti Tangan Allah s.w.t, Kalam Allah s.w.t, Pendengaran Allah s.w.t dan lain-lain yang dinisbahkan kepada-Nya. Semuanya bukanlah Allah s.w.t tetapi adalah keadaan atau sifat atau misal atau ibarat yang memperkenalkan Diri-Nya sekadar layak Dia dikenali oleh makhluk-Nya. Hakikat Diri-Nya yang sebenar tidak mampu disifatkan, diibaratkan atau dimisalkan kerana Dia adalah:  Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran)-Nya,( Ayat 11 : Surah asy-Syura )  Sekalipun Dia tidak boleh disifatkan tetapi Dia adalah:  Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat ( Ayat 11 : Surah asy-Syura )
Allah s.w.t sendiri mengatakan Dia Mendengar dan Melihat. Dia mengadakan penyifatan setelah terlebih dahulu Dia menafikan segala bentuk penyifatan. Dia tidak serupa dengan apa sahaja yang terlintas di dalam fikiran, cita-cita dan khayalan manusia. Dia tidak serupa dengan apa juga yang nyata dan yang ghaib, yang zahir dan yang batin. Bila Dia mengatakan Dia Mendengar dan Melihat maka Mendengar dan Melihat-Nya tidak serupa dengan apa juga  keadaan mendengar dan melihat yang diketahui atau tidak diketahui oleh manusia. Bila Dia mengatakan Dia Berkata-kata maka Kalam-Nya tidak serupa dengan apa juga bentuk percakapan baik yang boleh difikirkan oleh manusia mahu pun yang tidak boleh difikirkan oleh manusia. Perkataan Allah s.w.t tidak serupa dengan apa juga bentuk perkataan. Kalam-Nya tidak berhuruf dan tidak bersuara. Apabila Dia tujukan firman-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w yang berbangsa Arab, digubah-Nya Kalam-Nya dalam bahasa Arab yang berhuruf dan bersuara dan Dia masih menisbahkan Kalam-Nya yang berhuruf dan bersuara dalam bahasa Arab itu sebagai Kalam-Nya. Oleh kerana Dia sendiri memperakui yang demikian adalah Kalam-Nya sesiapa menafikannya adalah kufur, tetapi sesiapa mengatakan Allah s.w.t bercakap dalam bahasa Arab maka terlebih kufur lagi keadaannya. Konsep nafi dan isbat tidak boleh dipisahkan apabila memperkatakan tentang Allah s.w.t pada aspek yang disifatkan. Apabila Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya kepada manusia maka Dia wujudkan penyifatan yang mampu diterima oleh manusia, sesuai dengan keupayaan mengenal yang ada dengan manusia, tetapi Yang Haq itu melampaui apa yang disifatkan. Aspek Allah s.w.t yang disifatkan merupakan pintu atau perantaraan yang menghubungkan hamba dengan Allah s.w.t yang tidak mampu disifatkan. Sekalipun Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat yang diketahui oleh manusia tetapi mengadakan lembaga bagi Allah s.w.t adalah sesat yang nyata. Sesiapa yang menjadi jelas kepadanya konsep nafi dan isbat sesungguhnya dia telah memperolehi nikmat yang tidak terhingga nilainya.
[Tiada Tuhan melainkan Allah]                        
Roh Allah s.w.t adalah perantaraan yang kerananya manusia memperolehi kehidupan. Roh Allah s.w.t adalah suasana pentadbiran Allah s.w.t yang mengawal bidang kehidupan. Adam a.s memperolehi sifat hidup kerana tiupan Roh Allah s.w.t atau Hakikat Roh yang ada pada sisi Allah s.w.t. Apabila keturunan Adam a.s berkembang biak kesemua mereka tidak terlepas daripada kawalan Hakikat Roh yang menjadi sumber kepada penghidupan yang bermula dengan penghidupan Adam a.s. Walau berapa ramai sekalipun manusia diciptakan mereka tetap menerima kehidupan daripada sumber yang sama iaitu suasana pentadbiran Allah s.w.t yang diistilahkan sebagai Roh-Nya atau Hakikat Roh. Suasana ketuhanan itu mempunyai bakat dan keupayaan untuk menghidupkan setiap jasad secara berasingan dan bebas daripada jasad-jasad yang lain. Setiap jasad memiliki keupayaan untuk hidup sendiri, walaupun ada jasad yang mengalami kematian namun jasad-jasad lain terus juga hidup. Jasad yang sudah diciptakan boleh juga hidup sekalipun masih banyak lagi jasad yang belum dizahirkan.
Adam a.s dan keturunan beliau a.s diciptakan dengan bermatlamat:  Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )
Adam a.s dan keturunan beliau a.s yang dibangsakan sebagai manusia diciptakan Allah s.w.t untuk dijadikan khalifah di bumi. Khalifah boleh diartikan menurut beberapa pengertian. Pada pengertian pertama khalifah bermaksud pengganti kepada makhluk yang telah pupus. Satu ketika dahulu bumi ini pernah didiami oleh satu bangsa makhluk tetapi makhluk tersebut telah dibinasakan oleh Allah s.w.t kerana mereka berbuat derhaka kepada Allah s.w.t. Sejak makhluk bangsa tersebut pupus tidak ada lagi makhluk berakal yang mendiami bumi. Adam a.s diciptakan untuk menggantikan bangsa yang telah pupus itu. Khalifah pada makna yang kedua bermaksud pengganti Rasulullah s.a.w, yang menjadi pemimpin umat Islam setelah baginda s.a.w wafat. Khalifah dalam segi ini ada dua kategori iaitu khalifah rasyidin (yang dipimpin) dan khalifah umum. Saidina-saidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali termasuk dalam golongan khalifah rasyidin yang mendapat pimpinan Allah s.w.t dan dijamin kebenaran mereka. Pimpinan mereka mendapat keredaan Allah s.w.t. Perbuatan dan perkataan khalifah rasyidin boleh dijadikan rujukan dalam pembentukan hukum-hukum agama, selepas al-Quran dan as-Sunah. Khalifah yang selain mereka tidak  memiliki darjat yang demikian. Pada makna yang ke tiga pula khalifah bermaksud makhluk atau golongan yang memiliki ciri-ciri khusus mengatasi semua makhluk atau golongan lain. Ia bermaksud bangsa manusia yang memiliki bakat-bakat serta keupayaan melebihi makhluk lain dalam menguruskan hal-ehwal di bumi yang meliputi kehidupan manusia sendiri dan juga makhluk yang lain.
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami  memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda  yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakankan. ( Ayat 70 : Surah Bani Israil )
Bangsa manusia dibekalkan dengan bakat-bakat dan keupayaan semulajadi yang melebihkan mereka daripada makhluk yang lain sehingga mereka boleh memimpin makhluk lain di bumi atau menjadi khalifah di bumi. Bakat kekhalifahan sudah dibekalkan kepada manusia sejak manusia pertama diciptakan; Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan nama benda-benda dan gunanya, (Ayat 31 : Surah al-Baqarah)
Allah s.w.t membekalkan kepada Adam a.s bakat kekhalifahan sesuai dengan tujuan beliau a.s diciptakan. Bakat kekhalifahan yang dibekalkan kepada Adam a.s dan bangsa manusia itu dinamakan fitrah manusia. Makhluk lain juga dibekalkan dengan fitrah masing-masing tetapi fitrah yang dikurniakan kepada bangsa manusia adalah yang paling utama dan paling sempurna. Pada fitrah manusia terkumpul semua fitrah kejadian alam. Lantaran itu manusia berpengetahuan tentang tabii makhluk yang lain seperti malaikat, haiwan, angin, tumbuh-tumbuhan, syaitan dan lain-lain. Fitrah manusia yang bersifat universal itu membuat manusia boleh memakai sifat-sifat anasir alam yang lain. Mereka boleh bersifat seperti malaikat atau syaitan atau haiwan atau pun membeku seperti galian. Fitrah itu juga membuat manusia boleh mengambil manfaat daripada anasir alam. Mereka boleh menciptakan kenderaan udara dan terbang seperti burung dan kenderaan air untuk berenang seperti ikan apa lagi kenderaan darat untuk mereka bergerak seperti kuda.
Alat penting yang ada dengan manusia dalam menjalankan tugas kekhalifahan adalah beberapa bakat fitrah insan yang ada dengan mereka. Bakat fitrah yang pertama adalah akal fikiran. Melalui bakat fitrah akal ini manusia mampu membentuk kehidupan yang teratur dan juga mampu mengambil manfaat daripada benda-benda alam yang ada di sekeliling mereka. Daya fikir yang menjadi bakat fitrah ini berkait rapat dengan satu lagi bakat fitrah iaitu ilham. Ilham sebagai bakat fitrah tahap ke dua adalah lebih seni daripada akal fikiran. Ilham menjadi pencetus atau penggerak kepada daya fikir untuk meneroka dan mengembangkan apa yang dicetuskan oleh ilham itu.
Bakat fitrah yang ke tiga diceritakan oleh al-Quran: Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannyakan kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu semuanya, jika  kamu golongan yang benar”. Malaikat menjawab: “Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda  itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah telah Aku katakan kepada kamu bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan”. ( Ayat 31 – 33 : Surah al-Baqarah )
Allah s.w.t mengetahui rahsia semua langit dan bumi. Dia mengetahui yang nyata dan yang disembunyikan. Sebahagian daripada pengetahuan tersebut Allah s.w.t simpankan pada fitrah Adam a.s sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami ajarkan kepada Adam nama-nama sekaliannya”. Maksud nama di sini adalah nama beserta segala maklumat yang terperinci yang berkait dengan yang dinamakan itu. Bakat fitrah yang mengetahui sebahagian daripada yang nyata dan yang disembunyikan mengikut apa yang dibekalkan oleh Allah s.w.t itu dinamakan kasyaf. Pengetahuan Adam a.s melalui kekuatan kasyaf melebihi pengetahuan malaikat.
Keistimewaan yang ada pada fitrah insan adalah kerana perkaitannya dengan tiupan Roh Allah s.w.t; .. lalu Aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Ayat 72 : Surah Saad)
Dan (ingatlah) tatkala Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam!” (Ayat 34: Surah al-Baqarah)
Semua makhluk termasuk malaikat diperintahkan sujud kepada Adam a.s kerana fitrah Adam a.s ada perkaitan dengan tiupan Roh Allah s.w.t. Kadang-kadang istilah ‘Rahsia’ atau ‘Rahsia Allah s.w.t’ digunakan oleh orang sufi bagi menceritakan maksud ‘tiupan Roh Allah s.w.t’ itu. Istilah Rahsia digunakan bagi menerangkan bahawa ‘tiupan Roh Allah s.w.t’ bukanlah sesuatu yang boleh dihuraikan dengan jelas. Ia adalah sebenarnya rahsia kerana jarang manusia yang diberi pengetahuan tentangnya dan kumpulan sedikit yang diberi pengetahuan itu tidak mampu menghuraikannya dengan jelas kepada orang lain. Pemahaman itu ditanamkan sebagai keyakinan bukan huraian akal. Rahsia Allah s.w.t itulah yang membuka medan perhubungan di antara Allah s.w.t dengan hamba-Nya. Rahsia Allah s.w.t itulah yang menanamkan kefahaman tentang Allah s.w.t yang “  ”; Allah Mendengar dan Melihat; Allah Maha Esa dan berbagai-bagai aspek ketuhanan.
Orang sufi banyak menggunakan istilah yang maksudnya kurang jelas bagi orang awam sedangkan istilah yang demikian tidak ditemui pada zaman Rasulullah s.a.w. Perlu diketahui bahawa huruf dan perkataan adalah alat untuk menyampaikan maksud. Kadang-kadang huruf dan perkataan gagal menyampaikan maksud yang tersirat. Apabila ia gagal menyampaikan maksud ia menjadi tabir yang menyembunyikan maksud. Ayat yang serupa apabila diucapkan oleh orang yang berlainan boleh membawa pengertian yang berbeza. Jika seorang jejaka asing berkata kepada seorang gadis, ‘Aku cinta padamu,’ ia tidak menyampaikan maksud yang jelas kepada gadis tersebut, tetapi jika kekasihnya yang mengucapkan demikian si gadis itu akan mendapat maksud yang jelas. Walaupun ayat yang serupa digunakan tetapi perbezaan orang yang mengatakannya membawa pengertian yang berbeza-beza.
Hanya sebilangan kecil sahaja yang dapat mengeluarkan ucapan yang maksud sebenarnya masuk terus kepada pemahaman si pendengar. Golongan yang paling arif dalam bidang tersebut adalah para nabi dan yang terutama di antara mereka adalah Nabi Muhammad s.a.w. Apabila Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan sesuatu perkara maka maksud yang sebenar terus tertanam dan terpahat dalam hati si pendengar. Apabila baginda s.a.w mengatakan, “Allah Mendengar dan Melihat,” maka maksud Allah Mendengar dan Melihat itu menjadi jelas pada fahaman orang yang menerima pengajaran daripada baginda s.a.w, hinggakan huraian lanjut tidak diperlukan kerana orang berkenaan benar-benar mengerti apa yang baginda s.a.w maksudkan. Kaum Muslimin beriman kepada perkataan Rasulullah s.a.w yang melahirkan kefahaman pada mereka dan mereka tidak perlu bertakwil lagi. Perkataan yang keluar secara langsung daripada mulut Rasulullah s.a.w berkekuatan menghancurkan hijab, membuka keghaiban dan menyampaikan maksud yang tersirat, melebihi apa juga bentuk amalan menghancurkan hijab atau menyingkap keghaiban yang dilakukan oleh sesiapapun, sama ada ahli ibadat atau ahli suluk. Sebab itu para sahabat baginda s.a.w tidak perlu menjalani latihan khusus seperti berkhalwat atau bersuluk. Apabila Rasulullah s.a.w mengatakan, “Allah lebih hampir kepada kamu dari urat leher kamu sendiri”, maka para sahabat mendapat kefahaman yang jitu tentang kehampiran Allah s.w.t yang baginda s.a.w maksudkan itu. Mereka tidak memerlukan ulasan kerana perkataan yang keluar secara langsung dari mulut Rasulullah s.a.w  memberi kefahaman yang lebih jelas daripada apa juga bentuk dan cara penjelasan. Perkataan Rasulullah s.a.w sudah membukakan rahsia dan yang tersembunyi berhubung apa yang baginda s.a.w katakan, maka tidak ada keperluan kepada istilah tambahan, yang rahsia atau yang samar-samar.
Semakin jauh zaman meninggalkan Rasulullah s.a.w semakin berkurangan kekuatan perkataan yang diucapkan oleh manusia, walaupun mereka menggunakan bahasa dan perkataan yang pernah baginda s.a.w ucapkan. Ayat al-Quran yang dibaca pada hari ini sama dengan ayat al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w dahulu tetapi tidak ada manusia pada hari ini dapat membacakan al-Quran dengan cara menyampaikan maksud sebenar dan setepat yang dibacakan itu kepada pendengar sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Guru-guru hari ini perlu mencari kekuatan tambahan kepada perkataan mereka dengan memperbanyakkan perkataan yang diperkatakan dalam bentuk terjemahan, huraian, tafsiran, ulasan, perumpamaan dan sebagainya. Apabila sampai kepada perkara-perkara ghaib dan tersembunyi guru perlu mengadakan pintu untuk menahan murid yang belum layak merempuh ke hadapan dan sebagai jalan masuk kepada murid yang sudah layak. Pintu tersebut adalah istilah-istilah yang baharu digunakan, yang tidak digunakan sebelumnya. Ia menjadi sempadan memisahkan yang khusus daripada yang awam. Di antara istilah baharu itu adalah Rahsia Allah s.w.t yang menceritakan tentang perkaitan insan dengan tiupan Roh Allah s.w.t. Istilah tersebut menyekat orang awam daripada mencari-cari maksud yang tersirat dan istilah itu juga menjadi stesen loncatan bagi mereka yang memperolehi kefahaman tentang perkara tersebut. Kefahaman yang diperolehi itu adalah kefahaman yang tidak dapat dihuraikan, tetapi dimengerti halnya dan melaluinya orang khusus maju terus dalam mengenal Allah s.w.t.
Allah s.w.t mengurniakan fitrah sejagat kepada manusia kerana mereka memikul amanah serta beban tugas yang suci lagi mulia:  (Allah bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”.  (Ayat 172 : Surah al-A’raaf)
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk  mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat )
Fitrah manusia bukan sekadar berperanan dalam mentadbir penghidupan menurut tabiat semulajadi kemanusiaan malah lebih penting lagi ia adalah persediaan buat manusia melakukan kehambaan (ubudiah) terhadap Allah s.w.t.  Manusia yang bergerak dalam sekop fitrahnya mampu memperolehi maklumat melalui akal fikiran, ilham dan kasyaf. Pancaindera dan fikiran bergabung di dalam mendapatkan maklumat mengenai perkara yang zahir. Maklumat yang diperolehi dengan cara ini boleh dikembangkan oleh akal fikiran dengan menggunakan hukum logik dan formula-formula yang dapat disusun oleh akal fikiran. Kebolehan berfikir yang dihasilkan oleh fitrah manusia mampu membawa manusia meneroka segala bidang lahiriah seperti sains, teknologi maklumat, matematik, astronomi, kedoktoran, pentadbiran negara dan lain-lain. Sempadan bagi akal fikiran adalah logik. Ia tidak mampu mengolah sesuatu yang telah keluar daripada daerah logik.
Bakat-bakat fitrah merupakan kenyataan kepada firman Tuhan yang bermaksud: “Dan telah diajarkan kepada Adam nama-nama semuanya”. Segala maklumat yang perlu bagi manusia menjalankan tugasnya sebagai khalifah di bumi sudah pun ada pada fitrahnya. Proses pembelajaran, pengalaman, penyelidikan dan sebagainya merupakan cara mencungkil maklumat yang tersimpan di dalam khazanah fitrah, bukan membawa masuk maklumat yang baharu. Pada satu tahap, maklumat di dalam khazanah fitrah dicungkil melalui cara berfikir. Kebolehan berfikir ini dikuasai oleh semua manusia kecuali orang gila.
Apa yang Tuhan ajarkan kepada Adam a.s (dan manusia sekaliannya) bukan sekadar penggunaan akal fikiran. Apabila fitrah sampai kepada kemuncak kekuatan berfikir yang dimilikinya iaitu apabila hukum logik gagal memberi huraian maka fitrah beralih kepada bakat keduanya iaitu ilham. Bidang ilham sesuai untuk diterokai oleh mereka yang fitrahnya bebas daripada hukum logik, iaitu tarikan anasir alam, pengaruh kebendaan dan hawa nafsu. Kebanyakan yang termasuk di dalam golongan ini adalah ahli falsafah yang telah membebaskan hati mereka daripada sempadan kebendaan. Bila hati sudah berjaya melepaskan diri daripada kongkongan kebendaan dapatlah ia masuk ke dalam bidang ilham yang berada di sebalik alam kebendaan. Ilham membuka kefahaman tentang unsur ghaib yang mempengaruhi perjalanan kehidupan yang zahir.
Ilham boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu ilham ahli falsafah dan ilham ahli sufi (ahli kerohanian). Ahli falsafah menggunakan kekuatan dirinya untuk berjuang menentang hawa nafsu dan membebaskannya daripada tarikan anasir-anasir alam. Bila telah berjaya berbuat demikian rohaninya mampu memandang kepada keghaiban yang menyelimuti alam zahir. Dia dapat menyaksikan tenaga ghaib yang membentuk sistem dan mempengaruhi perjalanan segala yang zahir. Di sebalik semua itu dia dapat melihat kesempurnaan: kesempurnaan peraturan dan perjalanan alam maya dan kesempurnaan Pencipta segala kesempurnaan itu. Renungan ahli falsafah berakhir dengan pengakuan tentang wujudnya kekuasaan Mutlak yang mencipta dan mengatur perjalanan alam ini. Kelarutan (kefanaan) di dalam kesempurnaan itu menjadikan ahli falsafah mencintai yang sempurna dan bergerak membentuk kesempurnaan di dalam kehidupan ini.
Ahli sufi pula di samping berjuang menentang hawa nafsu dan tuntutan badaniah dia juga membenamkan dirinya ke dalam zikir atau ingatan kepada Allah s.w.t secara terus menerus. Pergantungannya tidak terlepas daripada Tuhan. Apabila dia berjaya di dalam perjalanannya dia berjaya di dalam keadaan ingat dan bergantung kepada Allah s.w.t. Oleh itu ilham yang terbuka kepadanya lebih berkaitan dengan Tuhan daripada makhluk Tuhan. Perhatiannya terhadap makhluk, termasuklah dirinya sendiri, mengecil dan perhatiannya kepada Tuhan membesar. Jika ilham ahli falsafah lebih tertumpu kepada kesempurnaan dan kerapian  penciptaan iaitu perbuatan Tuhan, ilham ahli sufi pula tertumpu kepada keelokan dan kesempurnaan sifat Tuhan yang menciptakan segala kesempurnaan dan keelokan itu. Ilham ahli falsafah melahirkan rasa kekaguman terhadap Pencipta sementara ilham ahli sufi pula melahirkan rasa kehampiran dan keasyikan terhadap Pencipta Yang Maha Indah lagi Maha Sempurna. Ilham sufi bukan sekadar melahirkan pengakuan dan keasyikan terhadap Yang Maha Mencipta dan Maha Mengatur, malah ahli sufi juga memperolehi keyakinan tentang kedudukannya pada taraf kehambaan yang perlu membuktikan kehambaan itu, tetapi ilham sufi tidak mampu membuka rahsia ketuhanan dan tidak berupaya membentuk cara pengabdian kepada Tuhan sebagaimana yang dikehendaki oleh Tuhan.
Fitrah tidak mengaku kalah pada tahap ilham. Ia maju lagi meneroka lebih tinggi dengan menggunakan bakatnya yang ke tiga iaitu kasyaf. Kasyaf adalah terbukanya perkara ghaib kepada alam perasaan dan penyaksian mata hati. Apa yang difikirkan dan ditemui melalui ilham dapat dirasakan atau disaksikan melalui kasyaf. Bidang kasyaf membuka perkara yang tersembunyi disebalik yang nyata dan juga membuka bidang alam ghaib yang tidak dapat dipandang dengan mata, tidak dapat difikirkan dan dikhayalkan dan terkeluar dari medan logik. Bidang kasyaf memungkinkan seseorang memperolehi pengetahuan tentang alam rohani seperti Alam Jin, Alam Barzakh, syurga dan neraka. Kasyaf boleh meneroka lebih jauh kepada suasana yang dinisbahkan kepada ketuhanan. Suasana ketuhanan yang dibukakan kepada ahli kasyaf adalah sebagai perkenalan dari Tuhan kepada hamba. Oleh kerana Tuhan adalah: “    ” maka suasana yang dinisbahkan kepada ketuhanan atau diibaratkan kepada Tuhan yang dibukakan kepada ahli kasyaf adalah dalam bentuk misal, ibarat atau penyifatan. Suasana misal yang disaksikan itu menanamkan kefahaman tentang Tuhan yang tidak boleh dimisalkan.
Pengetahuan yang diperolehi secara fikiran dan ilham dipanggil makrifat (pengenalan) secara ilmu. Pengetahuan yang diperolehi secara kasyaf pula dinamakan makrifat secara zauk atau penyaksian mata hati. Apabila kasyaf sampai kepada kemuncak penyaksiannya maka tiada apa lagi yang dapat disaksikan. Kasyaf pada tahap ini hanya merasakan dengan penuh yakin tanpa menyaksikan tentang Wujud Tuhan yang tanpa misal, tanpa sifat, tanpa ibarat dan tidak boleh dikatakan apa-apa kerana Allah s.w.t adalah :   
Medan kasyaf yang sangat luas itu diterokai oleh sufi yang telah membuang segala kepentingan diri sendiri lantaran kecintaan mereka kepada Allah s.w.t. Melalui kasyaf, yang paling tinggi dapat disaksikan adalah suasana atau keadaan yang dinisbahkan kepada Tuhan tetapi bukanlah Tuhan. Apabila melepasi tahap penyaksian kasyaf sampai kepada batasan terakhir iaitu merasai secara zauk Wujud Tuhan yang tidak dapat disifatkan dan Dia Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya. Kemuncak kasyaf adalah kejahilan di mana tidak ada lagi bahasa yang mampu bercerita tentang Tuhan. Ahli kasyaf yang masuk kepada tahap ini berada dalam suasana yang dipanggil kehairan-hairanan di mana dia merasakan telah mengenal Tuhan tetapi tidak mampu menyingkap pengenalan tersebut. Dia dikatakan faham tanpa sesuatu kefahaman dan tahu tanpa sesuatu pengetahuan.
Kasyaf tidak tahu menyebut Allah s.w.t sebagaimana Dia mahu disebut. Kasyaf tidak tahu menceritakan Allah s.w.t sebagaimana yang Dia mahu diceritakan. Kasyaf tidak berupaya memperkenalkan Allah s.w.t sebagaimana Dia mahu Diri-Nya dikenali. Kasyaf juga tidak tahu bentuk pengabdian yang Allah s.w.t mahukan dari hamba-Nya. Kasyaf tidak dapat mengajar manusia cara menyembah Allah s.w.t. Jadi, fitrah manusia dengan segala bakat-bakatnya tidak dapat membuka Kebenaran Hakiki mengenai Allah s.w.t. Dalam soal ini fitrah sampai kepada keadaan mesti tunduk, patuh dan taat dengan seluruh penyerahan kepada Allah s.w.t dan menyatakan hajat kepada bimbingan yang langsung daripada-Nya serta bermohon agar Dia sendiri membuka Yang Haq itu.
Hanya Allah s.w.t boleh menyatakan apa yang Dia kehendaki. Hanya Dia yang berhak menentukan cara pengabdian dan penyembahan kepada-Nya. Hanya Dia yang mampu memperkenalkan Diri-Nya sebagaimana yang Dia mahu. Dalam perkara ini manusia tidak ada pilihan melainkan berhajat kepada WAHYU yang datang dari Allah s.w.t sendiri bagi menghakimkan fikiran, ilham dan kasyaf. Kebenaran yang dikatakan oleh wahyu itulah yang kebenaran sejati, yang paling benar, tidak boleh dicabar oleh fikiran, ilham dan kasyaf. Tugas fikiran, ilham dan kasyaf adalah membuktikan kebenaran wahyu bukan mencari kebenaran yang lain daripada itu.
Tanpa bimbingan wahyu manusia membentuk berbagai-bagai kepercayaan dan cara menyembah Tuhan. Golongan yang hanya menggunakan akal hanya berminat dengan perkara kebendaan. Golongan ini kurang berminat tentang Tuhan. Dari kalangan mereka muncul puak ateis yang tidak percaya kepada Tuhan dan perkara ghaib. Dari kalangan ahli falsafah pula muncul ideologi idealisma yang kemudiannya diterima oleh orang ramai sebagai agama. Agama yang muncul melalui cara ini berasaskan fitrah kemanusiaan semata-mata. Golongan ini melihat kesempurnaan yang diletakkan oleh Pencipta kepada kejadian alam tetapi keadaan Pencipta itu sendiri tertutup kepada mereka. Oleh yang demikian perhatian mereka kuat tertuju kepada kejadian alam. Apabila sikap menghormati dan mencintai anasir alam sudah berlebihan ia bertukar menjadi penyembahan. Kesudahannya muncullah agama yang mengadakan anasir alam sebagai sekutu Tuhan. Golongan sufi yang belum matang pula mendapat gambaran yang tidak tepat tentang Tuhan. Di dalam golongan ini bukan sahaja terdapat kaum Muslimin yang memasuki jalan sufi, ia termasuk juga penganut kepercayaan lain yang membuat latihan tarekat menurut kepercayaan mereka. Bila alam ghaib terbuka kepada mereka, biasanya di samping melihat kesempurnaan sifat Tuhan mereka juga melihat kesempurnaan diri sendiri yang ditempa oleh Tuhan. Sebahagian daripada mereka terdorong ke dalam rasa takjub dan taasub terhadap kesempurnaan diri, lalu melihat sifat ketuhanan pada diri. Dari golongan mereka muncullah puak yang mempertuhankan Isa al-Masih, Uzair, Buddha dan lain-lain. Ada pula yang mempertuhankan diri sendiri. Banyak lagi kekeliruan yang muncul dalam akidah manusia apabila mereka tidak bersandar kepada wahyu. Kebenaran yang sejati tentang Tuhan dan cara menyembah-Nya hanya boleh didapati daripada wahyu.
Bangsa manusia telah memilih seorang wakil yang paling sempurna dari kalangan mereka, seorang insan yang paling tinggi kecerdasan akalnya, paling luas medan ilhamnya dan paling terang suluhan kasyafnya. Wakil yang sempurna itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum wahyu datang wakil yang sempurna itu telah menjalani latihan khalwat di Gua Hiraa. Melalui proses tersebut kesempurnaan baginda s.a.w menjadi lebih sempurna tetapi kesempurnaan yang paling sempurna itu pun tetap tunduk kepada hukum Allah s.w.t iaitu berhajat kepada jawapan dan bimbingan yang langsung daripada-Nya, tidak mampu diteka oleh akal, tidak mampu dihurai oleh ilham dan tidak mampu disuluh oleh kasyaf walaupun kesemua bakat-bakat tersebut berada di dalam kesempurnaan. Apabila Allah s.w.t mendatangkan jawapan dengan wahyu-Nya baharulah hilang segala kesamaran dan kekusutan dan tersingkaplah hijab yang menutupi Yang Haq! Fikiran, ilham dan kasyaf wajib akur dengan apa yang wahyu kata kerana wahyu itulah Kalam al-Hak. Pada tanggal 17 Ramadan, tahun 41 dari usia Nabi Muhammad s.a.w, wahyu yang pertama menyinari fitrah suci baginda s.a.w. Terbukalah era baharu di dalam kehidupan manusia dan penduduk seluruh alam. Yang samar telah terang. Yang tertutup telah terbuka. Yang terhijab telah tersingkap. Yang tidak boleh diperkatakan sudah boleh diperkatakan. Yang Haq telah nyata tanpa ragu-ragu lagi.